Monday, May 5, 2014

Ke Australia. Biasanya saya 'cool'

Sewaktu hendak boarding.
Beratur untuk pemeriksaan sinar-x ke atas bag dan imbasan logam ke atas badan.
Elok selesai diimbas badan dan melangkah keluar dari pengimbas, saya disapa pegawai imigresen bersebelahan pengimbas.
"Nama awak Selena Gomez a.k.a Cik Aji Terell a.k.a Hajiah ?"
Terdiam. Macammana dia boleh tahu akan nama saya? Dia belum pun membuka paspot saya.
"Ya!", Jawab mesti yakin :) , walaupun rasa macam nak buat lawak tak cerdik.
"Awak tidak dibenarkan melepasi garisan ini. Sila tunggu saya di belakang sana"
"Err...Kenapa?".

Saya terfikir juga kalau-kalau saya baru saja melintasi alat pengimbas retina yang mampu memaparkan maklumat diri saya berserta vital statistic dan sejarah perjalanan mahupun pemakanan dan pengambilan lemak tepu, dan bersambung pula dengan pangkalan data Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI)...

----------------------------------------------------------------------------------
Anda pernah ditahan? Saya pernah sebelum ini.
(Dan sememangnya saya mengalami banyak kisah di lapangan terbang :). )

Sewaktu di sebuah lapangan terbang. Waktu itu saya bersama kawan-kawan. Kami hendak pulang ke tanahair. Saya sedang duduk menikmati air kopi di dalam botol kaca. Seorang kawan saya datang dan menghulurkan carikan kertas 2inchi x 3 inchi, tertulis kod nombor 16 angka tulisan tangan.
"Nombor kad panggilan. Masih ada baki. Boleh awak gunakan untuk membuat panggilan ke rumah. Kalau tidak dihabiskan, membazir pula".
Saya menerimanya melalui tangan kiri saya.

Bila habis sebotol kopi itu, saya mendekati tong sampah. Elok saya mendekati tong sampah itu, saya lepaskan kertas kecil dari tangan kiri saya ke dalam tong sampah, dan terus menuju ke telefon awam.
"Eh, aku patutnya buang botol kosong ni! bukan kertas itu!"
Saya pergi semula ke tong sampah tadi, yang setinggi bahu saya dan diameternya pula melebihi hasta saya. Saya nampak kertas itu dan cuba mencapainya. Tetapi, semakin saya korek, semakin ke dalam pula! Saya pun cuba juga sedaya upaya hendak mencapainya juga.

"Cik, apa cik buat ni?" tanya pegawai berpakaian seragam.
Saya disoal siasat lebih kurang sepuluh minit. Walaupun saya bertudung dan dari Malaysia (negara Islam pada jenama), saya tidak merasakan saya mangsa beza-layan. Semua itu hanya prosedur biasa pasca-911 yang mereka lakukan apabila ternampak perbuatan mencurigakan, apalagi sedang menyelongkar tong sampah (nota: ada kes dimana pengganas meninggalkan bom di dalam tong sampah).

Akhirnya saya dilepaskan sebab jawapan saya tidak langsung menggambarkan kebahayaan saya. Atau mungkin soalan mereka yang tidak kena! :)

Kawan saya bertanya, "Kenapa?"
"Kena tangkap sewaktu mengorek tong sampah, aduh... tak 'standard' betul.. haha"
"Kenapa awak korek tong sampah?"
"Saya terbuang kertas yang awak beri tadi"
"La.... saya ada kad asal. Saya cuma salinkan nombor untuk awak dalam kertas lain sebab saya hendak menyimpan kad asal untuk tujuan tuntutan perbelanjaan"
"Kenapa awak tak cakap???"
"Kenapa awak tak tanya?"

.... memalukan saja .....

-----------------------------------------------------------------------

Berbalik kepada kisah saya ditahan selepas mesin pengimbas.

Dalam banyak keadaan, saya boleh kekalkan gaya biasa saya. Tapi kali ini saya betul betul tidak dapat menduga apa-apa kemungkinan selepasnya! Berdebar-debar dan risau memikirkan anak saya yang sudahpun terkehadapan sana. Apa yang saya sudah buat? memandu melebihi hajalu - tidak; tidak membayar tol-tidak; tidak melintas jalan di tempat sepatutnya - hmm tidak; tidak membayar tambang bas mencukupi - tidak, malah terlebih ada lah; menunjukkan isyarat lucah kepada pegawai polis - ish.. belum pernah!! cubaan menggoda penyelamat pantai - errrr..... niat saja ada, tapi hampa kerana kebanyakannya  boleh dipanggil 'uncle'.

Bila saya tanya "Kenapa?", tiba tiba pegawai itu tersenyum, "Sebab budak itu yang menyuruh saya berbuat begitu", sambil menunjuk ke arah anak saya yang sedang tersengih sambil membuat isyarat 'good' di luar kawasan pengimbas penumpang.

Sebentar tadi saya mengalami darah gemuruh sebab risau mungkin ditahan dari kembali ke Malaysia, sekarang saya mengalami darah tinggi dan rasa nak cekik leher anak saya itu.

Untuk menutup malu dan mengekalkan gaya saya, sempat saya bertanya, "Saya masuk TV ke? Ini rancangan Kamera Kandid ke? Mana kameranya?" sambil sebelah tangan membetulkan tudung dan sebelah lagi membuat lambang aman. Peace Yaww!!


*kenyataan bela-diri anak saya:"dia tanya syakirin, syakirin dengan siapa, syakirin jawab, 'dgn ibu saya', lepas itu dia tanya, 'yang mana ibu kamu, siapa namanya?',  syakirin cuma jawab soalan dia. itu saja".


1 comment: