Tuesday, December 23, 2014

Tawaran Ke Sekolah Asrama

Pada zaman saya dahulu, tiada UPSR ketika tahun enam persekolahan.
Tetapi, kami mengambil Ujian Penilaian Darjah Lima, semestinya ketika dalam darjah 5 :) .
Lima mata pelajaran, Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan satu lagi matapelajaran yang saya sudah terlupakan. Kalau tidak silap,  Sejarah.

Bila naik darjah enam, sudah tahu keputusan Perperiksaan darjah lima. Tapi tetap juga meneruskan pembelajaran dalam darjah enam seperti biasa.
Di minggu minggu akhir persekolahan darjah enam, kami yang cemerlang dalam Peperiksaan Penilaian akan mendapat surat tawaran ke sekolah berasrama penuh.
Dalam sekolah saya itu, yang saya ingat lagi:
1) saya mendapat tawaran ke Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra
2) Saiful ke Sekolah Menengah Sains Teluk Intan
3) Abdullah Hisyam ke mana ye? (tadi kata ingat.... lupa juga rupanya)
4) Animesh ke Sekolah Menengah Sains Selangor
5) Norhalawiah Abdul Rahman Shah ke Sekolah Perempuan Taaiyah, Tambun

Surat tawaran diserahkan oleh pengetua, Cikgu Meor Adam, di bilik pengetua. Tanpa kehadiran ibu bapa atau nenek.
Jadi, sewaktu cuti sekolah itulah bapa saya sibuk menyediakan barang barang keperluan seperti yang tercatat dalam surat tawaran itu.
Ini termasuk juga keperluan membuat pemeriksaan kesihatan. Ingat lagi, saya dan Saiful, bersama-sama bapa saya, menaiki bas ke Hospital Taiping untuk membuat pemeriksaan itu. Saya juga ingat lagi Saiful menangis ketika kakak misi mengambil darahnya sepenuh picagari. Skirt yang saya pakai sewaktu ke hospital itu masih saya simpan sampai sekarang sebagai mengingati usaha bapa saya. (Sesiapa yang mengenali saya, pasti tahu saya memang sentimental).

*

Sekarang zaman saya menjadi ibu kepada anak saya yang mendapat tawaran ke sekolah berasrama penuh.
Jauh berbeza cara dulu dengan sekarang.
1) Permohonan perlu dibuat jika mahu memasuki SBP (sekolah berasrama penuh). Zaman kami dulu, "mendapat tawaran ke SPB". Zaman sekarang, lebih sesuai dipanggil "permohonan memasuki SPB telah diterima". Zaman Perperiksaan Penilian Darjah Lima dulu, bukanlah zaman bermegah-megah dengan keputusan 5A seperti sekarang ini. Dulu, pelajar 5A boleh dikira dengan jari, kadang kadang untuk satu sekolah jari sebelah tangan pun belum digunakan sepenuhnya untuk mengira, sebab sikit sangat. Sekarang, dengan jumpah 5A yang tidak terbilang dek biji-biji sempoa, pihak kerajaan dan majlis agama negeri telah membina lebih banyak sekolah sekolah berasrama untuk pelajar pelajar 5A UPSR. Jadi, terpaksalah ibu-bapa memohon sendiri. Memohon di atas talian (online).

2) Pilih sekolah mana untuk sambung belajar. Banyak sangat sekolah, dan dimana-mana saja agaknya. pilihlah ikut kesesuaian tempat, aliran, nak sekolah lelaki atau perempuan sahaja, atau pilihlah sekolah yang boleh membanggakan mak bapak kalau diterima masuk, contohnya TKC atau MCKK.. hahahah... maaf, tapi itulah kenyataannya.(saya ada terbaca keluhan seorang budak sebaya anak saya yang menangis nangis dan tidak dapat tidur malam kerana gagal mendapat 5A dan punah harapan untuk ke sekolah idamannya sejak darjah 4 lagi, iaitu TKC). wadefekkk...

3) Selepas memohon, berjalanlah pemilihan agaknya. Maka, ada pelajar yang dipanggil temuduga oleh pihak sekolah. panggilan temuduga pun melalui SMS!! :).

4) Akhirnya, hari keputusan permohonan pun keluar. juga di atas talian (online). SMS pun dapat juga. Ada pilihan untuk terima atau tolak. Kalau pilih untuk terima, akan keluar surat tawaran, dan juga 'buku 20 mukasurat' yang perlu dicetak sendiri dan dibawa sewaktu pendaftaran sekolah. Buku tawaran 20 mukasurat itu lengkap mengandungi senarai keperluan untuk ke asrama.

Nak masuk SBP tingkatan 1 pun macam-macam langkahnya. Cerita ini hanya mengenai SBP sahaja, belum lagi tentang SMKA, MRSM dan sekolah kawalan. Semuanya juga melalui atas talian dan SMS. Ibu bapa yang lebih pening membuat pilihan kerana terlalu banyak pilihan. Sekarang pun semakin ramai berebut memasuki MRSM kerana menawarkan sijil IGCSE. Macam O Level okkayyy..

Semoga anak-anak lepasan UPSR berjaya. Tidak kisahlah di mana pun anda sambung belajar, kerana setiap ibu bapa ada sebab tersendiri kenapa perlu atau tidak perlu memohon untuk memasuki sekolah berasrama penuh.

Tuesday, December 2, 2014

Anak adalah harta ibu dan bapa

Saya bangun pagi Ahad itu dah menuju ke bilik air. Pintu belakang yang terbuka menampakkan saya langit pagi yang sudah hanpir cerah. Saya terus berpatah balik mengejutkan anak lelaki saya untuk bangun menunaikan solat Subuh.
Sewaktu Syakirin di dalam bilik air, saya berdiri menunggu di hujung meja makan, menghadap pintu keluar.
Tiba-tiba saya dipeluk dan dicium dari tepi. Saya menoleh ke kanan.
Ibu mertua saya.
Dia mencium saya berkali kali sambil memeluk saya. Matanya mengalir air mata.
Dengan darjah kehairanan tertinggi, saya bertanya, "Mak ni kenapa?", dengan nada macam "Eh, harimau ke tu?" apabila terlihat harimau terbang mengejar burung di langit. Ya, itu memang sesuatu yang 0.000001 peratus kebarangkalian akan berlaku kerana hubungan saya dengan mertua agak jarak.

Ibu mertua saya bercakap sambil teresak-esak. Saya tidak berapa faham apa yang diperkatakannya.. sedikit sebanyak, dia berkata (kalau saya tidak silap lah!) , "Jagalah anak elok elok... aji ni baguih... jaga anak tu ... esok dia jaga kita balik ... depa-depa tu dulu bukan mak tak jaga.... tapi tengoklah.. nak mangkit pagi pun payah.... jagalah solat anak... syakirin tu ada harapan esok besaq dia jaga mak ayah dia..."

Okay, sebenarnya panjang dia bercakap. Tapi saya tidak berapa faham dan tidak berapa memberi perhatian. Apabila Syakirin keluar dari bilik air, saya terus berlalu ke bilik air.


Tuesday, October 28, 2014

Lagenda Budak Sesuci Embun Pagi

Sedang mencari sesuatu di laman FB sendiri, dan saya terjumpa ini. tulisan saya suatu waktu dahulu.
Lagenda Budak Setan 3 dah pun menemui peminat tahun ini. Tapi... saya belum menontonnya...
Farid Kamil dan Maya Karin (eh, MK ke heroin LBS3?) memang tidak pernah saya minati.. :(

Mana Budak? Mana Setan? Apa yang Lagendanya?

Malam tadi aku menonton cereka ‘Lagenda Budak Setan’. Rasanya ini filem tahun ini, tapi awal pulak la masuk tivi.
Mungkin sebab buku dia pun zaman 90-an (aku agak la), maka jalan citer filem ni pun macam 80-an / awal 90-an.
Kalau bukan disebabkan gambar dia cantik, dan Lisa Surihani juga sangat cantik, takde aku buleh tahan ngan citer ni de..

Seperti biasa, aku nak mengarang la nih.. hahaha… sapa rajin baca.

Latar belakang watak:
Kasya (cheh… nama hero pun nama pengarang buku… patut la tajuk macam syiok sendiri). Anak yatim piatu. tapi camana leh ada rumah besau nak mampuih, lawa pulak tu macam resort. Kalau rumah besar tak lawa aku tak heran jugak. terkenal satu kolej, dan dipanggil ‘budak setan’ sebab kenakalannya. (aku rasa macam tak nakal je… kurang ajar ade la. ok ok.. mungkin sebab kurang ajar kut dapat nama ‘budak setan’, kalau nakal aje mesti dapat nama ‘lawless’.. wakakaka).

Ayu. Junior Kasya. Dulu ada pakwe nama Azmi. Masuk kolej ‘jatuh cinta pandang cicak’ kat Kasya.

Azmi. Lelaki cinta gila kat Ayu. Tapi tak macam cinta gila pun. Gila ada la.

Suzana. Kawan/Room-mate Ayu yang suka pegang muka Ayu kalau nak bagitau apa-apa kat Ayu.

Mak Ayu. Entahla. Buat ada-ada aje watak ni. nak jadikan sebab Ayu kawin.

Kay. Majikan Kasya yang sukakan Kasya.


Budak Setan.
Kasya main bola sepak kat padang kolej. Pastu team mana ntah masuk gol. Dia pun belasah salah sorang  team opponent, Marzuki Abdul Hamid (bukan nama sebenar) sampai cedera. Masa kengkawan Marzuki Abdul Hamid tengah tenyeh tenyeh lebam dan luka Marzuki Abdul Hamid, Kasya pun lalu situ dan dengan sengaja campak bola kearah kumpulan paramedic itu untuk menambah kepedihan pada luka, lebam dan terutama hati Marzuki Abdul Hamid.

Naib Canselor beri amaran kat Kasya pasal disiplin dia. Naib Canselor siap turun jumpa Kasya tu… dengan kot lengkap. Hebat tul Naib Canselor kolej tu.
“Lagi sekali awak buat hal, awak kena buang kolej ni. Ini surat amaran, saya nak berikan kepada mak dan bapak awak”
“Kan dah banyak kali saya cakap, mak bapak saya dah tak ada”.
(hmm… agaknya Naib Canselor tu asyik tukar orang kut… tak hingat yang budak jahat paling glamer ni takde mak ayah)

Cinta dan Cicak.
Kasya ada geng 3 orang. Jahat la sangat kononnya. Hari itu hari pelajar baru masuk. Geng depa nampak satu meja, takde orang, ada beg pink, ada tin coke. Kasya masukkan cicak dalam tin itu. Tetiba datanglah tuan punya barang-barang itu. Ayu. Cinta pandang pertama Kasya sewaktu melihat Ayu menghayun rambut nya… (ceh… Hindustan). Kasya nak halang Ayu minum, tapi kengkawan dia nak tengok jugak apa jadi. Akibatnya Ayu tercekik cicak. Tu lah, lain kali minum pakai straw. (heran… cicak la… bukan semut. Air tu pun air coke, bukan air cincau atau Tropicana twister yang ada pulp tu… camana tak rasa ada mende lain masuk mulut…). Kasya pun tolong Ayu yang hampir pengsan tercekik lantas terkeluarlah cicak itu.
Kawan Ayu, Suzana pun sampai berlari termengah-mengah. “eh eh, kau tak apa-apa?”.
Apsal dia termengah-mengah yek… dah la Suzana tu senior, camana leh kawan ngan Ayu pada hari pertama… sekampung gamaknya.

Suzana bawak Ayu pergi dari café.
“Dia selamatkan aku, tapi aku Cuma cakap terima kasih saja”, kata Ayu.
Suzana pun bagitau pasal perangai Kasya yang suka kacau orang disamping membantu kucing mempupuskan cicak-cicak di kolej mereka.
Ayu geram bila tahu itu kerja Kasya.

Ayu balik bilik dan masih geram.
Kasya balik bilik dan angau dengan Ayu sampai tak makan.

Malam tu Kasya nak jumpa Ayu untuk mintak maaf. Ayu jumpa dia jugak.
“Saya nak awak minta maaf pada semua orang yang awak pernah kenakan. Dan saya akan jadi orang terakhir yang maafkan awak”

Esoknya Ayu dapat tahu yang Kasya tengah buat tekan tubi 300 kali sebagai tanda maaf dari pensyarah dia. Ayu merasa sangat… <entahla sangat apa, korang tahu je la kan, Lisa Surihani ni kengkadang aku tak paham ekspresi muka dia tu lambangkan perasaan apa> … dan terus berlari ke court basketball (aik, aku tak dengar pun kawan dia bagitau Kasya buat tekan tubi kat mana).
Cukup aje 300, Kasya pengsan. Tapi penonton dan penyorak beredar pergi.
Ayu berlari mendapatkan Kasya (lebih lebih lak aksi dia).
“Awak tak apa-apa?”
Rupanya Kasya berlakon pengsan aje. dia bangun dari pengsan purak purak itu dan peluk Ayu. Cinta yang dah memang di tapak semaian pun berpucuk sudah.

Aku Cinta Padamu.
Depa pun bercinta kat padang ragut UPM yang popular itu. Kasya ni pengambil gambar. Tak pulak aku pasti kursus apa yang dia ambik. Dia banyak ambik gambar Ayu.
“Awak telah merubah hidup saya”
Kasya meluahkan cinta kat Ayu. Ayu minta kepastian pasal Kasya, sebab kat kolej tu semua orang kata Kasya anti perempuan.
Kasya pun cerita bagaimana bermulanya detik dia bencikan perempuan.
Itu rahsia Kasya yang geng dia pun tatau.
Ayu pun citer yang dulu dia ada bopren, nama Azmi, dan depa pernah terlanjur. Tapi Azmi tu banyak main kayu tiga sampai Ayu asyik kena beli kayu snuker yang baru sebab selalu kena kebas dengan Azmi.

