Wednesday, December 25, 2013

Jangan cepat sebut BODO ...

I. SEUNGKAP PERINGATAN
Saya menonton filem “Clash Of The Titans” di televisyen bersama anak saya.
Ketika itu babak kalajengking gergasi sedang bertarung hebat dengan sekumpulan titan-titan.
Pada ketika sang kalajengking menerkam ke tanah, dia merempuh tiang tiang gadang hingga roboh berkecai.
Saya katakan kepada anak saya, “Awat scorpion tu BODO sangat, pi langgaq tiang tiang besaq gajah tu, chehhh!!!..” (kenapa kalajengking itu BODOH sangat hingga melanggar tiang tiang yang besar itu?)
Anak saya menjawab : “scorpion short sighted la, mama” (kalajengking mempunyai jarak perlihatan yang pendek lah, mama)
Saya terdiam dan malu sendiri.
Jangan cepat melatah dan mengutuk kalau kurang ilmu pengetahuan.

II. SEBUAH ANALOGI :
Kilang ada masalah parkir.
Tapi kilang takde duit nak buat tempat parkir bertingkat.
Ada kompeni construction offer buat building parking bertingkat.
Kilang panggil wakil wakil pekerja untuk bermesyuarat. Perjanjian:
1) Kos ditanggung kompeni conctrustion 100%
2) Pengguna dikenakan cas parking 50sen sehari.
3) Cas parking akan meningkat setiap 2 tahun dengan mengambil kira kadar inflasi
4) Kos penyelenggaraan ditanggung kompeni construction. (lampu, kebersihan, security, empty space indicator)
Bangunan parking pun siap.
Pengguna kereta bayar parkir.
Selesai masalah parkir.
Kos berkerja bertambah 50sen sehari x 5 hari x 49 minggu (mengambil kira cuti)
Yang naik bas, tiada perubahan. Masih percuma.
Yang pangkat besar, tiada perubahan. Masih percuma sebab parkir di kawasan khas.

Selepas 2 tahun.
Cas parkir dinaikkan kepada 65sen, bersamaan 30%.
Untuk menjaga kebajikan perkerja berkereta, kilang menampung kos kenaikan 30% tersebut.
Pekerja berkereta masih membayar 50sen. Selebihnya ditanggung kilang.
Kilang menukar kompeni pencuci dgn memilih kompeni yang lebih murah supaya wang dapat disalurkan kepada tampungan parkir.
Kos hidup perkerja tidak berubah, tetapi tandas menurun kadar kabersihan. Pekerja tidak selesa.
Pekerja pejabat meminta supaya tandas eksekutif lebih kerap dibersihkan.

Selepas 2 tahun.
Cas parkir dinaikkan kepada 80sen, bersamaan 30%. Tetapi bersamaan dengan 70% dari kadar 50sen yang asal.
Untuk menjaga kebajikan pekerja, kilang menampung kos kenaikan itu lagi.
Kilang menukar kontrak penyedia makanan di kafe.
Makanan kurang kuantiti. Makanan kurang kualiti.
Kos hidup pekerja tidak berubah. Tetapi hati tidak gembira.
Yang berkereta boleh keluar waktu rehat mencari makanan.
Yang tidak berkereta terpaksa akur dengan apa yang disediakan di kafe.
Lepas makan makanan tak berhasiat, sakit perut, pergi toilet, toilet kotor.
Tapi… tiada pilihan lain.

Selepas 2 tahun.
Cas parkir dinaikkan kepada 100, bersamaan 30%. Tetapi bersamaaan dengan 100% dari kadar 50sen yang asal.
Kilang tidak boleh lagi menampung kos parkir yang hanya dinikmati sebahagian kecil pekerja kilang. Ratio 1:4.
Kilang berhasrat menaikkan cas parkir supaya duit buleh disalurkan ke tempat lain, atau menambah kebajikan yang boleh dinikmati oleh segenap pekerja kilang.
Kadar baru cas parkir ialah 60sen. Naik 20%. Kilang masih menampung kadar 40sen bagi setiap kereta untuk sehari.
Pekerja kilang tidak berpuas hati. Katanya, ‘cas parkir di xyratex hanya 30 sen’. ‘samsung tidak mengenakan cas parkir’
Eksekutif atasan membantah, konon prihatin dengan kemaslahatan orang lain. ‘kesian kepada operator yang memandu, 20sen kepada kami mungkin sedikit, tetapi untuk yang kurang mampu, banyak benda mereka buleh dapat dengan 20sen tu’..
Eksekutif bawahan membantah, ‘hmm kena fikir macammana nak kurangkan kos hidup, atau nak cari duit lebih’
Pekerja yang menaikai bas tiada perubahan.
Pekerja pangkat besar yang sudah ada tempat parkir percuma sendiri – tiada komen.
Wakil pekerja yang turut sama bermesyuarat mempersetujui pembinaan bangunan baru dan perjanjian kadar cas parkir – barangkali sudah berhenti kerja dan duduk diam dari jauh. Biar saja mereka menyalahkan pihak pengurusan kilang secara umum.
Pihak kilang menganjurkan dialog untuk menerangkan kepada pekerja tentang rasional kenaikan kos parkir.
Dialog sejam yang penuh penerangan, diakhiri dengan “Kalau tak suka kerja kilang ni, boleh pindah kilang lain”.
Perkerja sangat teruja mendengar kata-kata itu dan menambil serius mengenainya hinggakan apa yang diterangkan sejak sejam yang lalu terus masuk longkang.
Tatkala pekerja yang tidak menghadiri dialog bertanya intipati dialog, jawapannya hanyalah “oo… boss kata, Kalau hang tak suka bayaq parkir, pi kerja kat kilang lain yang tak payah bayaq parkir”. “dia tak cakap ke kenapa naik?”. “entah, dia punya suka dia nak naikkan, ni kilang dia”


Dengan kenaikan kadar menjelang tahun baru ini, membuatkan saya terfikir sejenak…
Adakah selama ini, golongan atasan di Negara ini yang sebenarnya lebih banyak menerima ‘bantuan’ kerajaan berbanding golongan bawahan.
Setiap sen tol yang dibayar, ada subsidi. Dan mereka masih layak menerima rebat touch n go lagi.
Setiap liter minyak yang diisi, ada subsidi.
Setiap gram gula yang dihirup, ada subsidi.
Dan mereka masih mempertikaikan duit cukai mereka.
Dan mereka marah dengan 500 ringgit yang diagihkan kepada sebahagian yang lain yang sekadar merasa tempias subsidi-subsidi.

Bukanlah ini bermakna saya menyokong kenaikan kos sara hidup.

Wednesday, December 18, 2013

Kemalangan Kereta

Kata orang tua-tua, kalau keluar rumah tertinggal sesuatu, jangan berpatah balik.

Pagi semalam, saya keluar rumah seperti biasa. Kurang 300 meter meninggalkan pagar rumah, anak saya berkata, “mama, botol Manda tertinggal”. Saya tidaklah berpatah balik membuat pusingan U, tetapi meneruskan perjalanan melalui jalan pusingan kembali ke rumah (ya, ada jalan keliling di rumah saya).
Di satu selekoh saya ternampak kereta meluru laju. Saya tidaklah panik. Saya kenal, itu kereta jiran sebelah rumah saya. dia memang selalu memandu begitu, dan saya sudah dapat agak yang dia akan makan jalan, seperti yang selalu dia lakukan. Saya sengaja tidak mengelak, kerana, jika saya mengelak, saya akan melanggar tiang, pagar besi hitam-putih, dan mungkin masuk longkang pula. Saya anggar kerosakannya banyak di pihak saya, dan jika saya mengelak dan keretanya selamat, siapa pula hendak menanggung kerugian kereta saya. maka, saya hanya tekan brek. (saya rasa waktu seperti terhenti ketika itu sehinggakan saya sempat berfikir membuat analisa baik-buruk tindakan saya itu). Akhirnya…. BUMPPPP…

Saya rasa macam hentaman itu kuat, kerana nampak seperti serpihan serpihan kaca, plastic, akrilic, air, batang wiper dan steering berterbangan di udara menjangkau ketinggian 5 meter berserta efek bunyi gabungan 4 halilintar. Saya juga ternampak-nampak kereta yang melanggar saya itu berpusing pusing lawan arah jam, lalu pokok pun tercabut akarnya dan berlari-lari anak menghempap kereta itu… oh tidak.. itu cuma harapan saya saja…

"den dah hagak dah, suatu hari nanti akan 'accident' jugak dio ni kek selekoh ni"

Saya dan anak-anak dalam keadaan baik. Amanda tidak terhantuk, Syakirin tersembam ke head-rest saya dan pening 5 saat. Syafik yang masih lalok bangun tidur… tidak sedar apa-apa. Saya juga tiada apa-apa trauma seolah-olah cukup bersedia, macam bersedia nak mulakan perjalanan menaiki roller-coaster di USS. Kami dan pemandu kereta itu tetap duduk di dalam keadaan masing masing untuk tiga minit sebelum sama-sama melangkah keluar kereta. Saya Nampak asap di dalam keretanya.
“Kita sudah sama-sama langgar lah…”
“oh ye ke, awak makan jalan”
“saya rushing. Saya tertingal wallet. Saya sudah keluar tadi, nak isi minyak, sampai stesen minyak.. alamak.. wallet takde, saya pun patah baliklah nak ambil wallet saya. Saya rushing sebab saya ada meeting pagi ni.. tiba tiba ada kereta awak pula. Awak pun sudah keluar tadi kan, patah balik juga..”
“ya…”. malas la nak cerita perihal dari mula saya bangun pagi pulak. Dalam tivi - “you have the right to remain silent bla bla bla bla”

Kebetulan suami belum pergi kerja, saya panggil dia datang tengok. Teruk juga keadaan kereta Honda City itu. Citra saya kelihatan macam ok saja.

