Sunday, April 27, 2014

Nilai RM1.50

Kami bersiar-siar di MidValley (orang sekarang 'bersiar-siar' di dalam bangunan, lengkap dengan pendingin hawa dan melihat keindahan duniawi dari perspektif yang agak mewah).

Sebelum pulang, saya dan anak lelaki saya turun ke tingkat makanan untuk membeli makanan pelik pelik yang tidak mungkin kami jumpai di seluruh Seremban.

Saya singgah di kedai roti Kimochi. Saya suka makan roti. Saya suka mencuba roti dengan macam-macam jenis adunan.

Saya mengambil seketul 'mini choco croissant' dan meletakkan di atas dulang.
"Mama, seketul ni rm1.50? keciknya. Kat sekolah Syakirin dapat makan nasi dengan rm1.50"
"Syakirin kenyang ke makan nasi rm1.50 tu?"
"tak"
"Mama kenyang makan roti kecik ni..."

Jadi saya pun membelinya croissant yang diameternya sebesar bontot botol air mineral 600ml itu. Adakalanya kita makan kerana nafsu kita yang lapar.


Friday, April 25, 2014

Ke Australia. Berani Kerana Benar

"Berani Kerana Benar"
Tapi kebanyakan orang, mereka "Berani Kerana Besar". Kalau pengalaman besar atau pengetahuan besar, baguslah, tapi kalau setakat badan besar, cakap besar, putarbelit besar, simpan sajalah keberanian itu untuk bersedia ditunjukajar sebelum mendapat malu besar.

Beranilah kerana kamu benar. Kerana tiada yang lebih kuat dalam menegakkan sesuatu melainkan pendirian yang benar. Berani kerana benar, dan benar-benar berani (pusing pusing main perkataan).

Agak malang (sekurang-kurangnya bagi saya), tidak semua premis di Gold Coast menerima kad Ekspress Orang Amerika Syarikat (ha ha... American Express). Lebih malang lagi, saya tidak membawa banyak wang tunai (masalah dengan pengurup wang di sini yang tidak menyimpan wang asing yang banyak). Jadi, untuk beli roti pun, saya perlu mencari kedai yang menerima kad saya itu. :)

Saya senang pergi ke pasaraya Woolworths yang bertentangan dengan hotel penginapan saya. Di situ ada kiosk self-checkout. Bawa barang anda, imbas kodbar nya, bayar melalui ETA (Akaun Pemindahan Electronik), masuk barang ke dalam beg plastik yang terurai secara biologik, balik rumah.
Integriti - saya suka!!
Anak saya pun suka, kerana mendapat pengalaman baru seperti itu.

Saya terpaksa membeli adapter yang baru kerana yang sedia ada sudah tidak boleh digunakan di Australia. Tidak boleh digunakan di Australia kerana cabang plag sudah patah. Cabang yang patah itu pula ialah cabang untuk Australia. Kebetulan pula.

Maka saya ke Woolworths. Memilih barang. Ke kiosk self-checkout (sambil menyuruh anak saya melakukannya). O-ooo.... nampaknya harga barang yang terpapar di skrin tidak sama dengan harga yang digantung pada rak. Hmmm.... tak mengapa. Saya akan fikir tindakan selanjutnya. Selesaikan pembayaran ini dahulu.

Selesai membuat bayaran, saya memberitahu salah seorang pekerja yang berpakaian seragam Woolworths.
"Cik, harga yang dipaparkan di rak sana ialah 12.99. Tetapi selepas diimbas, skrin menunjukkan 13.69"
(Tak payah fikir perbezaan .70 sen itu! Saya cuma hendak tahu bagaimana situasi ini ditangani di sini, terutama bila orang asing seperti saya yang membuat laporan).

Dia menyuruh saya untuk pergi ke kaunter hadapan dan membuat laporan untuk bayaran balik (refund).
Saya pergi ke kaunter dan mengulangi ayat yang sama. Dia kemudiannya menyuruh seorang pekerja memeriksa..
bla..bla..bla..kat mana ni..bla..bla..bla..kau tengok jap..bla..bla..bla..eh, betulla, memang lain la.