Bercerai Kasih Talak Tiada.
Kengkawan Kasya sedih nak berpisah ngan Kasya. Atau mungkin sedih sebab depa tak buat assignment jauh jauh.
Tiba saat perpisahan. Kasya nak buat final year assignment kat suatu tempat yang takde talian telepon atau coverage internet. Dia tak pakai Digi kut.
“saya pergi lama, mungkin bertahun”.
“takpa, saya tunggu awak”
Aduih… assignment budak degree pun bertahun ke? tahap assignment journalist national geographic.
Kasya beri Ayu 2 majalah photo yang ada muka Ayu. Ayu bagi diari cintanya kepada Kasya.
Tetiba muncul si Azmi.
“Ooo… itulah Kasya? Satu kolej heboh pasal hubungan awak dengan dia”

Kawin Paksa.
Mak Ayu sakit tenat. Azmi rajin jaga Mak Ayu. Masa tengah sesak sesak nafas, Mak Ayu suruh Ayu kawin dengan Azmi. Walaupun Ayu tak nak, tapi Mak Ayu suruh jugak Ayu berjanji untuk kawin dengan Azmi.
Ayu pun kawin dengan Azmi.

Suatu hari mereka bergaduh dasyat dan Azmi telah mengoyakkan majalah kegemaran Ayu (ala, yang Kasya bagi tu la) dan memaksa Ayu membakarnya.
Ayu meninggalkan rumah dan memecut dengan kereta. Ayu eksiden. Disebabkan dia tak pakai talipinggang, kereta mahal dia takde ABS dan tidak dipasang beg udara keselamatan, dan cermin kereta mahal dia tak de plastic tinted, maka dia tersembam ke stereng dan cermin pecah berderai dan memusnahkan mukanya…
Ayu meminta Azmi untuk menukar wajahnya. Ayu bercerai juga dengan Azmi.

Kasya Pulang.
Kasya jumpa Suzana. Suzana bagitau Ayu dah kawin dengan Azmi tapi mereka tak bahagia. Kasya sedih tapi masih meneruskan pelajarannya.
Kasya pun abis belaja dan Suzana dapatkan dia kerja kat tempat Suzana.
Suzana kerja dengan Amelia. Amelia ni sebenarnya Ayu. Wah… camana Ayu buleh abih blaja dulu.

Bercinta Semula.
Amelia masih sukakan Kasya. Kasya pulak keliru pasai apa minah Amelia ni punya gaya, cara, minat lagu dan minyak wangi.. identical dengan Ayu. Sampai suara pun sama walaupun muka takde iras iras adik beradik.

Depa pun mula berkawan sebab Amelia ni macam terhegeh hegeh aje. pi lawat tempat kerja la, pi ajak dinner la, pi tanya pasai apa Kasya tak cari pengganti Ayu la. orang tu baru aje tahu Ayu dah kawin. Takkan nak pi central market cari pengganti kut… account facebook pun lum sempat create apa..

Nak Pi New Zealand.
Ayu jumpa ngan Suzana kat pokok percintaan UPM dulu. Ayu cakap dia tak layak untuk Kasya sebab Kasya setia pada cinta, tapi Ayu khianati cinta itu dengan kawin lain.
“Aku nak pergi New Zealand. Aku tak sanggup berdepan dengan dia lagi”
“kau ingat kau boleh lari dari masalah?”
….
“aku nak pergi New Zealand petang ni”
Wakakakaakak……. Agaknya bukan musim raya puasa, buleh la dia pergi petang tu jugak. aku pun tak pasti dia duduk bawah pokok tu pukui berapa.

Sungguh panjang hari itu, lambat betul nak sampai petang.
Suzana jumpa Kasya dengan santainya.
“Kau masih cintakan Ayu?”
“Aku tak akan berhenti mencintai Ayu”
Suzana pun citer yang Ayu dah bercerai ngan Azmi. Suzana suruh Kasya pergi rumah Amelia.
“Awat nak pi rumah dia pulak?”
“Sebab Amelia ialah Ayu”.

Setelah mendapatkan koordinat GPS dari Suzana, Kasya pun sampai ke rumah Ayu yang dah pegang tiket ke New Zealand. Nak check-in depan pagar rumah agaknya.
“Ayu….”
Depa pun berpelukan
“Dah lama saya nantikan saat ini”

Kepala di Pasu.
Laaa…. Ropa ropanya Mak Ayu ni idop lagi….. aku ingatkan Ayu kawin jugak ngan Azmi sebab pesanan terakhir sebelum hembusan karbon dioksida terakhir dia.

Azmi suruh Mak Ayu pujuk Ayu kawin semula dengan Azmi. Mak Ayu bingung.
Mak Ayu ngan Azmi datang rumah Ayu.
Ayu marah dan cakap tengking tengking kat Azmi.
“dia ni tak ikhlas tolong kita”
Azmi tak puas hati dan suhu hati dia naik mendadak melebihi takat didih mercury. Dia bergusti dengan Ayu. Masa smackdown, kepala Ayu terkena pasu besar. Pasu itu pun berdarah. Ayu pengsan dan dibawak pergi hospital. Memory card Ayu dah rosak kena pasu, dan Dokter ganti dengan yang baru. Jadi Ayu tak kenal mak dia atau pun Kasya. Mereka sangat sedih. Ayu aje yang tak sedih, selain dokter dan jururawat bertugas.

Mari Mengembalikan Ingatan.
Bila dah discharged, Mak Ayu bawa Ayu balik rumah. Dia tunjuk barang-barang untuk kembalikan ingatan Ayu.
Mak Ayu sembang ngan Kasya dan tanya kenapa Kasya asyik jaga Ayu aje, tak kojo ko budak nih? Tak poi merempit V3 ko? Tak pun gi KL Drift ko… takkan lepak umah ese jo.
“sebenarnya saya dah berenti kerja sebab syarikat tu dah bungkus”.
Err… bukan ke dia kerja kat syarikat Ayu tu? dah buat servis pembungkusan pulak ke? dah tak perlukan ‘pereka grafik yang ada pengalaman fotografi dan ada portfolio gambar potret gadis yang sama berulang kali’
“ooo….” Entahlah. Makcik ni suri rumah, tak tahu la pasal syarikat bungkus ni.

Kerja di Tempat Baru.
Kasya dapat tawaran kerja di syarikat Kay. Kay sukakan Kasya. Kerja Kasya tak tahula dia suka ke tidak.
Suatu hari, syarikat mereka dapat tender projek 2juta cash. Sebagai tanda penghargaan, Kay hadiahkan snow ball “Friends” kepada Kasya. Kerani, akauntan, secretary dan pekerja lain dapat snow-ball jugak, tapi tulis “da boss’.

Bekas pakwe Kay pergi rumah Kasya dan pukul Kasya. Kay tahu pasal itu dan marah bekas pakwe dia yang ada hubungan dengan lelaki lain.
Kay jaga Kasya masa Kasya sakit kena pukul. Agaknya syarikat tu tak cover medical bill. Jadi boss kena la bertanggungjawab kalau ada pekerja dia yang sakit atau kemalangan.

Akhirnya Kawin.
Ayu dah jatuh cinta dengan Kasya. Mereka nak kawin.
Waktu dating dengan Kay, Kasya bagitau Kay pasal dia nak kawin. Kay tersedih. Kay pun bagitau yang dia nak berenti kerja sebab nak sambung belajar, ambik master kat LA.
“Bila?”
“Dalam masa terdekat ni”
Waah…. Suka suka aje..
Kasya suruh tangguh sebab nak Kay hadiri majlis dia nanti.
Lepas tu Kay pergi menangis dalam jamban, sebab tak elok kan menangis depan makanan.
Hari perkahwinan pun tiba. Dah malam baru Kay sampai. entahla, mungkin memang majlis tu waktu malam sebab pengantin masih pakai baju mak andam lagi. Lepas bagi hadiah Kay terus balik. Orang kurus macam tu memang tak makan nasi minyak dengan ayam kurma.

Pengabisan.
Kasya dan Ayu hidup bahagia. Sampai masa Ayu nak beranak. Anak dia susah keluar, jadi dokter pakai vakum. Masa nak apply alat vakum tu dokter suruh Kasya keluar dari bilik takut takut tersedut sama.
Kat luar bilik, Kay pun sampai (dari Lebuh Ampang) bawa hadiah dan cepat cepat pergi. Parking haram la tu kut.
Tak lama lepas tu, jururawat pun panggil Kasya dan tunjukkan anak perempuan dia. Dokter pun keluar dan bagitau berita sedih yang mereka tersedut Ayu dalam vakum dan tak dapat selamatkan Ayu. Ayu mati.

Penutup.
Kasya lawat kubur Ayu bersama bayinya yang menangis. Si Kasya ni pun satu. Bawak la bekal botol susu kut ye pun.

Citer pun abes…. Hmmm lagenda budak setan ke, lagenda Ayu?

Wednesday, September 3, 2014

Takde Air Suam Ke?

Mesin jahit saya yang umurnya sudah layak menduduki UPSR tahun lepas, sudah mula memberikan tanda-tanda bersara awal. Bila beroperasi, bunyinya sudah seperti bumbung zink dilanda hujan air batu.
Jadi saya perlukan mesin jahit dengan kadar segera..


Atas kekangan kewangan, saya membeli secara ansuran kutu. Dapatlah saya giliran ke-empat walaupun berdoa supaya dapat giliran pertama kerana sedang bersemangat menghabiskan jahitan terbengkalai saya.
Telahpun saya ambil mesin jahit itu dari ibu kutu yang cantik manis, Zura Ibrahim, lalu duduk diamlah kotak 24kaki kubik itu sebagai arca hiasan di lantai ruang tamu rumah saya, kerana semangat saya sudah beransur-ansur dibawa lari oleh angin sepanjang empat bulan tempoh masa menunggu itu. 
Tak disentuh pun sejak berbulan-bulan.
Lagipula sejak hujung tahun lalu, hujung minggu saya boleh dikatakan penuh dengan undangan nyanyian pentas. Oh, sangat menipu! Sebenarnya saya sibuk dengan hal berkaitan persekolahan dan keluarga.

Akhirnya, saya buka kotak itu, mengeluarkan mesin jahit, menyambung bekalan elektrik dan membaca manual. Ya, saya membaca manual, satu perkara yang tidak suka saya lakukan atas alasan perasan pandai bab-bab berkaitan teknikal dan pandai menyelesaikan kiub rubik dengan mata tertutup (mata orang lainlah, bukan mata saya sendiri). Dan disebabkan sifat tidak suka membaca manual ini jugalah, barang-barang saya selalu tidak bertahan lama. Adanya buku manual sedikit sebanyak membuat kita percaya yang barang itu kompleks dan rumit digunakan. Lebih tebal buku manual, maka lebih kompleks lah barang itu. 

Di mesin itu terdapat indikasi samada mesin sedia untuk digunakan, atau mesin tidak boleh dimulakan. Contohnya, bila tapak jahitan diangkat, indikator akan berwarna merah. Tandanya, tidak boleh memulakan jahitan. Dan bila tapak jahitan itu diturunkan, indikator akan bertukar kuning, tandanya bersedia untuk memulakan jahitan.

Anak saya yang dari mula lagi menempel di sebelah alat baru itu bertanya, “Mama, air suam takde ke?”
“Air Suam?”
“Mesin mama ni takde air suam ke?”
“Ini mesin jahit lah Sayang. Nanti mama jahitkan baju Amanda ye”
“Air suam takde ke? ada air panas dengan air sejuk aje?”
??????
Anak saya menuding lampu indicator itu. Oohhh….








Dia memikirkan yang ini rupanya…. mesin air di dapur kami.... :) Merah utk panas, Jingga untuk suam, dan Kuning untuk Sejuk.... ha ha ha..
Nasib baik dia tidak bertanya, "Jalan" takde ke? sebab merujuk kepada lampu isyarat di jalanraya, Merah, Kuning, Hijau.


Wednesday, August 27, 2014

A Byte Of Dinner

Nota : Hanya tajuknya berbahasa inggeris. Tapi tidaklah isinya jua berbahasa inggeris.


Malam tadi suami membawa kami sekeluarga ke restoran burger, BurgerByte. Pertama kali bagi saya, tapi bukan bagi si dia (ha haaa.... kalau membaca majalah selalu pasangan dirujuk sebagai 'si dia'.. macam orang asing saja bunyinya!). Restoran itu cantik, bersih, cekap, efisyen dan tidak mengenakan cukai perkhidmatan atau kerajaan. Dan semestinya harga tetaplah, tak boleh tawar menawar (???). Tapi bukan itu yang saya nak ceritakan.

Kami sampai lebih kurang pukul 8 setengah malam. kedai itu sudah penuh. Jalan pun penuh dengan kenderaan pelanggan yang datang makan. Seperti biasa, kenderaan diparkir di tepi tepi jalan mengikut darjah kesengetan sesuka hati. Ini kerana restoran BurgerByte itu bukanlah berada di banguan rumah kedai, sebaliknya di bangunan rumah teres yang mana restoran ini mengambil rumah hujung bangunan teres dua tingkat itu. Jadi, manalah ada kawasan khas untuk memarkir. Tapi bukan itu yang saya nak ceritakan.

