Tuesday, June 17, 2014

Buat Kerja Biarlah Sampai Habis

Isteri kepada rakan sekerja (se-tempat kerja), menghembuskan nafas terakhir malam tadi dan kembali mengadap Pencipta. Umurnya saya tidak pasti, tetapi anak-anaknya masih kecil. Yang bongsu belumpun bersekolah.

Dulu-dulu, kalau saya pulang ke rumah ayah, saya selalu dimarahi nenek saya (sudahpun arwah) kerana sering meninggalkan sisa-sisa kerja. Sebagai contoh, kalau saya membasuh kain, ada beberapa kain yang tertinggal. Kalau saya membasuh pinggan, ada beberapa pinggan yang ditinggalkan tidak berbasuh (biasanya periuk lah yang saya tinggalkan itu).
Marah Nenak saya, "Nanti kau mati tinggalkan anak kecil!".

Waktu itu, saya tidaklah ambil peduli sangat, kerana pada masa itu saya seorang rocker yang tiada mempunyai perasaan atau cita-cita untuk berkahwin. Tapi, kenalah juga menerima hakikat yang saya berkahwin juga. Kalau dilihat secara rawak, rockers-rockers di Malaysia ini memang berkahwin. Awie Wings berkahwin dua kali. Amy Search pun berkahwin tiga kali. Anuar Zain, Dayang Nurfaizah, Adibah Noor juga yang belum berkahwin. Mereka bukanlah di kalangan rocker! Jadi, siapa yang perasan berjiwa rockers dan rasa macam hendak 'rock selamanya' dan kononnya menolak sentimen-sentimen 'cinggei', sebenarnya mereka inilah yang lebih berani mengikat diri dengan tanggungjawab berkeluarga. (Err.. mungkin tidak secara am)

Apabila saya sudah berkahwin dan mempunyai anak kecil, kata-kata nenek saya kembali menerobos fikiran saya, terutama tatkala saya mengadap sinki membasuh pinggan. Mungkin itu hanyalah 'pantang-larang zaman berzaman' sebagai peringatan kepada kita supaya buat kerja biar bertertib. Sama seperti, "Jangan duduk di pintu, nanti orang lambat masuk meminang", "Jangan duduk atas bantal, nanti tumbuh kudis", "Jangan nyanyi sewaktu memasak, nanti kahwin dengan orang tua". Tetapi tidak saya nafikan saya takut juga.

Kesan pantang-larang lain - lambat masuk meminang, tumbuh kudis, kahwin dengan orang tua; tidaklah lagi saya risaukan kerana menganggap diri 'sudah lepas'. Kalau tumbuh kudis pun boleh pergi Klinik Pakar Kulit Puru di Seremban (ya, nama doktor itu macam tidak sesuai untuk menjadi pakar kulit!). Tetapi kesan pantang-larang yang satu ini - 'nanti mati meninggalkan anak kecil', agak terkesan di lubuk hati saya yang paling dalam, atau mungkin ketiga paling dalam, apa pun, tetap dalamlah. Ini kerana, kesannya bukan ke atas saya, tetapi ke atas mereka yang saya tinggalkan. Nanti kalau suami saya berkahwin lagi, sudah pasti anak kecil saya itu tidak akan mengingati saya. Sedihnya.

Jadi saya mencuba juga untuk membasuh pinggan sampai habis. Saya cuba untuk membasuh kain 2-3 kali supaya kain habis untuk dibasuh. Tapi, bila anak saya sudah besar, ketakutan itu mulai hilang. Sampailah saya mendapat kurniaan anak kecil seorang lagi. Ketakutan itu sudah kembali. Sememangnya pantang-larang zaman berzaman ini sebagai peringatan untuk kita menjadi insan yang lebih baik. Jangan percaya sangat natijahnya.

Takziah kepada kawan saya.
Hidup mesti terus (M Nasir yang cakap).