6 setengah minit kemudian.
"boleh saya dapatkan kad kredit Cik, untuk bayaran balik sepenuhnya"

Saya dapat barang, dan bayaran balik sepenuhnya. Percuma lah maknanya.
"Betul ke tu Mama?"
"Betul la, kalau tak, dia kejar kita sebab bawak balik barang tak bayar"

*********

Ini pula kejadian di salah sebuah pasaraya di Seremban.
Waktu lebih kurang 8 malam.
Saya berbaris dengan troli. Kalau saya tidak silap, hanya tiga kaunter yang buka. Sewaktu termenung, saya ternampak papantanda di atas kaunter "JIKA TROLI ANDA BERADA DI BELAKANG GARISAN HIJAU, KAMI AKAN MEMBUKA KAUNTER YANG BARU"
Hanya saya seorang yang dibelakang garisan (walaupun saya tak pasti, untuk garisan, dimana depan dimana belakang :) ???)

Sesampainya saya di kaunter, sudah banyak troli di belakang garisan hijau.
"Dik", saya nak bertanya kepada juruwang, "Tak mahu buka kaunter baru ke, dah ramai orang beratur tu"
"?????"
"Itu, (menunjuk ke atas) katanya 'akan membuka kaunter yang baru'. Dah panjang dah barisan"
"Tak cukup orang", sambil meneruskan kerja memasukkan barang ke dalam beg plastik (yang bukan terurai secara biologik).












Thursday, April 24, 2014

Sebab Ular Nak Makan Katak

Pagi ini saya singgah ke kedai mamak sebab mencari sebungkus air sebab perut agak lapar sebab saya jangka saya tidak akan sempat bersarapan sebab saya sudah terlambat sebab jalan agak sesak sebab saya terpaksa melalui laluan tunggal sebab hari ini jumlah pemandu kereta lebih ramai dari biasa sebab pagi ini hujan sebab awan kumulus nimbus yang melintasi langit Senawang telah mencapai suhu optimum untuk menderaikan titis titis hujan dengan halaju terminal.

Sesampainya di kawasan kilang tempat saya berkerja, saya terpaksa ke pondok pengawal sebab perlu memulangkan lencana ID Sementara yang saya patut pulangkan semalam sebab semalam saya tertinggal lencana ID saya sebab anak kecil saya mencabutnya dari beg pejabat saya sebab dia suka hendak menyelongkar beg pejabat saya sebab beg pejabat saya berwarna merah jambu sebab anak kecil saya memang sukakan warna merah jambu sebab mungkin merah jambu adalah warna kegemaran setiap perempuan.

Saya terima sahaja 'kata-kata aluan pagi hari' makcik pengawal keselamatan itu sebab saya lambat memulangkan lencana sementara itu sebab kalau saya jawab pun tiada faedahnya sebab mungkin akan melambatkan lagi waktu saya sebab memang salah saya sebab saya malas hendak memulangkan lencana sebelum balik semalam sebab pondok pengawal agak jauh sebab berada pada pintu masuk bertentangan.

Sudahnya saya lambat juga menghadiri panggilan konferens sebab makcik pengawal keselamatan itu telah mengambil 16 minit pagi saya sebab nampak seperti dia tak mahu membebel sekejap didepan saya sebab dia macam sakit hati melihat saya yang berdiri dibalik cermin dengan aksi "jasadku di sini  hatiku di tempat lain" sebab itulah dia membebel lama dan bercakap hal hal yang tiada kaitan dengan masalah lencana lantas menjadi sebab untuk saya mengadili perangainya melalui bibir tebal berlipstik merah cili itu.

Sebab.
Kalau di Kedah dulu, bila terjadi sesuatu, suka hendak bertanya "pasai apa???". Orang Kedah memang suka bercakap dengan nada tinggi. Jadi, sila sebut "pasai apa??" lagi sekali dengan nada tinggi. "Pasai apa???!!!!!!"

Sebab biasanya dicari dan dikorek bagi mendapat tahu punca kejadian. Empat perenggan pertama di atas adalah 'sebab-sebab' menyeluruh dan mendalam, saya gagal menepati masa untuk panggilan konferens.

Kalau digali secara terbalik, "Hang call lambat pasai apa???" - "makcik guard tu la buang masa aku"
"dia buang masa hang pasai apa???" - "dia bebel lama sangat"
"dia bebel lama sangat pasai apa???" - "dia nyampah kut aku dok buat muka toya"
"yang hang buat muka toya tu pasai apa???" - "aku nak jawab pun takdak pekdah"
"takdak pekdah pasai apa???" - "memang salah aku"
dan begitulah seterusnya... sampai la kepada jawapan "pagi ni kan hujan, hang nak tahu pasai apa hujan, hang pergi tanya katak, pasai apa dia panggil hujan, dia pun kata sebab ular nak makan dia.."
"Jadi pasai apa aku lambat ialah SEBAB ULAR NAK MAKAN KATAK"








Wednesday, April 23, 2014

Ke Australia. Hari Yang Mengharukan.

Sabtu.
Kami ke WhiteWaterWorld.
Taman Tema Air bersebelahan DreamWorld.
Masuk dengan menggunakan pass-tanpa-had yang sudahpun kami cetak hari sebelumnya.

Hampir jam 4, kami ke DreamWorld. Melalui jalan pintas hubungan. Kami ternampak pasangan melayu (ada kaitan dengan kisah kisah seterusnya.. jeng jeng jeng) di pintu hubungan itu. Senyum.

Puas bermain untuk hari itu (kerana akan datang lagi), kami pulang.
Sampai di kereta, baru saya terperasan yang GPS tidak berada bersama saya. Lalu terus saya teringat yang saya tertinggalkannya di dalam tandas sewaktu mula masuk ke WhiteWaterWorld!!!
Waktu itu sudah pukul 5.30 petang, dan WhiteWaterWorld tutup pada pukul 5 petang!
Tarik nafas 5 kali.
Istigfar 10 kali.
Macammana saya hendak pulang kerana saya tak pasti jalan pulang. Hari semakin gelap.

Saya bergegas kembali ke pintu masuk WhiteWaterWorld. Ruang legar kaunter pendaftaran sudah berkunci. Pintunya kaca. Saya nampak petugas di dalam. Saya menarik perhatian mereka dengan mengetuk-ngetuk pintu dan melambai tangan. Seorang petugas membenarkan saya masuk setelah saya menyatakan saya berpatah balik kerana tertinggal sesuatu di tandas.
Saya pergi semula ke tandas. Aduh... lama benar orang di dalam tandas itu menyelesaikan urusan. (setelah selesai, rupaya bukan seorang di dalam tandas itu :) uik.. boleh lagu tu ka? ).
Seperti yang saya jangka, tidak mungkin saya akan menemui GPS itu ditempat saya tertinggalkannya.

GPS itu bukan milik saya. Tapi bukan itu yang saya risaukan, kerana boleh saja membeli set yang baru sebagai ganti. Yang lebih merisaukan saya ialah, bagaimana saya mahu balik tanpa panduan jalan?

Saya ke kaunter semula. Menunggu dalam keadaan cemas. Seorang pelanggan lain sedang berurusan dengan pihak kaunter kerana agennya membelikan tiket yang salah!. Ahli keluarganya seramai 4 orang. Suami, Isteri serta 2 anak. Agennya membelikan dia 2 tiket bermusim untuk dewasa, dan 2 tiket sekali-masuk untuk kanak-kanak.
Cara percakapan, sepertinya pelanggan itu bukan warga tempatan.

Lama urusannya. Tak mengapa. Saya tunggu juga.
Jam sudah melepasi pukul 6. Petugas kaunter itu berbaik hati kerana masih ingin melayani saya pada waktu itu.
"Saya tertinggal sesuatu di tandas wanita tadi"
"Apa yang awak tertinggal itu?"
"GPS"
"GPS? Jenama apa?"
(jenama..... saya tidak tahu). "Warnya hitam. Lebih kurang sebesar ini (menunjukkan anggaran dengan jari)"
"Apa yang ada di dalamnya? Gambar awak?"
"err.. bukan milik saya...". Kecewa.
"Saya cuma perlukan sesuatu yang membuktikan GPS itu kepunyaan awak. (Petugas itu pergi ke locker). Ada seseorang memulangkan satu gajet. Saya tak pasti ini apa. Kata penghantar itu, iPhone. Inikah GPS awak?"
Saya kenal GPS yang baru saya pakai 2 hari itu!!

"Ya, itu lah dia!!". Saya rasa muka cemas saya dah beransur reda waktu ini, kerana petugas itu mulai senyum melihat saya.
"Apa bukti GPS ini awak punya?"
"Awak boleh lihat di history. Saya dah pergi Spotlight, Dalby Court Halensvale, Harbour Town, Hotel Surfers Paradise"
"owwwhhhh... sekarang saya tahu kemana awak sudah pergi!! Banyak ke awak bershopping?" soalnya, sambil bergurau.
"Saya tidak tahu nak cakap apa. Terima kasih kerana budi awak"
"Tak mengapa. Boleh awak tulis nama awak disini.. (dia membawa buku ala-ala 'lost & found'). Awak tulis nama, tarikh dan tandatangan menandakan awak sudah menuntut barang ini".
"Terima kasih, terima kasih. Awak perlu tahu yang bantuan awak ini sangat bermakna untuk saya"

Saya sangat terharu kerana dia masih juga mahu melayan saya walaupun kaunter sudah tutup dan sudahpun melepasi waktu kerja. matahari pun sudah hampir hilang.
Syukur dengan kelapangan ini.