Ada satu meja yang kosong dan kami memilih untuk duduk di situ. Yelah, takkanlah kami hendak menumpang di meja pelanggan lain, ataupun duduk di kaunter pembayaran pulak kan. Mana-mana tempat makan mahal akan penuh seawal malam pertama hari gaji. Hari gaji, manalah nak membeli kebab pasar malam kan? Kalau tiba pertengahan bulan, restoran tomyam berhias lampu pendaflor hijau-kuning-merah yang akan dipenuhi pula. Rata-rata pelanggan yang masih berada disitu mempunyai bacaan BMI yang agak tinggi. Senang cakap 'gemuk' lah... lebih kejam disebut 'dekat nak obes'. Tidak terkecuali saya lah...  Tapi bukan itu yang saya nak ceritakan.

Memang efisyen kerana kami tidak menunggu lama untuk mendapat apa yang kami pesan. Apa yang dihulur juga sama dengan yang didalam gambar. Dulu, saya pernah memanggil pengurus pizza hut kerana pizza yang saya dapat tidak sama dengan di dalam gambar. Saya pesan pizza, tetapi dapat lempeng makcik senah. Dia tidak memulangkan duit saya, tetapi membenarkan kami memesan piza lain tanpa bayaran tambahan. Tapi bukan itu yang saya nak ceritakan.

Burger saya dihidangkan bersama-sama lembing lidi buluh yang dihunus tepat ditengah-tengah burger itu. "bull's eye" lah. Tetapi saya kurang pasti samada lidi buluh itu untuk dimakan bersama burger itu ataupun untuk kentang goreng.
"Dia cucuk tu nak bagi daging tu tak lari, kan tebal tu, nanti bila gigit daging tu lari. Makan la keliling lidi tu dulu. ". Suami saya menyuruh saya memakan burger itu dengan lidi buluh yang masih terhunus.
Saya pandang keliling untuk memastikan pelanggan lain juga makan dengan kaedah yang sama.
Anak saya bertanya, "Kenapa Mama  nak kena ikut cara orang lain?"
"Sebab kita kena belajar dari kesilapan orang lain, jangan orang lain yang belajar dari kesilapan (kebodohan) kita"
Saya cabut juga lidi buluh itu sebelum memakan burger itu. Saya khuatir lidi itu tercucuk awning tudung Fareeda Nyata Jelita Eksklusif 3-bulan-Slip-Gaji saya nanti. Tapi bukan itu yang saya nak ceritakan.



Burger ini sedap. Berpatutan dengan harganya. Saiznya agak abnormal. Ada sayur salad (lettuce), ada sepotong tomato segar, ada dua gelang bawang rangup, dan sekeping keju yang datang bersama harga tambahan. Sos bolehlah ditambah sendiri mengikut toleransi pedas dan gula dalam sistem badan anda. Botol sos di atas meja itu bersih! tiada pun sos meleleh-leleh. :) .
Walaupun namanya "byte" yang bersamaan dengan 8 bit. Tapi saiznya adalah Terrabyte. Lemak yang terkandung pula, barangkali Zettabyte. Saya baru jumpa "zetta" ini, sebab dalam kelas fizik dulu, kami belajar sampai "peta" saja. Mu(sebut miu)-Nano-Micro-Mili-Centi-Deca-Kilo-Mega-Giga-Tera-Peta. Tapi bukan itu yang saya nak ceritakan.

depa kata tak elok letak gambaq apa kita makan, satni orang lain tersinggung. ni gambaq pinggan koson, menunjukkan betapa chek tak membazirkan rezeki. disertakan juga alamat ke restoran BurgerByte Seremban


Sebenarnya saya tidak menghabiskan seluruh burger saya di restoran itu. Saya hanya makan 60% sahaja kerana terpaksa menghabiskan spaghetti carbondioksida a.k.a carbonara anak saya. Baki burger itu saya bawa balik dan menyambung makan untuk sarapan pagi tadi. Oh! rasanya masih sedap! tomato itu pun masih elok. Biasanya tomato jadi lembik dan masam kan? Hmm... sarapan yang mengeyangkan. Tidaklah saya singgah sarapan tosai pagi ini. Tapi bukan itu yang saya nak ceritakan.

Sebenarnya saya pun lupa apa yang saya nak ceritakan.


Wednesday, July 23, 2014

Sedekah Membawa Barakah

Saya ke Pasar Ramadhan bersama tiga anak saya. Cuaca yang amat terik sampai nak pegang steering kereta pun rasa macam genggam pizza baru keluar oven, membuatkan anak saya sangat sangat mengingini air kelapa.

Saya pergi ke Pasar Ramadhan yang satu ini. Ya, satu saja Pasar Ramadhan yang selesa saya kunjungi saban tahun, walaupun Pasar Ramadhan tersebut saya kunjungi sekali dua saja dalam sebulan... :)

Sewaktu tiba di Pasar Ramadhan itu, kami melintasi seorang pemuda yang memegang tong untuk mengutip derma membina sekolah tahfiz. Kata saya di dalam hati, "habis membeli nanti, akan saya infakkan semua isi beg duit saya ini ke dalam tong itu".

Saya pun melewati pemuda itu dan terus membelikan makanan untuk berbuka puasa. Apabila anak-anak sudah berpuas hati, kami pun bergerak ke arah pemuda dengan tong tadi. Saya pun membuka zip beg duit saya dan mengeluarkan semua not dan syiling dalam beg duit saya. Sebenarnya itu saja duit yang saya ada ketika itu, dengan harapan, keesokkannya gaji akan masuk akaun (walaupun sebenarnya tarikh gaji ialah 25 haribulan, tetapi manalah tahu, sempena perayaan ini majikan membayar awal 'sedikit').

Sewaktu hendak melintas jalan, anak kecil saya (yang tidak berpuasa) meminta dibelikan bihun. Alamak, manalah saya ada duit lagi. Alasan-alasan dongeng saya tidak berkesan.
"Syakirin ada duit tak?" saya bertanya anak sulung saya.
"Ada!"
Lega....
"Syakirin ada lapan puluh sen"
"80 sen? hmmm"

Kami menghampiri penjual bihun goreng. Dia menjual bihun goreng itu di kuali besar seperti yang biasa dilihat di pasar-pasar malam.
"Berapa sebungkus?" Kalau tidak kerana anak saya sudah terjerit-jerit nakkan bihun itu, tidaklah saya berminat dengan bihun yang saya lihat kosong itu, tambahan pula penampilan penjual itu tidak berapa bersih apalagi kacak macam Syarul Ridzwan :p.
"2.50"
"Nak beli separuh bungkus boleh tak?"
"Haiii.. mana nak dapat dik oiii" . Amboi.. sungguh sombong. Awat, la ni takdak barang seringgit dah ka?

Hmm apa nak buat ni?
Saya memandang Syakirin. Syakirin memandang saya. Kami ketawa. Syafik memanglah ketawa walaupun tak faham apa-apa.
Kami memifirkan benda yang sama - pergi semula ke pemuda tong tadi!

"Err... encik, boleh tak saya nak ambik balik sikit je duit yang saya masukkan tadi? errr yang syiling saja, errr boleh tak? Anak saya nak bihun, err duit saya tak cukup seringgit je ni". Padahal tak cukup lebih dari seringgit!
Pemuda tong itu tersenyum. Dia menyeluk poketnya.
"Ini saya sedekahkan untuk awak beli bihun kepada anak awak. Semoga anak ini nanti akan jadi hafizah"

Dia memberi peluang saya bersedekah, saya pula memberi peluang dia bersedekah.
Yang untung pakcik jual bihun itu walaupun bihunnya tak sedap.

Thursday, July 3, 2014

Syukur, Semuanya Dimudahkan

Sejak adik Firdaus ditemui dalam keadaan yang membuatkan saya menangis hampir setiap hari (bukan setiap masa, ya), banyak status-status di laman sosial yang saya terbaca berkenaan sukarnya mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat berhubung Orang Kelainan Upaya, OKU. (dahulunya OKU ialah Orang Kurang Upaya, tetapi memandangkan 'kurang upaya" itu terlalu umum, dan merangkumi juga insan-insan cukup akal dan fizikal, ianya ditukar kepada "kelainan upaya". Kalau tidak percaya, lihat saja di petak khas parkir OKU, yang meletakkan kereta di situ ialah orang kurang upaya untuk membakar lemak dengan berjalan jauh sedikit.)

Boleh dikatakan, status-status yang saya baca, tiada yang positif. Semuanya menyatakan kesukaran dalam menghadapi karenah pekerja JKM mahupun kesukaran menghantar permohonan. Tetapi saya sendiri sangsi samada mereka yang bercakap itu pernah melalui situasi itu sendiri, ataupun hanya mendengar luahan orang lain yang tidak puas hati. Kadang-kadang cerita peringkat kedua yang mencecah telinga kita pun kita suka menjajanya ke telinga orang lain.

Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Allah kerana segala urusan amat mudah buat IrfanSyafik.
Lahir di hospital kerajaan dan terus disahkan menghidap sindrom Down. Saya diberitahu yang anak saya perlu membuat beberapa pemeriksaan lanjutan - telinga (biasanya ada masalah pendengaran), mata (biasanya juling atau nistagmus), jantung (biasanya berlubang) , dan am. Setiap satu pemeriksaan itu, ada klinik pakar khas di hospital. Bermakna, perlu membuat EMPAT temujanji.
Yang bagusnya, anak saya tidak perlu menunggu giliran!

Dua bulan sekali, saya perlu bawa Irfansyafik bertemu pakar kanak-kanak. Memang susah.Contoh, kad temujanji tertulis pukul 10.30. Tetapi saya perlu tiba di hospital sebelum pukul 8 untuk mendapatkan tempat parkir. Bila sudah sampai, 'terpaksalah' kami bersarapan dulu di kantin. Mahal juga harganya. Selepas sarapan, baru ambil nombor giliran pertama. Nombor giliran pertama hanya boleh diambil dari kaunter tingkat bawah sejam sebelum temujanji. Bermakna pukul 9.30. Tidak boleh awal dari itu. Itu sebabnya dalam keadaan 'terpaksa' saya bersarapan...
Dengan nombor giliran pertama tadi, naik ke klinik pakar, dan serahkan ke kaunter, timbang berat dan panjang anak, serahkan ukuran ke kaunter klinik dan dapat nombor giliran kedua - giliran untuk bertemu doktor pakar. Biasanya sejam menunggu baru dapat masuk bilik. Kadang-kadang hampir 2 jam. Ruangnya berhawa dingin, ada tv (tetapi tayang cerita untuk emak-emak, bukan anak-anak :) ) dan alat permainan. Kalau tidak sukar juga kanak-kanak hendak bertahan selama waktu menunggu. Berjumpa doktor tidak sampai setengah jam pun, kerana doktor membuat penilaian dengan bertanyakan soalan kepada ibu. "Boleh makan sendiri?", "Boleh tulis ABC?", "Boleh buka baju sendiri?", "Pandai sebut perkataan apa?".
Selepas itu menunggu nama di panggil semula oleh kaunter klinik untuk tarikh temujanji seterusnya dan slip preskrip ubat.
Pergi turun semula ke dispensari ubat. Menghantar preskrip ubat dan mendapat nombor giliran. Selepas mendapat ubat, selesailah urusan. Saya akan mengambil cuti separuh hari untuk menyelesaikan urusan ini.

Seminggu sebelum tarikh setiap temujanji, saya perlu membawa Irfansyafik ke Wad Kanak-Kanak untuk diambil darahnya. Sama juga, saya perlu tiba sebelum pukul lapan atau terpaksa memarkir kereta ditempat larangan, jauh pula tu. Kalau nasib saya baik kami akan terus di layan, dan urusan selesai dalam setengah jam. Kalau nasib saya baik tetapi keadaan di Wad kurang baik, saya terpaksa menunggu lama sehingga waktu rondaan doktor berakhir, baru darah dapat di ambil. Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sudah ada bilik khas untuk mengambil darah di Tingkat 8 hospital, dan boleh datang pada bila-bila masa termasuk waktu rehat tengahari. Baguskan?
Duduk saja di kerusi, Irfansyafik akan terus hulurkan lengannya untuk diambil darah. Sebab semua orang di dalam bilik itu baik dan mesra.

Begitulah setiap dua bulan. Saya akan menolak untuk mendapat waktu temujanji di sebelah pagi, kerana sudah terlalu penat untuk balik ke pejabat.

Bila Irfansyafik masuk 7 bulan, doktor pakar mengesyorkan saya menghantarnya ke Pusat Sindrom Down Kiwanis. Doktor itu memberitahu saya prosedur dan alamat pusat itu. Saya perlu mengesahkan yang Irfansyafik menghidap sindrom Down terlebih dahulu. bagaimana caranya? Ambil darahnya (kalau tidak silap saya, 2 tiub), dan bawa ke klinik LPKKN di Kuala Lumpur dalam masa 4 jam. Wah... macam misi dalam filem Transporter. Suami saya pun menjadi Jason Statham membawa darah dalam tiub dalam bekas airbatu.
Selepas satu dua minggu, keputusan pun di pos ke rumah.
Bolehlah mendaftar di Kiwanis.
Menurut Pengetua Kiwanis, hanya kanak-kanak berumur antara setahun hingga enam tahun diterima masuk. Tetapi kebetulan ada kekosongan, jadi Irfansyafik boleh masuk walaupun baru 7 bulan.

