Monday, May 19, 2014

Nasihat Kepada Ibu-Ibu


Saya mempunyai masa santai hari ini. Saya mengambil peluang melewati blog rakan penulisan - SeriKandi Tanah Jauhar - dan terpandang kad ibu mengandung ini....
Saya tidak pernah bertanya kepada ibu saya bagaimana keadaannya dulu dia mengandungkan saya, kerana saya tidak pernah menyangka wujudnya kad sebegini empat puluh tahun yang lampau. Yang saya pasti, waktu itu kami di Sentul, Kuala Lumpur.

Saya sebenarnya tertarik dengan NASIHAT KEPADA IBU-IBU itu.. :)
1. Pergi ke klinik pada tiap-tiap bulan bila mengandung
Sewaktu saya mengandung buat kali pertama, lebih 12 tahun yang lampau (suka 'melampau' saya pada hari ini), saya hanya pergi kerja macam biasa. Bila saya tidak datang bulan, saya dah tahu, saya pasti mengandung. Tetapi, sebab masih awal lagi, tidaklah saya pergi ke mana-mana klinik.
Pada suatu malam, masuk bulan ketiga, saya dan suami pergi ke klinik Dr Zaimah. Doktor perempuan itu memarahi saya.
"Dah tiga bulan baru nak datang! Dah makan macam-macam dah ni! Nanti bahaya untuk budak tu! Takkan la tak tahu dah mengandung! Kalau orang yang dah kahwin, tak datang bulan, mestilah mengandung! Itu penoreh getah pun tahu!!"
Uii... sungguh garang doktor itu.
"Penoreh getah datang klinik doktor ni ke?" - tanya saya kepada alat menyukat tekanan darah di atas meja itu.. tetapi hanya di dalam hati, kerana waktu itu pukul 8 malam. Saya sudah menikmati makan malam, tetapi saya tidak pasti doktor itu masih lapar atau sebaliknya.
Itulah kali pertama dan terakhir saya pergi ke klinik itu. Sekarang klinik itu sudah tiada lagi. Jangan salahkan saya kenapa klinik itu tutup. :) Anggap saja keadaan cuaca dan ombak deras tidak mengizinkannya utuk meneruskan operasi.

2. Cepat tetapkan bidan
Jawatan Bidan sudahpun tidak dipanggil bidan lagi. Telahpun ditukar kepada Jururawat Desa. Mungkin ada Jururawat Desa yang bernama Bidan, kesan dari pandangan jauh ibu dan bapanya yang sudah menetapkan kerjaya masa depan anak, maka Kak Bidan akan tetap dipanggil 'bidan'.
'Tetapkan bidan' di sini, mungkin bermaksud, menempah masa bersalinlah agaknya. Orang sekarang panggil,'block calendar', supaya Kak Bidan tidak pergi bercuti jauh jauh. Bayangkanlah ya, tanpa telefon bimbit pada waktu itu, bagaimana hendak 'menangkap' Kak Bidan di kala kecemasan? Kalau dalam drama-drama tivi, biasanya ada seseorang yang pergi ke rumah Kak Bidan untuk memberitahu.
Zaman sekarang, kena 'tetapkan hospital' sebelum memilih doktor.
Sewaktu saya keguguran beberapa tahun lampau (nampak macam tak 'melampau' sangat tempoh 'beberapa tahun' itu.. tapi tak mengapalah.... suka saya menggunakan perkataan itu hari ini), saya berjumpa doktor dan memilih untuk duduk dirumah tatkala tanda-tanda keguguran sudah muncul.
"Nak duduk rumah boleh, nak duduk sini pun boleh. Tak ada apa-apa. Nanti bila darah dah habis keluar, datang sini kita cuci"
Saya telah memilih untuk duduk dirumah menunggu darah  habis keluar sebab saya termakan kata-kata Doktor Ishak - 'Tak ada apa-apa'.
Akibatnya, dahi saya benjol sebab pitam dan melanggar dinding pada kelajuan 30km/j sebelum jatuh ke arah belakang dan melanggar kabinet kecil. Dua kali! Nasib baik saya tidak jatuh ditimpa tangga, kerana tangga di simpan di belakang rumah. :)
Sebelum terjadi kali ketiga, dinihari itu juga kami ke hospital.

3. Ikut nasihat 'Nurse' berkenaan makanan dan pakaian supaya kanak-kanak sehat.
Pakaian pun kena ikut nasihat 'nurse' jugak ya.
Saya tidak suka makan pil. Saya amalkan memakan kurma saja. Murah. Sunnah. Makanan terbaik.
Banyakkan bertaubat dan berdoa.

4. Lepas bersalin jangan tahan diri makan-lah banyak dan minum pun banyak supaya bolih kamu menyusukan anak.
(Yang ini saya tak tahan hendak ketawa membacanya, lebih-lebih lagi baru saja menonton filem P Ramlee di tivi)
Tempoh masa 'dalam pantang' adalah tempoh dimana ibu bersalin bergantung sepenuhnya kepada adat dan kepercayaan orang terdahulu. Sebab, kalau mengikut nasihat orang-orang skeptikal, tak perlu jamu, tak perlu bengkung, tak perlu bertungku dan berurut. Yang perlu mengikut orang zaman sekarang ialah pam susu yang mahal, bantal empuk corak burung hantu, barut budak corak mikimaus. Hendak terjumpa bayi yang berbedung pun macam susah saja pada zaman sekarang ini. Orang dulu-dulu kata, anak yang tidak dibedunglah punca mereka tidak mendengar kata pabila besar nanti. Bukan saya kata ya. Kadang-kadang makcik urut pun kata begitu.
Ya, makcik urut!. Makcik urut akan mengurut badan kita sambil membuat senaman mulut mengalahkan pengacara Majalah 3. Biarkanlah saja, kerana kalau dia diam, kita diam, bosan pula sesi mengurut itu nanti.

Yang penting, banyakkan mengaji kuran, bertaubat dan berdoa untuk anak. Jaga kesihatan. Apa pun yang terjadi sudahpun tertulis untuk kita.








2 comments: