Thursday, March 26, 2015

Jangan Ajar Anak Menipu

Syakirin masih belum menghafal hiragana dan katakananya.
"Syakirin tampal tak carta yang Mama beri tu di atas katil?"
(katil dua tingkat, jadi katil orang atas bolehlah ditampal apa-apa untuk renungan sebelum tidur. Dulu saya letak gambar Kevin Costner, kerana selepas menonton Price Of Thieves, saya bermimpi
berpisah dengannya di lapangan terbang Kennedy dengan ucapan 'kalau ada jodoh kita jumpa lagi')

Tetapi rupanya, anak saya telah diarah tukar katil kerana ada pelajar pengambilan baru yang mahukan katil bawah. Ibunya memberi alasan anaknya tidak boleh tidur di katil atas.

Hmmm....  tak tahu nak komen apa sebab saya pun tak sanggup nak korbankan anak orang lain untuk kemudahan anak saya.

"Tahun depan, Syakirin pindah balik katil bawah. Ambil katil pelajar tingkatan 5 yang akan keluar"
"Tak boleh Mama, katil tak boleh pindah pindah. Kekal sampai 5 tahun"
"Nanti Mama beritahu cikgu Syazreen, yang katil asal Syakirin ialah yang bawah"
"Tak payah lah Mama"
"Syakirin cakaplah Syakirin takut tidur katil atas"
"Tak apa, Syakirin tak takut pun tidur atas"
"Syakirin cakap Syakirin takut jatuh bawah sebab Syakirin tidur lasak"
"Tak apa, katil tu ada pagar kiri kanan"
"Cakap saja tak tahan sejuk dengan angin kipas"
"Tak apa, Syakirin okay saja"

Hmmm.... tak tahu dah nak komen apa sebab saya pun dah mula sedar yang anak saya tak akan sanggup cakap bohong.