Kelas di Kiwanis dua kali seminggu. Mulanya saya memohon cuti. tetapi saya tetap datang ke pejabat bila urusan selesai. Lama kelamaan, penyelia saya membenarkan saya keluar tanpa rekod. Jimatlah cuti saya.

Bila Pusat Kiwanis berpindah jauh, saya berhenti menghantar ke Kiwanis. Alternatif lain ialah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK). Disini ada berbagai jenis OKU. Mendaftar disini juga mudah. Pengurus PDK meminta saya membuat kad OKU untuk anak saya. Dengan Kad OKU, boleh masuk ke PDK, dan layak mendapat elaun OKU. Untuk memohon kad OKU, perlu disertakan pengesahan doktor tentang tahap kesihatan anak. Borang yang lama dan siap diisi sewaktu mendaftar di Kiwanis itu masih ada. Saya guna semula. Borang pengesahan doktor, surat beranak, salinan myKad ibu dan bapa, Pengesahan sindrom Down oleh LPPKN - hantar ke kaunter JKM. "Dalam masa 4 bulan boleh datang tanya kalau kad sudah siap dan diambil, atau telefon nombor ni 06-3762246". (*tidak payahlah mendail nombor ini melainkan hendak menempak sebakul durian dari bapak saya di Muar)
Dengan Kad OKU Sementara, bolehlah Irfansyafik mendaftar di PDK. Tiada yuran. Makanan disediakan.
Pihak PDK juga yang menghantar permohonan elaun bulanan untuk Irfansyafik ke JKM.
Kami hanya perlu membuka akaun BSN untuk anak kami itu.
Yang ini saya tidak pasti : elaun mungkin dihantar ke PDK, dan PDK akan mengagihkannya kedalam akauun pelatih OKU.

Sebenarnya Irfansyafik perlu pergi ke sesi Terapi Carakerja. Akan tetapi, saya pergi cuma dua kali. Alasan - kepayahan tidak setimpal dengan masa bertemu Juruterapi. Tetapi guru di Kiwanis selalu membekalkan saya risalah-risalah dan panduan untuk membuat sendiri Terapi Carakerja di rumah. Antara jasa dari Unit Terapi Carakerja di hospital ialah 'mengubahsuai' kasut anak saya dengan sendalan bahagian dalam kasut, supaya anak saya dapat berjalan dengan betul. Ianya percuma.

Sampailah masa untuk Irfansyafik perlu ke sekolah. Kami perlu menghantar borang permohonan masuk sekolah pendidikan khas ke Jabatan Pendidikan Negeri. Seterusnya pihak Jabatan akan menempatkan di sekolah terdekat dengan alamat kediaman. Pihak Jabatan akan menghubungi pihak sekolah, pihak sekolah akan menghubungi ibu bapa. Di sini ada masalah sedikit - pihak sekolah gagal menghubungi kami kerana nombor telefon telah bertukar.

Irfansyafik pun bersekolah di sekolah sama dengan abangnya, tetapi dalam Program Pendidikan Khas Integrasi, PPKI. Di sini juga, elaun OKU diselia oleh pihak sekolah. Guru-guru terlatih dan pembantu yang baik hati membantu anak-anak OKU berdikari. Tetapi anak saya biasanya tidur saja sehingga dua pertiga waktu sekolah. Bila balik rumah barulah dia rajin mentelaah buku-buku berkaitan binatang.

Begitulah hingga sekarang. Irfansyafik bergembira di sekolah bersama rakan-rakan OKUnya yang LAIN-LAIN UPAYA.

Sejak Irfansyafik lahir juga, sentiasa ada pengasuh yang mahu dan sanggup mengasuhnya. Sebenarnya tidaklah sesusah mana mengasuhnya kerana sudah diajar cara urusdiri. Pernah sekali saya mendapat balasa dari sebuah tadika/pusat jagan anak - "Oh, kami tak ambil budak macam tu". Saya anggap itu kes terpencil, walaupun hendak juga bertanya 'macam tu, tu, macam mana?'.

Penyelia sayalah yang memperkenalkan saya dengan orang kuat Persatuan Down Syndrom (yang juga rakannya) untuk saya mendapat atau berkongsi maklumat dan bantuan lanjut. Encik Rahim Simin memang banyak membantu saya. Kali pertama berjumpa, dia senyum sambil berkata, "Inilah anugerah untuk kita, banyak yang kita buat, besarlah ganjaran kita nanti. Kita kena ajar dia berdikari sebab kita tak tahu siapa yang akan pergi dulu".

Itu cerita saya. Mungkin tidak sesusah mana kerana kemampuan yang saya miliki disamping bantuan dari orang sekeliling. Jalan saya cukup mudah. Tak pernah permohonan ditolak atau tertangguh, malah tidak pernah berurusan dengan kaunter yang 'datang bulan'. Penat dan letih tu biasalah.












Tuesday, June 17, 2014

Buat Kerja Biarlah Sampai Habis

Isteri kepada rakan sekerja (se-tempat kerja), menghembuskan nafas terakhir malam tadi dan kembali mengadap Pencipta. Umurnya saya tidak pasti, tetapi anak-anaknya masih kecil. Yang bongsu belumpun bersekolah.

Dulu-dulu, kalau saya pulang ke rumah ayah, saya selalu dimarahi nenek saya (sudahpun arwah) kerana sering meninggalkan sisa-sisa kerja. Sebagai contoh, kalau saya membasuh kain, ada beberapa kain yang tertinggal. Kalau saya membasuh pinggan, ada beberapa pinggan yang ditinggalkan tidak berbasuh (biasanya periuk lah yang saya tinggalkan itu).
Marah Nenak saya, "Nanti kau mati tinggalkan anak kecil!".

Waktu itu, saya tidaklah ambil peduli sangat, kerana pada masa itu saya seorang rocker yang tiada mempunyai perasaan atau cita-cita untuk berkahwin. Tapi, kenalah juga menerima hakikat yang saya berkahwin juga. Kalau dilihat secara rawak, rockers-rockers di Malaysia ini memang berkahwin. Awie Wings berkahwin dua kali. Amy Search pun berkahwin tiga kali. Anuar Zain, Dayang Nurfaizah, Adibah Noor juga yang belum berkahwin. Mereka bukanlah di kalangan rocker! Jadi, siapa yang perasan berjiwa rockers dan rasa macam hendak 'rock selamanya' dan kononnya menolak sentimen-sentimen 'cinggei', sebenarnya mereka inilah yang lebih berani mengikat diri dengan tanggungjawab berkeluarga. (Err.. mungkin tidak secara am)

Apabila saya sudah berkahwin dan mempunyai anak kecil, kata-kata nenek saya kembali menerobos fikiran saya, terutama tatkala saya mengadap sinki membasuh pinggan. Mungkin itu hanyalah 'pantang-larang zaman berzaman' sebagai peringatan kepada kita supaya buat kerja biar bertertib. Sama seperti, "Jangan duduk di pintu, nanti orang lambat masuk meminang", "Jangan duduk atas bantal, nanti tumbuh kudis", "Jangan nyanyi sewaktu memasak, nanti kahwin dengan orang tua". Tetapi tidak saya nafikan saya takut juga.

Kesan pantang-larang lain - lambat masuk meminang, tumbuh kudis, kahwin dengan orang tua; tidaklah lagi saya risaukan kerana menganggap diri 'sudah lepas'. Kalau tumbuh kudis pun boleh pergi Klinik Pakar Kulit Puru di Seremban (ya, nama doktor itu macam tidak sesuai untuk menjadi pakar kulit!). Tetapi kesan pantang-larang yang satu ini - 'nanti mati meninggalkan anak kecil', agak terkesan di lubuk hati saya yang paling dalam, atau mungkin ketiga paling dalam, apa pun, tetap dalamlah. Ini kerana, kesannya bukan ke atas saya, tetapi ke atas mereka yang saya tinggalkan. Nanti kalau suami saya berkahwin lagi, sudah pasti anak kecil saya itu tidak akan mengingati saya. Sedihnya.

Jadi saya mencuba juga untuk membasuh pinggan sampai habis. Saya cuba untuk membasuh kain 2-3 kali supaya kain habis untuk dibasuh. Tapi, bila anak saya sudah besar, ketakutan itu mulai hilang. Sampailah saya mendapat kurniaan anak kecil seorang lagi. Ketakutan itu sudah kembali. Sememangnya pantang-larang zaman berzaman ini sebagai peringatan untuk kita menjadi insan yang lebih baik. Jangan percaya sangat natijahnya.

Takziah kepada kawan saya.
Hidup mesti terus (M Nasir yang cakap).

Thursday, May 22, 2014

Pakcik Professor

Sampainya saya di depan bangunan kelas anak saya, kawannya memanggil, "Irfan! Mak Irfan!".
Sementara menunggu anak saya bersiap untuk balik dan bersalam-salaman (hampir satu kelas!), saya menyusun kasut-kasut yang bersepahan di depan pintu.

[<*
Kepala saya agak serabut kalau tengok kasut tidak bersusun, malah bersepah-sepahan pula, macam selalu yang kita nampak dihadapan pintu tempat solat, surau atau masjid. Rak kasut agak lapang manakala depan pintu berkumpul kasut-kasut yang pemiliknya lebih rela kasut mereka dipijak-pijak daripada mengambil sekadar 5joule tenaga untuk membongkokkan badan mengambil kasut dan menyusun di atas rak.
Ha! ha!. tiba tiba hari ini saya terfikir hubungan joule dan aktiviti manusia.
Nah, rujuk di sini: http://www.roymech.co.uk/Useful_Tables/Human/Human_work_energy.html
*>]

Tidak lama selepas itu, saya terdengar kawan di dalam kelas menjerit lagi, "Amna! Atuk Amna!".
Kadang-kadang Amna akan dijemput oleh datuknya. Pada kadang-kadang yang lain pula, Amna akan dijemput oleh bapanya (atau mungkin abangnya, saya pun tidak pernah menyapa). Datuk Amna ini mudah orangnya. Mudah mesra, mudah bercakap, mudah tersenyum, mudah juga cara berpakaian dan penampilannya.

"Pakcik kerja lagi ke?" tanya saya, kerana datuk Amna kelihatan agak berusia.
"Kerja.."
"Hari ni tak kerja ke?"
"Kerja petang"
"Oh.. kerja petang, kerja di mana?"
"Saya pensyarah di USIM"
"USIM Nilai tu?"
"Ya.."
"oh... ke Nilai setiap hari?"
"Ya.. saya ni sudahpun 66 tahun ni!"
"Oh... ye ke?"
"Kalau Prof Madya ke atas, boleh sambung perkhidmatan sampai umur 70 tahun"
"Oh, Dr ke ni?"
"Alaaahh... panggil Haji sajalah"

Teringat pula saya sewaktu kali kedua menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Narita (kali pertama hanya transit saja :), tapi tetap telah menjejakkan kaki di situ), saya sedang berfikir-fikir cara bagaimana hendak ke Tokyo yang paling mudah, dan paling penting dapat menepati janji masa pertemuan dengan kawan di Tokyo nanti.

Saya nampak sekumpulan orang Malaysia beratur bersama-sama saya. Selesai mendapatkan bagasi, saya mendekati salah seorang dan bertanya kalau saya boleh bersama-sama mereka ke Tokyo. Tetapi mereka tidak menuju ke Tokyo, melainkan seorang daripada mereka.

Kami pun berkenalan. Saya tidak tahu hendak memanggilnya apa kerana usianya sudah tua, dan penampilannya yang segak. Takkanlah hendak dipanggil 'abang'. Ahh... panggil 'pakcik' sajalah. Tetapi memandangkan perbualan kami lebih banyak dalam bahasa ibunda pedalaman London, cuma I-You sajalah. Sejarah 'pakcik' itu bermula jauh dari kampung di Melaka, ke Kolej Melayu Kuala Kangsar, hingga sekarang merantau ke dari satu negara ke satu negara memberi ceramah. Bilik hotel yang bakal dia tujui itu ialah bilik hotel yang dia tinggalkan bersama barangannya, kerana terbang sebentar selama seminggu ke New York, dan singgah Malaysia selama 2 hari. Tentang isterinya seorang penulis novel, tentang anak yang mengikuti jejak langkahnya di Amerika dan seorang lagi anak berbakatnya di London. Hmm... Suatu pencapaian yang tidak dapat saya bayangkan. Saya lebih memberi perhatian kepada kopi panas yang saya minum ketika itu dalam sela masa lebih satu jam menunggu kedatangan bas pertama ke Tokyo pagi itu.

Sebelum berpisah apabila saya turun dulu dari bas, dia memberikan kad namanya, yang saya lihat hanya selepas saya pulang ke tanahair.
Bila saya mengemas beg, saya ternampak kad nama itu. "Prof Emeritus Dato' Dr Noramly Muslim'.
"Lorrrrr... aku panggil 'pakcik' je?"

Bila saya google di internet, PEDDNM (singkatan :) ), memang seorang yang bijaksanasini. Isterinya muallaf berbangsa Australia yang menulis novel ala-ala J.R.R Tolken (nota: saya pun belum pernah membaca novel Tolken, apa yang saya nak gambarkan ialah, isterinya menulis novel inggeris berkisar pengembaraan fantasi dari dunia yang entah sebelah mana saya pun tak tahu, dan bukannya novel cinta "Playboy Itu Suami Jiran Sepupu Aku"). Anaknya pensyarah (phD) di Amerika dan pemilihpelakon di London. Saya pun tak tahu bila agaknya mereka ini berkumpul.