Sampai di kereta semula.
Dimana hendak bermakan malam? Hari sudah remang-remang senja. Bayang di atas tanah pun hampir tiada dek kekelaman cahaya.
Saya menghantar teks kepada kepada Ita (kawan di situ), meminta cadangan tempat makan malam.
"Cari makan bendenya? kat sini pukul 5.30 kedai dah tutup"
"apa??? kampungnya!!!!"
"Family-oriented kampung. Jadi pekerja boleh balik awal : Family time :)"

Ha ha ha.. Di Malaysia... dah macam syurga kedai makan...!

Saya terpandang sekeluarga menuju ke kereta mereka. Si Isteri bertudung kepala.
Sengaja saya mengalihkan kereta saya bersebelahan kereta mereka.
"Assalamualaikum, kamu tahu di mana terdapat kedai makan halal untuk saya dan anak saya makan malam ini?"
"Waalaikummussalam. Tidak tahu."
"Tak mengapalah"
"Kamu berdua hendak balik ke mana? "
"Oh, di Halensvale"
"Jauh kah?"
"Tidak. Hanya dalam 6 km dari sini"
"Oh..... kami datang dari beribu-ribu kilometer dari sini. Kami tidak tahu tempat makan di sini."
Errr.. saya juga bukan orang tempatan pakcik / babuchi / abi / incik / uncle boss /.....
"Kalau kamu ada telefon pintar, bolehlah cari melalui telefon pintar. "
"Ya ya.. terima kasih".

Saya bukan tak mahu menggunakan perkhidmatan pakcik Google, cuma, manalah tahu ada cadangan yang baik dari yang berpengalaman atau pernah mencuba makan.
Maka, kami pun bercadang untuk pergi ke McDonald. Yang saya tahu, ada McDonald berdekatan, di MovieWorld. Hanya dalam lima minit dari tempat letak kereta saya.
Tetapi, dalam GPS menunjukkan McDonal terdekat ialah 14km jauhnya.. Aik?? 14km itu sudah sampai ke Surfers Paradise... Memandangkan hari pun sudah gelap, saya setkan jugalah destinasi kami ke McDonald yang 14km dihadapan itu.

Sedang saya mengadap GPS di dalam kereta, cermin tingkap diketuk. Oh, rupanya pakcik/babuchi/abi/incik/uncle boss itu yang mengetuk. Dia menyerahkan roti tortilla dan kentang bakar kepada kami dengan jumlah yang cukup sampai sarapan lusa!
Kami menolak semungkin boleh. Kerana malam itu saya akan bermalam di rumah kawan.
"Ambillah. Kami mahu pulang dan tidak perlukan itu lagi. Makanan istimewa dari Iraq"
Seterusnya isterinya menghulurkan sebotol jus tiga suku penuh kepada kami.
"Makanlah, untuk malam ini kalau tidak jumpa kedai"
Hari sudahpun gelap. Sewaktu meninggalkan tempat letak kereta, kami nampak mereka berjemaah maghrib di sebelah kereta mereka.

Selalulah kita bersikap tolong menolong, walaupun kepada orang yang tidak kita kenali. Kerana sesungguhnya, balasan kebaikan kita itu datangnya dari Allah s.w.t. Kalau kita mudahkan urusan orang lain, Allah mudahkan urusan kita. Tak perlu mengharapkan balasan pertolongan dari orang yang pernah kita buat baik.
Semoga kakak belakang kaunter, dan keluarga Iraq itu mendapat kebaikan dan kesenangan.
Pesan saya kepada anak saya yang menyaksikan insiden-insiden hari itu.



Saya akan mengingati taman tema DreamWorld dan WhiteWaterWorld ini, bukan kerana keberanian saya menaiki Tower of Terror, 7 saat yang menggegarkan modula oblugata pada 2 skala richter dan bisa menggugurkan pankreas dan buah pinggang itu, tetapi kenangan menghadapi ujian dan mendapat pertolongan dari jalan yang tidak dijangkakan.
Ramai kawan cakap, wajah saya senang membuatkan orang lain senang menghulurkan pertolongan. :)

*Kami makan di McDonald malam itu, 14km ke selatan, sebelum berpatah balik 10km ke utara semula..








