Saya ke Pasar Ramadhan bersama tiga anak saya. Cuaca yang amat terik sampai nak pegang steering kereta pun rasa macam genggam pizza baru keluar oven, membuatkan anak saya sangat sangat mengingini air kelapa.
Saya pergi ke Pasar Ramadhan yang satu ini. Ya, satu saja Pasar Ramadhan yang selesa saya kunjungi saban tahun, walaupun Pasar Ramadhan tersebut saya kunjungi sekali dua saja dalam sebulan... :)
Sewaktu tiba di Pasar Ramadhan itu, kami melintasi seorang pemuda yang memegang tong untuk mengutip derma membina sekolah tahfiz. Kata saya di dalam hati, "habis membeli nanti, akan saya infakkan semua isi beg duit saya ini ke dalam tong itu".
Saya pun melewati pemuda itu dan terus membelikan makanan untuk berbuka puasa. Apabila anak-anak sudah berpuas hati, kami pun bergerak ke arah pemuda dengan tong tadi. Saya pun membuka zip beg duit saya dan mengeluarkan semua not dan syiling dalam beg duit saya. Sebenarnya itu saja duit yang saya ada ketika itu, dengan harapan, keesokkannya gaji akan masuk akaun (walaupun sebenarnya tarikh gaji ialah 25 haribulan, tetapi manalah tahu, sempena perayaan ini majikan membayar awal 'sedikit').
Sewaktu hendak melintas jalan, anak kecil saya (yang tidak berpuasa) meminta dibelikan bihun. Alamak, manalah saya ada duit lagi. Alasan-alasan dongeng saya tidak berkesan.
"Syakirin ada duit tak?" saya bertanya anak sulung saya.
"Ada!"
Lega....
"Syakirin ada lapan puluh sen"
"80 sen? hmmm"
Kami menghampiri penjual bihun goreng. Dia menjual bihun goreng itu di kuali besar seperti yang biasa dilihat di pasar-pasar malam.
"Berapa sebungkus?" Kalau tidak kerana anak saya sudah terjerit-jerit nakkan bihun itu, tidaklah saya berminat dengan bihun yang saya lihat kosong itu, tambahan pula penampilan penjual itu tidak berapa bersih apalagi kacak macam Syarul Ridzwan :p.
"2.50"
"Nak beli separuh bungkus boleh tak?"
"Haiii.. mana nak dapat dik oiii" . Amboi.. sungguh sombong. Awat, la ni takdak barang seringgit dah ka?
Hmm apa nak buat ni?
Saya memandang Syakirin. Syakirin memandang saya. Kami ketawa. Syafik memanglah ketawa walaupun tak faham apa-apa.
Kami memifirkan benda yang sama - pergi semula ke pemuda tong tadi!
"Err... encik, boleh tak saya nak ambik balik sikit je duit yang saya masukkan tadi? errr yang syiling saja, errr boleh tak? Anak saya nak bihun, err duit saya tak cukup seringgit je ni". Padahal tak cukup lebih dari seringgit!
Pemuda tong itu tersenyum. Dia menyeluk poketnya.
"Ini saya sedekahkan untuk awak beli bihun kepada anak awak. Semoga anak ini nanti akan jadi hafizah"
Dia memberi peluang saya bersedekah, saya pula memberi peluang dia bersedekah.
Yang untung pakcik jual bihun itu walaupun bihunnya tak sedap.
Terbaekkk la ajiii
ReplyDeleteKak Haji sangat jujur.. menitis airmata saya...
ReplyDelete