Tak mengapalah. Dulu pun saya pernah berbual dengan Tun Mahathir, dia kata, "Nak panggil saya 'pakcik' pun takpa, barangkali saya lebih tua dari ayah awak", ketika saya tersasul memanggilnya.
Tun Mahathir sebenarnya berkongsi tarikh lahir dengan ayah saya!

Panggilan 'pakcik' memang relevan pada bila-bila masa.
Untuk urusan formal, saya nasihatkan, gunakan "Cik", "Encik" atau "Tuan".



Monday, May 19, 2014

Nasihat Kepada Ibu-Ibu


Saya mempunyai masa santai hari ini. Saya mengambil peluang melewati blog rakan penulisan - SeriKandi Tanah Jauhar - dan terpandang kad ibu mengandung ini....
Saya tidak pernah bertanya kepada ibu saya bagaimana keadaannya dulu dia mengandungkan saya, kerana saya tidak pernah menyangka wujudnya kad sebegini empat puluh tahun yang lampau. Yang saya pasti, waktu itu kami di Sentul, Kuala Lumpur.

Saya sebenarnya tertarik dengan NASIHAT KEPADA IBU-IBU itu.. :)
1. Pergi ke klinik pada tiap-tiap bulan bila mengandung
Sewaktu saya mengandung buat kali pertama, lebih 12 tahun yang lampau (suka 'melampau' saya pada hari ini), saya hanya pergi kerja macam biasa. Bila saya tidak datang bulan, saya dah tahu, saya pasti mengandung. Tetapi, sebab masih awal lagi, tidaklah saya pergi ke mana-mana klinik.
Pada suatu malam, masuk bulan ketiga, saya dan suami pergi ke klinik Dr Zaimah. Doktor perempuan itu memarahi saya.
"Dah tiga bulan baru nak datang! Dah makan macam-macam dah ni! Nanti bahaya untuk budak tu! Takkan la tak tahu dah mengandung! Kalau orang yang dah kahwin, tak datang bulan, mestilah mengandung! Itu penoreh getah pun tahu!!"
Uii... sungguh garang doktor itu.
"Penoreh getah datang klinik doktor ni ke?" - tanya saya kepada alat menyukat tekanan darah di atas meja itu.. tetapi hanya di dalam hati, kerana waktu itu pukul 8 malam. Saya sudah menikmati makan malam, tetapi saya tidak pasti doktor itu masih lapar atau sebaliknya.
Itulah kali pertama dan terakhir saya pergi ke klinik itu. Sekarang klinik itu sudah tiada lagi. Jangan salahkan saya kenapa klinik itu tutup. :) Anggap saja keadaan cuaca dan ombak deras tidak mengizinkannya utuk meneruskan operasi.

2. Cepat tetapkan bidan
Jawatan Bidan sudahpun tidak dipanggil bidan lagi. Telahpun ditukar kepada Jururawat Desa. Mungkin ada Jururawat Desa yang bernama Bidan, kesan dari pandangan jauh ibu dan bapanya yang sudah menetapkan kerjaya masa depan anak, maka Kak Bidan akan tetap dipanggil 'bidan'.
'Tetapkan bidan' di sini, mungkin bermaksud, menempah masa bersalinlah agaknya. Orang sekarang panggil,'block calendar', supaya Kak Bidan tidak pergi bercuti jauh jauh. Bayangkanlah ya, tanpa telefon bimbit pada waktu itu, bagaimana hendak 'menangkap' Kak Bidan di kala kecemasan? Kalau dalam drama-drama tivi, biasanya ada seseorang yang pergi ke rumah Kak Bidan untuk memberitahu.
Zaman sekarang, kena 'tetapkan hospital' sebelum memilih doktor.
Sewaktu saya keguguran beberapa tahun lampau (nampak macam tak 'melampau' sangat tempoh 'beberapa tahun' itu.. tapi tak mengapalah.... suka saya menggunakan perkataan itu hari ini), saya berjumpa doktor dan memilih untuk duduk dirumah tatkala tanda-tanda keguguran sudah muncul.
"Nak duduk rumah boleh, nak duduk sini pun boleh. Tak ada apa-apa. Nanti bila darah dah habis keluar, datang sini kita cuci"
Saya telah memilih untuk duduk dirumah menunggu darah  habis keluar sebab saya termakan kata-kata Doktor Ishak - 'Tak ada apa-apa'.
Akibatnya, dahi saya benjol sebab pitam dan melanggar dinding pada kelajuan 30km/j sebelum jatuh ke arah belakang dan melanggar kabinet kecil. Dua kali! Nasib baik saya tidak jatuh ditimpa tangga, kerana tangga di simpan di belakang rumah. :)
Sebelum terjadi kali ketiga, dinihari itu juga kami ke hospital.

3. Ikut nasihat 'Nurse' berkenaan makanan dan pakaian supaya kanak-kanak sehat.
Pakaian pun kena ikut nasihat 'nurse' jugak ya.
Saya tidak suka makan pil. Saya amalkan memakan kurma saja. Murah. Sunnah. Makanan terbaik.
Banyakkan bertaubat dan berdoa.

4. Lepas bersalin jangan tahan diri makan-lah banyak dan minum pun banyak supaya bolih kamu menyusukan anak.
(Yang ini saya tak tahan hendak ketawa membacanya, lebih-lebih lagi baru saja menonton filem P Ramlee di tivi)
Tempoh masa 'dalam pantang' adalah tempoh dimana ibu bersalin bergantung sepenuhnya kepada adat dan kepercayaan orang terdahulu. Sebab, kalau mengikut nasihat orang-orang skeptikal, tak perlu jamu, tak perlu bengkung, tak perlu bertungku dan berurut. Yang perlu mengikut orang zaman sekarang ialah pam susu yang mahal, bantal empuk corak burung hantu, barut budak corak mikimaus. Hendak terjumpa bayi yang berbedung pun macam susah saja pada zaman sekarang ini. Orang dulu-dulu kata, anak yang tidak dibedunglah punca mereka tidak mendengar kata pabila besar nanti. Bukan saya kata ya. Kadang-kadang makcik urut pun kata begitu.
Ya, makcik urut!. Makcik urut akan mengurut badan kita sambil membuat senaman mulut mengalahkan pengacara Majalah 3. Biarkanlah saja, kerana kalau dia diam, kita diam, bosan pula sesi mengurut itu nanti.

Yang penting, banyakkan mengaji kuran, bertaubat dan berdoa untuk anak. Jaga kesihatan. Apa pun yang terjadi sudahpun tertulis untuk kita.








Thursday, May 15, 2014

Guru Pencetus Dayarekacipta Penjana Pembaharuan


Terima Kasih Cikgu.
Terima Kasih Teacher.
Terima Kasih Ustaz.
Terima Kasih Ustazah.
Terima Kasih Puan.
Terima Kasih Encik.
Terima Kasih Dr.
Terima Kasih Prof.

Sewaktu mendengar dua baris puisi di radio pagi tadi, "Jika hari ini seorang seorang Perdana Menteri berkuasa. Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta...", anak saya mencelah, "Mama, Syakirin pernah dengar puisi ini". Ya, sajak hari guru....
"Sejarahnya bermula dengan seorang guru biasa". Sesungguhnya, guru biasa itulah guru yang luar biasa.

Saya tidak bersekolah tadika. Dan saya pergi ke tiga buah sekolah rendah. Jadi agak sukar untuk saya mengingati nama-nama cikgu sekolah rendah saya. Bila saya memasuki asrama sekolah menengah, cikgu yang tidak mengajar saya pun saya ingat namanya, bahkan kereta dan kasutnya.

Saya lebih suka menulis semula tema "Guru pencetus kreativiti penjana inovasi" ini sebagai "Guru pencetus dayarekacipta penjana pembaharuan". Sebab saya suka akan perkataan melayu yang panjang-panjang ejaannya :) .

Dulu saya dan seorang kawan pernah secara harian, 'membuat catatan lakaran' corak baju cikgu fizik kami sewaktu dalam kelas, kerana kami sangsi samada cikgu Lim memakai baju yang sama setiap hari. Secara tidak sengaja, cikgu Lim yang mengajar Fizik, adalah pencetus dayarekacipta saya disebabkan oleh kerana pemerhatian saya terhadap corak pakaiannya menjadikan saya seorang yang observan.

Dalam kelas biologi yang biasanya lewat waktu kelas, saya mendapat cara meringankan berat mata (hilangkan ngantuklah!), dengan cara memanaskan pembaris plastik melalui salur keluar angin ohp (overhead projector) (saya duduk di meja depan, jadi ohp itu diletakkan di meja kami), dan melekapkan pembaris itu pada kelopak mata. Wow! hilang mengantuk untuk 10 minit.

Banyak lagi kisah dayarekacipta dan pembaharuan. Tunggu hari guru tahun depan pula lah. :)

Terima Kasih saya ucapkan kepada guru-guru luarbiasa yang telah dan sedang mendidik anak-anak saya. Saya bangga bila mendengar doa anak saya "Ya Allah, berilah aku ilham untuk menjawab soalan ini dengan cemerlang supaya aku tidak mengecewakan ibu bapa dan guru-guru ku".

Selamat Hari Guru.

p/s: penghargaan kepada guru saya : http://lovely-spectrum.blogspot.com/2013/06/i-dont-hate-roses-anymore.html



Monday, May 5, 2014

Ke Australia. Biasanya saya 'cool'

Sewaktu hendak boarding.
Beratur untuk pemeriksaan sinar-x ke atas bag dan imbasan logam ke atas badan.
Elok selesai diimbas badan dan melangkah keluar dari pengimbas, saya disapa pegawai imigresen bersebelahan pengimbas.
"Nama awak Selena Gomez a.k.a Cik Aji Terell a.k.a Hajiah ?"
Terdiam. Macammana dia boleh tahu akan nama saya? Dia belum pun membuka paspot saya.
"Ya!", Jawab mesti yakin :) , walaupun rasa macam nak buat lawak tak cerdik.
"Awak tidak dibenarkan melepasi garisan ini. Sila tunggu saya di belakang sana"
"Err...Kenapa?".

Saya terfikir juga kalau-kalau saya baru saja melintasi alat pengimbas retina yang mampu memaparkan maklumat diri saya berserta vital statistic dan sejarah perjalanan mahupun pemakanan dan pengambilan lemak tepu, dan bersambung pula dengan pangkalan data Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI)...

----------------------------------------------------------------------------------
Anda pernah ditahan? Saya pernah sebelum ini.
(Dan sememangnya saya mengalami banyak kisah di lapangan terbang :). )

Sewaktu di sebuah lapangan terbang. Waktu itu saya bersama kawan-kawan. Kami hendak pulang ke tanahair. Saya sedang duduk menikmati air kopi di dalam botol kaca. Seorang kawan saya datang dan menghulurkan carikan kertas 2inchi x 3 inchi, tertulis kod nombor 16 angka tulisan tangan.
"Nombor kad panggilan. Masih ada baki. Boleh awak gunakan untuk membuat panggilan ke rumah. Kalau tidak dihabiskan, membazir pula".
Saya menerimanya melalui tangan kiri saya.

Bila habis sebotol kopi itu, saya mendekati tong sampah. Elok saya mendekati tong sampah itu, saya lepaskan kertas kecil dari tangan kiri saya ke dalam tong sampah, dan terus menuju ke telefon awam.
"Eh, aku patutnya buang botol kosong ni! bukan kertas itu!"
Saya pergi semula ke tong sampah tadi, yang setinggi bahu saya dan diameternya pula melebihi hasta saya. Saya nampak kertas itu dan cuba mencapainya. Tetapi, semakin saya korek, semakin ke dalam pula! Saya pun cuba juga sedaya upaya hendak mencapainya juga.

"Cik, apa cik buat ni?" tanya pegawai berpakaian seragam.
Saya disoal siasat lebih kurang sepuluh minit. Walaupun saya bertudung dan dari Malaysia (negara Islam pada jenama), saya tidak merasakan saya mangsa beza-layan. Semua itu hanya prosedur biasa pasca-911 yang mereka lakukan apabila ternampak perbuatan mencurigakan, apalagi sedang menyelongkar tong sampah (nota: ada kes dimana pengganas meninggalkan bom di dalam tong sampah).

Akhirnya saya dilepaskan sebab jawapan saya tidak langsung menggambarkan kebahayaan saya. Atau mungkin soalan mereka yang tidak kena! :)

Kawan saya bertanya, "Kenapa?"
"Kena tangkap sewaktu mengorek tong sampah, aduh... tak 'standard' betul.. haha"
"Kenapa awak korek tong sampah?"
"Saya terbuang kertas yang awak beri tadi"
"La.... saya ada kad asal. Saya cuma salinkan nombor untuk awak dalam kertas lain sebab saya hendak menyimpan kad asal untuk tujuan tuntutan perbelanjaan"
"Kenapa awak tak cakap???"
"Kenapa awak tak tanya?"

.... memalukan saja .....

-----------------------------------------------------------------------

Berbalik kepada kisah saya ditahan selepas mesin pengimbas.

Dalam banyak keadaan, saya boleh kekalkan gaya biasa saya. Tapi kali ini saya betul betul tidak dapat menduga apa-apa kemungkinan selepasnya! Berdebar-debar dan risau memikirkan anak saya yang sudahpun terkehadapan sana. Apa yang saya sudah buat? memandu melebihi hajalu - tidak; tidak membayar tol-tidak; tidak melintas jalan di tempat sepatutnya - hmm tidak; tidak membayar tambang bas mencukupi - tidak, malah terlebih ada lah; menunjukkan isyarat lucah kepada pegawai polis - ish.. belum pernah!! cubaan menggoda penyelamat pantai - errrr..... niat saja ada, tapi hampa kerana kebanyakannya  boleh dipanggil 'uncle'.

Bila saya tanya "Kenapa?", tiba tiba pegawai itu tersenyum, "Sebab budak itu yang menyuruh saya berbuat begitu", sambil menunjuk ke arah anak saya yang sedang tersengih sambil membuat isyarat 'good' di luar kawasan pengimbas penumpang.

Sebentar tadi saya mengalami darah gemuruh sebab risau mungkin ditahan dari kembali ke Malaysia, sekarang saya mengalami darah tinggi dan rasa nak cekik leher anak saya itu.

Untuk menutup malu dan mengekalkan gaya saya, sempat saya bertanya, "Saya masuk TV ke? Ini rancangan Kamera Kandid ke? Mana kameranya?" sambil sebelah tangan membetulkan tudung dan sebelah lagi membuat lambang aman. Peace Yaww!!


*kenyataan bela-diri anak saya:"dia tanya syakirin, syakirin dengan siapa, syakirin jawab, 'dgn ibu saya', lepas itu dia tanya, 'yang mana ibu kamu, siapa namanya?',  syakirin cuma jawab soalan dia. itu saja".


Sunday, April 27, 2014

Nilai RM1.50

Kami bersiar-siar di MidValley (orang sekarang 'bersiar-siar' di dalam bangunan, lengkap dengan pendingin hawa dan melihat keindahan duniawi dari perspektif yang agak mewah).

Sebelum pulang, saya dan anak lelaki saya turun ke tingkat makanan untuk membeli makanan pelik pelik yang tidak mungkin kami jumpai di seluruh Seremban.

Saya singgah di kedai roti Kimochi. Saya suka makan roti. Saya suka mencuba roti dengan macam-macam jenis adunan.

Saya mengambil seketul 'mini choco croissant' dan meletakkan di atas dulang.
"Mama, seketul ni rm1.50? keciknya. Kat sekolah Syakirin dapat makan nasi dengan rm1.50"
"Syakirin kenyang ke makan nasi rm1.50 tu?"
"tak"
"Mama kenyang makan roti kecik ni..."

Jadi saya pun membelinya croissant yang diameternya sebesar bontot botol air mineral 600ml itu. Adakalanya kita makan kerana nafsu kita yang lapar.


Friday, April 25, 2014

Ke Australia. Berani Kerana Benar

"Berani Kerana Benar"
Tapi kebanyakan orang, mereka "Berani Kerana Besar". Kalau pengalaman besar atau pengetahuan besar, baguslah, tapi kalau setakat badan besar, cakap besar, putarbelit besar, simpan sajalah keberanian itu untuk bersedia ditunjukajar sebelum mendapat malu besar.

Beranilah kerana kamu benar. Kerana tiada yang lebih kuat dalam menegakkan sesuatu melainkan pendirian yang benar. Berani kerana benar, dan benar-benar berani (pusing pusing main perkataan).

Agak malang (sekurang-kurangnya bagi saya), tidak semua premis di Gold Coast menerima kad Ekspress Orang Amerika Syarikat (ha ha... American Express). Lebih malang lagi, saya tidak membawa banyak wang tunai (masalah dengan pengurup wang di sini yang tidak menyimpan wang asing yang banyak). Jadi, untuk beli roti pun, saya perlu mencari kedai yang menerima kad saya itu. :)

Saya senang pergi ke pasaraya Woolworths yang bertentangan dengan hotel penginapan saya. Di situ ada kiosk self-checkout. Bawa barang anda, imbas kodbar nya, bayar melalui ETA (Akaun Pemindahan Electronik), masuk barang ke dalam beg plastik yang terurai secara biologik, balik rumah.
Integriti - saya suka!!
Anak saya pun suka, kerana mendapat pengalaman baru seperti itu.

Saya terpaksa membeli adapter yang baru kerana yang sedia ada sudah tidak boleh digunakan di Australia. Tidak boleh digunakan di Australia kerana cabang plag sudah patah. Cabang yang patah itu pula ialah cabang untuk Australia. Kebetulan pula.

Maka saya ke Woolworths. Memilih barang. Ke kiosk self-checkout (sambil menyuruh anak saya melakukannya). O-ooo.... nampaknya harga barang yang terpapar di skrin tidak sama dengan harga yang digantung pada rak. Hmmm.... tak mengapa. Saya akan fikir tindakan selanjutnya. Selesaikan pembayaran ini dahulu.

Selesai membuat bayaran, saya memberitahu salah seorang pekerja yang berpakaian seragam Woolworths.
"Cik, harga yang dipaparkan di rak sana ialah 12.99. Tetapi selepas diimbas, skrin menunjukkan 13.69"
(Tak payah fikir perbezaan .70 sen itu! Saya cuma hendak tahu bagaimana situasi ini ditangani di sini, terutama bila orang asing seperti saya yang membuat laporan).

Dia menyuruh saya untuk pergi ke kaunter hadapan dan membuat laporan untuk bayaran balik (refund).
Saya pergi ke kaunter dan mengulangi ayat yang sama. Dia kemudiannya menyuruh seorang pekerja memeriksa..
bla..bla..bla..kat mana ni..bla..bla..bla..kau tengok jap..bla..bla..bla..eh, betulla, memang lain la.

6 setengah minit kemudian.
"boleh saya dapatkan kad kredit Cik, untuk bayaran balik sepenuhnya"

Saya dapat barang, dan bayaran balik sepenuhnya. Percuma lah maknanya.
"Betul ke tu Mama?"
"Betul la, kalau tak, dia kejar kita sebab bawak balik barang tak bayar"

*********

Ini pula kejadian di salah sebuah pasaraya di Seremban.
Waktu lebih kurang 8 malam.
Saya berbaris dengan troli. Kalau saya tidak silap, hanya tiga kaunter yang buka. Sewaktu termenung, saya ternampak papantanda di atas kaunter "JIKA TROLI ANDA BERADA DI BELAKANG GARISAN HIJAU, KAMI AKAN MEMBUKA KAUNTER YANG BARU"
Hanya saya seorang yang dibelakang garisan (walaupun saya tak pasti, untuk garisan, dimana depan dimana belakang :) ???)

Sesampainya saya di kaunter, sudah banyak troli di belakang garisan hijau.
"Dik", saya nak bertanya kepada juruwang, "Tak mahu buka kaunter baru ke, dah ramai orang beratur tu"
"?????"
"Itu, (menunjuk ke atas) katanya 'akan membuka kaunter yang baru'. Dah panjang dah barisan"
"Tak cukup orang", sambil meneruskan kerja memasukkan barang ke dalam beg plastik (yang bukan terurai secara biologik).












Thursday, April 24, 2014

Sebab Ular Nak Makan Katak

Pagi ini saya singgah ke kedai mamak sebab mencari sebungkus air sebab perut agak lapar sebab saya jangka saya tidak akan sempat bersarapan sebab saya sudah terlambat sebab jalan agak sesak sebab saya terpaksa melalui laluan tunggal sebab hari ini jumlah pemandu kereta lebih ramai dari biasa sebab pagi ini hujan sebab awan kumulus nimbus yang melintasi langit Senawang telah mencapai suhu optimum untuk menderaikan titis titis hujan dengan halaju terminal.

Sesampainya di kawasan kilang tempat saya berkerja, saya terpaksa ke pondok pengawal sebab perlu memulangkan lencana ID Sementara yang saya patut pulangkan semalam sebab semalam saya tertinggal lencana ID saya sebab anak kecil saya mencabutnya dari beg pejabat saya sebab dia suka hendak menyelongkar beg pejabat saya sebab beg pejabat saya berwarna merah jambu sebab anak kecil saya memang sukakan warna merah jambu sebab mungkin merah jambu adalah warna kegemaran setiap perempuan.

Saya terima sahaja 'kata-kata aluan pagi hari' makcik pengawal keselamatan itu sebab saya lambat memulangkan lencana sementara itu sebab kalau saya jawab pun tiada faedahnya sebab mungkin akan melambatkan lagi waktu saya sebab memang salah saya sebab saya malas hendak memulangkan lencana sebelum balik semalam sebab pondok pengawal agak jauh sebab berada pada pintu masuk bertentangan.

Sudahnya saya lambat juga menghadiri panggilan konferens sebab makcik pengawal keselamatan itu telah mengambil 16 minit pagi saya sebab nampak seperti dia tak mahu membebel sekejap didepan saya sebab dia macam sakit hati melihat saya yang berdiri dibalik cermin dengan aksi "jasadku di sini  hatiku di tempat lain" sebab itulah dia membebel lama dan bercakap hal hal yang tiada kaitan dengan masalah lencana lantas menjadi sebab untuk saya mengadili perangainya melalui bibir tebal berlipstik merah cili itu.

Sebab.
Kalau di Kedah dulu, bila terjadi sesuatu, suka hendak bertanya "pasai apa???". Orang Kedah memang suka bercakap dengan nada tinggi. Jadi, sila sebut "pasai apa??" lagi sekali dengan nada tinggi. "Pasai apa???!!!!!!"

Sebab biasanya dicari dan dikorek bagi mendapat tahu punca kejadian. Empat perenggan pertama di atas adalah 'sebab-sebab' menyeluruh dan mendalam, saya gagal menepati masa untuk panggilan konferens.

Kalau digali secara terbalik, "Hang call lambat pasai apa???" - "makcik guard tu la buang masa aku"
"dia buang masa hang pasai apa???" - "dia bebel lama sangat"
"dia bebel lama sangat pasai apa???" - "dia nyampah kut aku dok buat muka toya"
"yang hang buat muka toya tu pasai apa???" - "aku nak jawab pun takdak pekdah"
"takdak pekdah pasai apa???" - "memang salah aku"
dan begitulah seterusnya... sampai la kepada jawapan "pagi ni kan hujan, hang nak tahu pasai apa hujan, hang pergi tanya katak, pasai apa dia panggil hujan, dia pun kata sebab ular nak makan dia.."
"Jadi pasai apa aku lambat ialah SEBAB ULAR NAK MAKAN KATAK"








Wednesday, April 23, 2014

Ke Australia. Hari Yang Mengharukan.

Sabtu.
Kami ke WhiteWaterWorld.
Taman Tema Air bersebelahan DreamWorld.
Masuk dengan menggunakan pass-tanpa-had yang sudahpun kami cetak hari sebelumnya.

Hampir jam 4, kami ke DreamWorld. Melalui jalan pintas hubungan. Kami ternampak pasangan melayu (ada kaitan dengan kisah kisah seterusnya.. jeng jeng jeng) di pintu hubungan itu. Senyum.

Puas bermain untuk hari itu (kerana akan datang lagi), kami pulang.
Sampai di kereta, baru saya terperasan yang GPS tidak berada bersama saya. Lalu terus saya teringat yang saya tertinggalkannya di dalam tandas sewaktu mula masuk ke WhiteWaterWorld!!!
Waktu itu sudah pukul 5.30 petang, dan WhiteWaterWorld tutup pada pukul 5 petang!
Tarik nafas 5 kali.
Istigfar 10 kali.
Macammana saya hendak pulang kerana saya tak pasti jalan pulang. Hari semakin gelap.

Saya bergegas kembali ke pintu masuk WhiteWaterWorld. Ruang legar kaunter pendaftaran sudah berkunci. Pintunya kaca. Saya nampak petugas di dalam. Saya menarik perhatian mereka dengan mengetuk-ngetuk pintu dan melambai tangan. Seorang petugas membenarkan saya masuk setelah saya menyatakan saya berpatah balik kerana tertinggal sesuatu di tandas.
Saya pergi semula ke tandas. Aduh... lama benar orang di dalam tandas itu menyelesaikan urusan. (setelah selesai, rupaya bukan seorang di dalam tandas itu :) uik.. boleh lagu tu ka? ).
Seperti yang saya jangka, tidak mungkin saya akan menemui GPS itu ditempat saya tertinggalkannya.

GPS itu bukan milik saya. Tapi bukan itu yang saya risaukan, kerana boleh saja membeli set yang baru sebagai ganti. Yang lebih merisaukan saya ialah, bagaimana saya mahu balik tanpa panduan jalan?

Saya ke kaunter semula. Menunggu dalam keadaan cemas. Seorang pelanggan lain sedang berurusan dengan pihak kaunter kerana agennya membelikan tiket yang salah!. Ahli keluarganya seramai 4 orang. Suami, Isteri serta 2 anak. Agennya membelikan dia 2 tiket bermusim untuk dewasa, dan 2 tiket sekali-masuk untuk kanak-kanak.
Cara percakapan, sepertinya pelanggan itu bukan warga tempatan.

Lama urusannya. Tak mengapa. Saya tunggu juga.
Jam sudah melepasi pukul 6. Petugas kaunter itu berbaik hati kerana masih ingin melayani saya pada waktu itu.
"Saya tertinggal sesuatu di tandas wanita tadi"
"Apa yang awak tertinggal itu?"
"GPS"
"GPS? Jenama apa?"
(jenama..... saya tidak tahu). "Warnya hitam. Lebih kurang sebesar ini (menunjukkan anggaran dengan jari)"
"Apa yang ada di dalamnya? Gambar awak?"
"err.. bukan milik saya...". Kecewa.
"Saya cuma perlukan sesuatu yang membuktikan GPS itu kepunyaan awak. (Petugas itu pergi ke locker). Ada seseorang memulangkan satu gajet. Saya tak pasti ini apa. Kata penghantar itu, iPhone. Inikah GPS awak?"
Saya kenal GPS yang baru saya pakai 2 hari itu!!

"Ya, itu lah dia!!". Saya rasa muka cemas saya dah beransur reda waktu ini, kerana petugas itu mulai senyum melihat saya.
"Apa bukti GPS ini awak punya?"
"Awak boleh lihat di history. Saya dah pergi Spotlight, Dalby Court Halensvale, Harbour Town, Hotel Surfers Paradise"
"owwwhhhh... sekarang saya tahu kemana awak sudah pergi!! Banyak ke awak bershopping?" soalnya, sambil bergurau.
"Saya tidak tahu nak cakap apa. Terima kasih kerana budi awak"
"Tak mengapa. Boleh awak tulis nama awak disini.. (dia membawa buku ala-ala 'lost & found'). Awak tulis nama, tarikh dan tandatangan menandakan awak sudah menuntut barang ini".
"Terima kasih, terima kasih. Awak perlu tahu yang bantuan awak ini sangat bermakna untuk saya"

Saya sangat terharu kerana dia masih juga mahu melayan saya walaupun kaunter sudah tutup dan sudahpun melepasi waktu kerja. matahari pun sudah hampir hilang.
Syukur dengan kelapangan ini.

Sampai di kereta semula.
Dimana hendak bermakan malam? Hari sudah remang-remang senja. Bayang di atas tanah pun hampir tiada dek kekelaman cahaya.
Saya menghantar teks kepada kepada Ita (kawan di situ), meminta cadangan tempat makan malam.
"Cari makan bendenya? kat sini pukul 5.30 kedai dah tutup"
"apa??? kampungnya!!!!"
"Family-oriented kampung. Jadi pekerja boleh balik awal : Family time :)"

Ha ha ha.. Di Malaysia... dah macam syurga kedai makan...!

Saya terpandang sekeluarga menuju ke kereta mereka. Si Isteri bertudung kepala.
Sengaja saya mengalihkan kereta saya bersebelahan kereta mereka.
"Assalamualaikum, kamu tahu di mana terdapat kedai makan halal untuk saya dan anak saya makan malam ini?"
"Waalaikummussalam. Tidak tahu."
"Tak mengapalah"
"Kamu berdua hendak balik ke mana? "
"Oh, di Halensvale"
"Jauh kah?"
"Tidak. Hanya dalam 6 km dari sini"
"Oh..... kami datang dari beribu-ribu kilometer dari sini. Kami tidak tahu tempat makan di sini."
Errr.. saya juga bukan orang tempatan pakcik / babuchi / abi / incik / uncle boss /.....
"Kalau kamu ada telefon pintar, bolehlah cari melalui telefon pintar. "
"Ya ya.. terima kasih".

Saya bukan tak mahu menggunakan perkhidmatan pakcik Google, cuma, manalah tahu ada cadangan yang baik dari yang berpengalaman atau pernah mencuba makan.
Maka, kami pun bercadang untuk pergi ke McDonald. Yang saya tahu, ada McDonald berdekatan, di MovieWorld. Hanya dalam lima minit dari tempat letak kereta saya.
Tetapi, dalam GPS menunjukkan McDonal terdekat ialah 14km jauhnya.. Aik?? 14km itu sudah sampai ke Surfers Paradise... Memandangkan hari pun sudah gelap, saya setkan jugalah destinasi kami ke McDonald yang 14km dihadapan itu.

Sedang saya mengadap GPS di dalam kereta, cermin tingkap diketuk. Oh, rupanya pakcik/babuchi/abi/incik/uncle boss itu yang mengetuk. Dia menyerahkan roti tortilla dan kentang bakar kepada kami dengan jumlah yang cukup sampai sarapan lusa!
Kami menolak semungkin boleh. Kerana malam itu saya akan bermalam di rumah kawan.
"Ambillah. Kami mahu pulang dan tidak perlukan itu lagi. Makanan istimewa dari Iraq"
Seterusnya isterinya menghulurkan sebotol jus tiga suku penuh kepada kami.
"Makanlah, untuk malam ini kalau tidak jumpa kedai"
Hari sudahpun gelap. Sewaktu meninggalkan tempat letak kereta, kami nampak mereka berjemaah maghrib di sebelah kereta mereka.

Selalulah kita bersikap tolong menolong, walaupun kepada orang yang tidak kita kenali. Kerana sesungguhnya, balasan kebaikan kita itu datangnya dari Allah s.w.t. Kalau kita mudahkan urusan orang lain, Allah mudahkan urusan kita. Tak perlu mengharapkan balasan pertolongan dari orang yang pernah kita buat baik.
Semoga kakak belakang kaunter, dan keluarga Iraq itu mendapat kebaikan dan kesenangan.
Pesan saya kepada anak saya yang menyaksikan insiden-insiden hari itu.



Saya akan mengingati taman tema DreamWorld dan WhiteWaterWorld ini, bukan kerana keberanian saya menaiki Tower of Terror, 7 saat yang menggegarkan modula oblugata pada 2 skala richter dan bisa menggugurkan pankreas dan buah pinggang itu, tetapi kenangan menghadapi ujian dan mendapat pertolongan dari jalan yang tidak dijangkakan.
Ramai kawan cakap, wajah saya senang membuatkan orang lain senang menghulurkan pertolongan. :)

*Kami makan di McDonald malam itu, 14km ke selatan, sebelum berpatah balik 10km ke utara semula..








Monday, April 21, 2014

Ke Australia. Pintu Masuk

Memang ramai rakyat Malaysia yang sudahpun menjejakkan kaki ke Australia, itu saya pasti. Samada untuk melanjutkan pelajaran, berkerja, penggambaran, mahupun berjalan-jalan menghabiskan duit simpanan :).

Dan, akhirnya, saya buat keputusan untuk melawat negara Australia. Itupun dengan tarikan kuat untuk menziarahi rakan lama di Gold Coast. Ita namanya. Sudah agak lama menetap di situ megikut suami berkerja.

Zaman sekarang, tidak susah mendapat maklumat berguna sebelum memulakan penjelajahan ke negara orang. Taip sahaja kata-kunci, berderetlah blog-blog yang boleh dibaca.
Mengenai keperluan, tempat penginapan, tempat makan, tempat untuk dilawati berserta harga-harga yang amat membantu dalam membuat keputusan membabitkan wang ringgit kita. Ya lah, untuk berjalan di negara asing yang nilai matawangnya lebih tiga kali ganda nilai duit kita, mestilah kita berkira-kira walaupun untuk membeli sebotol air minuman kosong, apalagi sebuku roti biasa!

Saya tahu dan maklum, untuk melepasi imigresen Australia, ada bahan bahan terlarang yang tidak boleh dibawa masuk. Ada juga barang tak terlarang, tetapi perlu melepasi pengawasan pihak imigresen sebelum dibenarkan masuk masuk.

TELUR, TENUSU, DAN HASIL BERKAITANNYA.
Itu antara yang tidak dibenarkan mendarat di bumi Australia. Lebih-lebih lagi telur dinosour. Tapi, kalau dalam rambut ada telur kutu, boleh saja.
Kawan saya mengirim Pau Kaya. Dalam bahasa Australia, 'Steamed Bun with Egg Jam Filling'.
"ala.. kau isytihar saja. inshallah kastam lepaskan. Selama ini aku bawa dan lepas"

Anak-anak kawan saya itu sukakan pau kaya. Tujuh bungkus Pau Kaya dan tujuh bungkus Pau Kacang Merah saya beli (kali pertama membeli pau beku, sebab kami tidak berapa makan pau, kecuali bila singgah di RnR dalam perjalanan balik ke Utara. Itu pun pau sedia-di-makan... Ok, baiklah, sebenarnya sebab saya tak pernah tahu guna pengukus pun!).

Saya sampai di tempat kastam yang memeriksa bahan larangan. Walaupun di atas bungkusan pau itu tertulis 'Steamed Bun with Egg Jam Filling', tetapi pegawai kastam itu membaca 'KAYA'. Dia meragui kandungan kaya itu, lalu memeriksa di laman web kastam Australia.


Tak lepas.
Saya cuba meyakinkan pegawai itu dengan menyatakan yang kaya ialah suatu product-akhir (end-product) dan ianya stabil.
"Sebelum ini memang kaya boleh dibawa masuk, tetapi kami telah menyemak semula undang-undang dan peraturan baru-baru ini, dan kami memutuskan yang pau kaya sejukbeku termasuk dalam bahan tidak stabil, kerana terdapat arahan 'simpan sejuk-beku' di pembungkusnya"
"Yang perlu disejukbekukan ialah rotinya. bukan intinya. Kaya ini sudah masak, sama seperti kaya dalam botol"
"Ya, saya faham, kaya di dalam botol boleh dibawa masuk kerana ianya stabil pada suhu bilik. Saya minta maaf"
:(
"Awak akan balik melalui lapangan terbang ini juga kah nanti?"
"Ya"
"Kami boleh simpankan barangan ini di sini dengan bayaran AUD30, atau awak mahu kami membuangnya - tanpa sebarang bayaran?"
"AUD30 itu, sekali bayar, atau untuk sehari?"
"oh, sekali bayar. Mungkin awak sayang hendak membuangnya dan mahu membawanya balik semula, awak boleh tuntut pada hari awak hendak meninggalkan negara ini"
"Tak mengapalah. Caj AUD30 itu sudah 57% melebihi kos 7 bungkus itu. Saya boleh beli lain. Awak boleh tongsampahkan saja. Tetapi kalau awak hendak mencuba makanan Malaysia, boleh masak mengikut arahan dibelakang bungkusan itu :)"

Demikian berakhirnya perjalanan pau kaya sejukbeku itu.

Jadi, kalau ada sesiapa di Australia yang mengirim pau kaya, beli pau inti kacang, dan bawa sekali sebotol kaya. Bolehlah nanti pau itu dikorek inti kacangnya dan diisi pula dengan kaya botol itu tadi.






Monday, March 3, 2014

Apple kedua (atau ketiga?)

Apple pertama saya ialah sebiji IPod, yang saya miliki pada tahun 2008. iPod itu pemberian seorang rakan dari Arizona. Namanya Micheal Cairnes. Pengarah Kualiti Global.
Dia menjanjikan iPod sekiranya saya dapat menyiapkan projeknya lebih awal dari apa yang saya rancangkan dalam jadual projek saya.
Walaupun saya hanya awal sehari, (itu pun kerana perbezaan zon waktu 15 jam antara kami), dia tetap menyampaikan hadiah itu sewaktu saya ke Arizona pada tahun yang sama.
Saya tidak begitu kerap menggunakannya kerana sukar menguruskan file-file melalui iTunes.
iTunes pula ‘banyak songeh’ kerana itu tak boleh, ini tak boleh. Masih saya ingat, waktu itu, saya tidak boleh mendaftar akaun iTunes kerana hanya Negara tertentu saja yang boleh mendaftar. iTunes tidak boleh menerima poskod Malaysia, apalagi mempunyai nama ‘Malaysia’ dalam senarai.

Seorang rakan lain, Michele Fleming, bertanyakan saya, sudah berapa banyak lagu saya isikan dalam iPod itu.
Senyum…. ‘saya tidak tahu bagaimana untuk mengisinya’.. :P
Dia lantas menghadiahkan saya kad iTunes. Kad prabayar USD30 untuk membeli lagu lagu dari ITunes, yang mana setiap lagu secara puratanya berharga USD0.99. Maka iTunes saya didaftarkan menggunakan nama saya, tetapi alamat Michele.
Tetapi, setiap lagu yang telah dibeli dan didownload ke iTunes, hanya boleh disalin sebanyak 4 kali SAHAJA! Wow! Jauh beza dengan cara di Negara kita. Sudahlah lagi disalin dari CD, salinan itu pula di jual dimerata-rata, atau pun boleh dimuat-turun sewenang-wenangnya di laman web!. Maaf, saya bukan dari kalangan yang memuat-turun lagu percuma dari internet. Saya tahu itu perbuatan menghianati karya seni orang lain.
Seharusnya cirri cirri keselamatan iTunes ini diamalkan di Negara ini. Tapi, saya pasti, akan adalah sang bijak pandai yang kerjanya memecahkan kod keselamatan ini dan pastinya tidak berasa apa-apa kerana pihak berkuasa pun tidak berasa apa-apa dengan situasi ini… (minta maaf).

Apabila kita membeli barangan Apple, akan disertakan di dalam kotak sekeping perekat logo Apple. Saya pun menampalnya pada telepon Nokis N95 milik saya.
Boss saya pernah bertanya, ‘Wah, kamu pakai telefon Apple ke?’
‘Apple mana ada telefon!!’
Dan…. Beberapa tahun selepas itu, muncullah iPhone, telefon Apple yang pertama, yang mengambil inspirasi dari Nokia N95 saya yang berperekat logo Apple :) :).