Monday, April 21, 2014

Ke Australia. Pintu Masuk

Memang ramai rakyat Malaysia yang sudahpun menjejakkan kaki ke Australia, itu saya pasti. Samada untuk melanjutkan pelajaran, berkerja, penggambaran, mahupun berjalan-jalan menghabiskan duit simpanan :).

Dan, akhirnya, saya buat keputusan untuk melawat negara Australia. Itupun dengan tarikan kuat untuk menziarahi rakan lama di Gold Coast. Ita namanya. Sudah agak lama menetap di situ megikut suami berkerja.

Zaman sekarang, tidak susah mendapat maklumat berguna sebelum memulakan penjelajahan ke negara orang. Taip sahaja kata-kunci, berderetlah blog-blog yang boleh dibaca.
Mengenai keperluan, tempat penginapan, tempat makan, tempat untuk dilawati berserta harga-harga yang amat membantu dalam membuat keputusan membabitkan wang ringgit kita. Ya lah, untuk berjalan di negara asing yang nilai matawangnya lebih tiga kali ganda nilai duit kita, mestilah kita berkira-kira walaupun untuk membeli sebotol air minuman kosong, apalagi sebuku roti biasa!

Saya tahu dan maklum, untuk melepasi imigresen Australia, ada bahan bahan terlarang yang tidak boleh dibawa masuk. Ada juga barang tak terlarang, tetapi perlu melepasi pengawasan pihak imigresen sebelum dibenarkan masuk masuk.

TELUR, TENUSU, DAN HASIL BERKAITANNYA.
Itu antara yang tidak dibenarkan mendarat di bumi Australia. Lebih-lebih lagi telur dinosour. Tapi, kalau dalam rambut ada telur kutu, boleh saja.
Kawan saya mengirim Pau Kaya. Dalam bahasa Australia, 'Steamed Bun with Egg Jam Filling'.
"ala.. kau isytihar saja. inshallah kastam lepaskan. Selama ini aku bawa dan lepas"

Anak-anak kawan saya itu sukakan pau kaya. Tujuh bungkus Pau Kaya dan tujuh bungkus Pau Kacang Merah saya beli (kali pertama membeli pau beku, sebab kami tidak berapa makan pau, kecuali bila singgah di RnR dalam perjalanan balik ke Utara. Itu pun pau sedia-di-makan... Ok, baiklah, sebenarnya sebab saya tak pernah tahu guna pengukus pun!).

Saya sampai di tempat kastam yang memeriksa bahan larangan. Walaupun di atas bungkusan pau itu tertulis 'Steamed Bun with Egg Jam Filling', tetapi pegawai kastam itu membaca 'KAYA'. Dia meragui kandungan kaya itu, lalu memeriksa di laman web kastam Australia.


Tak lepas.
Saya cuba meyakinkan pegawai itu dengan menyatakan yang kaya ialah suatu product-akhir (end-product) dan ianya stabil.
"Sebelum ini memang kaya boleh dibawa masuk, tetapi kami telah menyemak semula undang-undang dan peraturan baru-baru ini, dan kami memutuskan yang pau kaya sejukbeku termasuk dalam bahan tidak stabil, kerana terdapat arahan 'simpan sejuk-beku' di pembungkusnya"
"Yang perlu disejukbekukan ialah rotinya. bukan intinya. Kaya ini sudah masak, sama seperti kaya dalam botol"
"Ya, saya faham, kaya di dalam botol boleh dibawa masuk kerana ianya stabil pada suhu bilik. Saya minta maaf"
:(
"Awak akan balik melalui lapangan terbang ini juga kah nanti?"
"Ya"
"Kami boleh simpankan barangan ini di sini dengan bayaran AUD30, atau awak mahu kami membuangnya - tanpa sebarang bayaran?"
"AUD30 itu, sekali bayar, atau untuk sehari?"
"oh, sekali bayar. Mungkin awak sayang hendak membuangnya dan mahu membawanya balik semula, awak boleh tuntut pada hari awak hendak meninggalkan negara ini"
"Tak mengapalah. Caj AUD30 itu sudah 57% melebihi kos 7 bungkus itu. Saya boleh beli lain. Awak boleh tongsampahkan saja. Tetapi kalau awak hendak mencuba makanan Malaysia, boleh masak mengikut arahan dibelakang bungkusan itu :)"

Demikian berakhirnya perjalanan pau kaya sejukbeku itu.

Jadi, kalau ada sesiapa di Australia yang mengirim pau kaya, beli pau inti kacang, dan bawa sekali sebotol kaya. Bolehlah nanti pau itu dikorek inti kacangnya dan diisi pula dengan kaya botol itu tadi.