Itu cerita dulu. sekarang saya menghadiahkan diri saya sebiji lagi Apple.
Oleh kerana saya seorang pekerja pintar yang rajin dan patut dicontohi oleh pekerja yang lain, maka saya mendapat sedikit imbuhan dari pihak syarikat yang membuatkan saya mampu membeli gajet melebihi seribu ringgit. Kerana saya MAHU percaya yang Apple boleh bertahan melebihi gajet lain. Bertahan dari segi perkakasan dan perisian k, begitu juga ciri-ciri nya yang lain dari yang lain. Saya percaya akan ketahanan buatan Apple sejak saya mula mengenali Apple Macintosh pada zaman university dulu.

Saya memang tidak suka pergi ke laman-laman web dan membuat perbandingan antara sesuatu model. Kalau saya suka A, maka A lah yang saya akan pilih. Itu adalah 95% keadaan. 4% akan berlaku keadaan di mana saya tidak membeli langsung. 1% pula keadaan dimana saya berpaling ke model lain di saat akhir.
Sewaktu ke pusat tak-beli-beli-terus-belah Aeon Seremban, kami terus ke pengedar produk Apple. Bertanya serba sedikit tentang iPad Mini kepada si penjual yang saya kira agak arif tentang produk itu. Tetapi pembelian produk Apple mesti disertai dengan pembelian produk sampingan lain, seperti pelindung skrin atau kasing.
Kami berlalu masuk ke bahagian elektronik dalam pasaraya Aeon. Suami memperkenalkan Samsung Galaxy Tab 10 (Tab ke Note? Entah… tak tahulah, Samsung memiliki terlalu banyak model. Telefon bimbit saya pun saya kurang pasti apa modelnya :) ). Oh, hampir saya terpikat kerana harganya berpatutan dengan apa yang ditawarkan oleh produk itu!

Untuk membantu saya membulatkan hati saya yang sudah mula goyah, kami makan ais krim dahulu. Aiskrim itu terasa sedap sampai saya mengulang membeli. Mungkin aiskrim itu terasa biasa pada hari hari yang lain… tetapi tidak di kala itu, di kala saya nak membelanjakan duit saya untuk hanya satu benda yang lebih mahal dari insurans dan cukai jalan kereta saya :( .
Kami pun pergi ke SenQ. 2 biji iPad dan 1 biji iPad Mini di ruang pameran, tak dilepaskan langsung oleh tiga beradik yang sibuk bermain game. Huhhhh! 1 lagi iPad Mini tidak digunakan sesiapa, kerana sudah kehabisan bateri, barangkali dikerjakan oleh bapa kanak-kanak tiga beradik itu :).

Saya pun terus memesan iPad Mini.
“kak, Kalau nak beli iPad, kena beli dengan pakej”
“pakej apa?”
“akak kena sign-up Yes 4G”
“saya nak beli model WiFi, buat apa sign-up 4G?”
“itu pakej kak”
“takde kena mengena, saya sign-up 4G nak buat apa, saya tak perlu…”, saya berpaling ke suami, “bah, dia kata nak beli kena pi sign up Yes 4G pulak”
“akak…. Nanti, saya belum habis cakap. Itu pakej… ada pakej lain. Samada akak beli screen protector atau cover”
“screen protector berapa ringgit?” (nada ingin tahu, macam tanya harga goreng pisang kepada makcik tepi jalan)
“140”
“screen protector berapa ringgit?” (nada macam tidak berapa mendengar, macam dengar berita penceraian artis dalam Buletin Utama)
“140”
“screen protector berapa ringgit?” (nada inginkan kepastian, macam baru bukak bil telefon terlampau)
“140”
“berapa ringgit?” (nada seolah-olah tidak percaya, nada macam marah laki sebab jumpa sms meragukan)
“140”
“screen protector?” (ikutlah nada apa pun)
“ya”
(rasa macam nak ulang lagi dan lagi soalan yang sama dengan harapan penjual itu lalai dalam hipnotis dan terus tak payah saya beli pakej apakejadah-screen-protector-sampai-140-hengget tu)
“ok. terima kasih”

Baik pergi kedai tadi. Dan saya pun pergi kedai pertama itu semula.
Saya pun membeli secara tunai sebab kedai itu tidak menerima kad saya. Hukalo… Giant pun terima tauuu…

Sampai di rumah….. hmmmm…. Saya tak tahu guna iPad ni…. :P. Terkial kial nak on... :(

Monday, February 24, 2014

Bila Suami Tiada Di Rumah

Suami saya perlu kerja malam kerana mengambil giliran seorang pekerjanya yang berhenti, dan hanya habis waktu kerja pada pukul 7 pagi keesokkan harinya.
Ini bermaknya.... sayalah yang kena menggegaskan diri pada pagi isnin untuk menyiapkan anak-anak ke sekolah.
Ya, biasanya suami saya yang memandikan dan menyiapkan anak-anak ke sekolah.

Pagi Isnin pun tiba.
Malamnya itu, saya sudahkan menggosok baju sebelum tidur pada pukul 11.
Mungkin penat, tidaklah saya terdengar bunyi penggera pagi. Saya dikejutkan anak sulung saya.
Semuanya berjalan lancar. Irfansyafik dan Amandasyakira tidak banyak hal. Elok saja bila disuruh mandi.
Jangkawaktu yang kami ambil ialah selama 45 minit sahaja! wah, itu suatu pencapaian peribadi yang membanggakan, kerana secara normal saya mengambil masa 30 minit di dalam bilik air :)

Kami pun keluar rumah dan sampai ke sekolah dalam waktu hanya 10 minit. Maklumlah, kereta sepanjang jalan pun tidak sesak.
Sampailah kami di sekolah.... pada pukul 7.55 pagi. Ha Ha Ha.... kerana kami bangun pada pukul 7 pagi!!

Suami saya memang rajin dan penyayang.

Sunday, January 19, 2014

Kenapa Kita Berbohong?

Berapa kali anda sudah berbohong hari ini? Minggu ini? Sepanjang hidup anda?

Minggu lepas saya terdengar di radio perbincangan mengenai “bohong sunat” atau compulsive liar.
Wujudkah sebenarnya bohong sunat ini? Dan bilakah kita disunatkan berbohong?

Saya menonton filem The Outrage. Sebuah filem Thailand. Saya tercari-cari tontonan di pagi Juma
at. Melintas di saluran Citra dan ternampak filem yang baru hendak bermula. The Outrage. Info mengenainya “Kisah pembunuhan misteri melalui penceritaan oleh 3 orang saksi, seorang sami, seorang tukang kayu dan pengjaga mayat”. “Boleh lah.” Kata saya PADA WAKTU ITU.

Selesai menonton… terkagum saya dengan keseluruhan cerita itu, terutama kata-katanya yang mencetuskan otak untuk berfikir. Sinematografi? Tengok sendiri untuk mengaguminya!

Ianya suatu kisah zaman dahulu. Zaman mahkamah di bawah pokok. Zaman tiada forensic atau anjing pengesan. Zaman yang hanya 1% penduduk bersikap skeptikal.
Sebujur mayat ditemui di dalam hutan oleh seorang tukang kayu. Perbicaraan mahkamah bawah pokok mendengarkan testimoni dari tiga saksi utama, Si Penyamun Hutan yang terkenal, isteri si mati, dan si mati – seorang Pahlawan aristocrat.

Testimoni 1.
Oleh Si Penyamun Hutan.


Penyamun hutan ini memang terkenal dengan kejahatannya. Dalam perbicaraan itu, si Penyamun Hutan berkata, “Bukan dia yang membunuh. Tetapi tiada beza dia membunuh Pahlawan Aristokrat itu atau tidak kerana mereka semua memang mahu menyaksikan dia menerima hukuman mati.”
Lalu dia pun bercerita…
Si Penyamun Hutan menyalahkan sang angin kerana tiupan lembut angin telah menyelak langsir tandu membuatkan dia terpandang lalu mengingini Si Isteri jelita di dalam tandu itu. Dia Berjaya memperdaya suami itu, Si Pahlawan Aristokrat yang sombong, ke dalam hutan, pengsan dah diikat pada pokok. Si Penyamun Hutan kembali ke kafilah dan membunuh sekelian pengiring kafilah dan membawa Si Isteri ke tempat suaminya. Di hadapan suaminya Si Pahlawan Aristokrat, Si Penyamun Hutan merogol Si Isteri.
Selepas itu, Si Isteri menangis sewaktu Si Penyamun Hutan mahu beredar.
“Aku kehilangan maruah di hadapan dua lelaki. Kau mesti berlawan pedang dengan suamiku. Aku berjanji, Kalau kau menang, aku akan mengikutmu”
Si Penyamun Hutan tidak bersetuju kerana tahu dia bukanlah bandingan Si Pahlawan Aristokrat kerana sudah tentu pahlawan berlatih pedang bertahun-tahun lamanya, tetapi akhirnya dia melepaskan ikatan dan berlawan pedang. Dia menang setelah Berjaya membunuh pahlawan itu.


Testimoni 2.
Oleh Si Isteri

Ibunya sangat berbangga mempunyai anak secantik itu, tetapi lupa darjatnya hang hanya pekerja dapur istana. Sambil teresak-esak, Si Isteri mengaku membunuh suaminya. Sejak kecil dia membantu ibunya di dapur. Sejak kecil dia mengagumi kepahlawanan suaminya. Akhirnya mereka Berjaya disatukan. Dia tidak pernah mengimpikan lelaki lain. Tetapi dia merasa sangat hampa kerana selepas dirogol, suaminya seakan membencinya, malah Si Suami menyuruhnya membunuh diri sahaja. Sebab itu dia membunuh suaminya di situ.

Testimoni 3.
Oleh Si Pahlawan Aristokrat.
Seorang bomoh yang bisa berhubung dengan dunia mati, bercakap bagi pihak si mati. Selepas kejadian rogol, Si Pahlawan Aristokrat merasa sangat sedih kerana Si Penyamun Hutan dan Si Siteri masih bercumbuan. Si Isteri menyuruh Si Penyamun Hutan membunuh suaminya, tetapi tidak dipersetujui. Si Isteri pun lari selepas menghina Si Penyamun Hutan dan Si Pahlawan Aristokrat, suaminya.
Selepas perempuan itu pergi, Si PenyamunHutan melepaskan ikatan dan meninggalkan pahlawan sendiri.
Si Pahlawan Aristokrat masih terpaku duduk di dahan tempat dia diikat. Dia tidak terkata apa-apa melihat kecurangan isterinya di depan mata. Atas kemurungan itu, dia membunuh diri. Dia menikam diri dengan pedangnya sendiri..

Nah….. maka siapa yang membunuh sebenarnya?
Si Penyamun berbohong kerana dia mahu mati dengan Bangganya kerana dapat mengalahkan Si Pahlawan Aristokrat dalam lawan pedang.
Si Isteri berbohong kerana dia memang bencikan suaminya yang masih meletakkan tarafnya seperti pekerja dapur.
Si Pahlawan Aristokrat berbohong kerana dia malu mengaku yang dia takut berlawan pedang.



Akhirnya, Si Tukang Kayu membuka mulut.
Dia berada di situ sepanjang pertikaian hingga terbunuhnya pahlawan itu. Bersembunyi di balik semak.
Usai perkosaan itu, memang Si Isteri terus bercumbu dengan Si Penyamun Hutan dan melihat sinis suaminya. Dia menyuruh dua lelaki itu berlawan pedang untuk memenangi dirinya. Si Suami menolak atas alasan dia tidak ingin berlawan dengan penyangak. Si pahlawan menuduh isterinya sengaja menggodanya untuk hidup senang. Si Isteri membuka aib suaminya dengan mengatakan suaminya hanya berani di dalam istana, tetapi menggigil ke medan perang. Akhirnya kedua dua lelaki itu bertarung dalam pertarungan yang keanak-anakan kerana masing masing tidak pandai bermain pedang. Pedang pahlawan tercampak. Pergaduhan diteruskan. Sewaktu pahlawan mahu melarikan diri kerana ketakutan, dia terjatuh dan tertusuk pedangnya sendiri.
Si Penyamun Hutan cabut lari.
Si Tukang Kayu yang Nampak mayat itu, terus berlari mendapatkan polis dan membuat laporan.

Satu perkara yang tidak diceritakan oleh Si Tukang Kayu ialah….. bagaimana mayat yang dijumpai itu tidak bersama-sama senjata yang menikam.



Kisah kisah diatas diceritakan semula di dalam terowong tinggal (sewaktu berteduh dari rebut) bersama-sama Sami dan seorang pengurus mayat. Sami berkelana mengajar ajaran dharma. Pengurus mayat yang menjadikan terowong tinggal itu rumahnya, penuh dengan kata-kata sinis san falsafah.

Setelah rebut teduh, ternampak seorang bayi ditinggalkan. Si Tukang Kayu memohon untuk menjaga bayi itu. Dia mempunyai enam anak di rumah, yang serba kekurangan dan hari hari kelaparan. Pedang Si Pahlawan Aristokrat itu ditarik dari tubuh pahlawan yang sedang nazak itu, dijual dan duitnya digunakan untuk anak-anak itu menyambung hidup.

Si Sami yang sekian lama berkelana membawakan ajaran dharma, merasa keliru. Dia baru menerima kelahiran adik dan pada masa yang sama kematian ibu. Sekian lama dia mengajar dharma, sebenarnya kehidupan sebenar memberikan pandangan berbeza padanya.


Saya juga baru tahu yang filem ini adaptasi dari sebuah filem Jepun tahun 50-an, oleh seorang pengarah terkenal http://en.wikipedia.org/wiki/Akira_Kurosawa Akira Kurosawa.

Gambar-gambar dari : http://thaifilmjournal.blogspot.com/2011/09/review-u-mong-pa-mueang-outrage.html