Dipendekkan cerita, kami ke Balai Polis Trafik di Seremban 2 untuk membuat laporan.
1) Nak ambil nombor giliran, mesin nombor giliran rosak.
2) Pegawai di kaunter menyuruh saya mengisi boring laporan. Sikit saja yang perlu diisikan.
3) Kemudian diserahkan kepada pegawai itu. Pegawai itu akan memasukkan semula ke dalam system di komputernya. Lama juga dia klik sana sini dan taip itu ini. Sambil itu, dia juga memberi perhatian kepada siaran televisyen. Saya patut cadangkan, skrin televisyen itu patut hanya mengadap pelanggan, bukan pegawai bertugas.
4) Kemudian ada sorang wanita yang tidak berpakaian polis, keluar dari dalam dan bercakap dengan nada yang kuat “Ni dah takde pelanggan ni, jom la pergi minum! Aku ajak pergi minum dari tadi tak gerak gerak!”. Mak oiii…. Kut ye pun nak ajak minum, tak payah la depan-depan pelanggan. Masa itu, selain saya ada seorang lagi sedang membuat laporan di kaunter sebelah.
5) Selepas wanita itu berlalu, pegawai yang melayan saya sempat pula berbincang tentang makanan dan minuman di kantin dengan pegawai kaunter sebelah.
6) Akhirnya apa yang ditaip tadi pun siap. Pegawai itu menyuruh saya memeriksa kemasukan data tersebut. Sambil itu, dia mengambil telefon bimbitnya…. “kak Norli ada? (bukan nama sebenar)… oo, takde, nak tanya, kek yang dia buat tu ada yang bulat besar tak. Sebab hari tu akak order yang kecik kecik cupcake tu. Kalau ada yang bulat besar nak satu. ….. dia takde ye… takpe lah ye…”. ???? - kak, akak taknak order tart nenas atau tart keju dari saya ke kak? – dalam hati saja…
7) Selepas saya pastikan data itu, Pegawai tersebut menelefon seseorang. “Sjn Yahya… (meminta sambungan ke sjn Yahya)… Jan, ni ada satu kemalangan pagi tadi. Tapi baru satu pihak buat laporan….. baru pagi tadi, pukul 8, kira masih baru lah….di Lavender Heights… kerete kereta…. Ye, baru satu pihak buat laporan…tiada kematian…. Cedera pun tiada… Ooo… bukan Sjn Yahya ke ni?... patutla lain aje suara…. Ooo… mintak maaf la ye Jan he he he…”. Dia meletak telefon. “orang mintak Sjn Yahya Trafik, di baginya Sjn Yahya Jenayah”. Aduii… akak…. Saya rasa dah stress la duduk depan akak lama-lama ni kak… saya nak tengok tivi saya kena toleh belakang 125darjah pulak.
8) Pegawai itu mencetak laporan saya. Saya perlu menurunkan tandatangan saya. “Dik, Pegawai Penyiasat ni, Sjn Yahya, keluar. Nanti kena jumpa dia. tunggu dalam 20 minit macam tu. boleh la nak pergi minum dulu ke, nanti datang balik jumpa dia”

Perniagaan yang paling strategik berkekatan balai polis bukanlah kedai alattulis, cenderahati, kedai besi atau kedai kunci, tetapi kedai makan. Kami pun terpaksa makan sebab kedai lain belum buka. Kalau ada kedai haiwan peliharaan, boleh juga cucuk-cucuk iguana atau anak arnab sebagai mengisi masa lapang.

Saya pun dapatlah berjumpa dengan Sjn Yahya itu. Semasa saya ke biliknya, rakan setugasnya sedang menutup lubang di dinding bagi mengelakkan laluan tikus. Sjn Yahya pun menyoal selidik saya. Dia bertanyakan beberapa soalan kepada saya. Tetapi saya lihat dia menaip panjang. Saya pun memanjangkan leher saya menjeguk skrin komputernya. Ooh.. rupanya dia menulis soalan dan juga jawapan. Contohnya begini:
“S; CUACA KETIKA ITU?
J; BAIK
S; ADAKAH GARISAN PUTIH JALAN?
J; SUDAH KABUR TIDAK JELAS”

“Encik Sjn, kenapa tak buat senarai soalan berserta pilihan jawapan saja. Buat ‘checklist’, tinggal nak tanda jawapan saja. Macam soalan pertama ni kan, ‘Apakah keadaan cuaca ketika itu’, pilihan jawapan tu boleh lah letak ‘baik’, ‘hujan lebat’, ‘jerebu’, ’angin bertiup dari arah barat daya’ , senang nak jawab, tinggal tick tick saja”.
“tak apa… tak payah. lain orang lain la soalan saya tanya. Sebenarnya boleh nak ‘copyright’ (maksud Sjn tu ialah copy-paste) dari tempat lain ni kan, tinggal tukar jawapan saja, tapi tak apa.”
“oh… saya Cuma kesian tengok Sjn asyik pandang lubang tikus di dinding tu semasa fikirkan soalan nak tanya kepada saya”
“takpa takpa…” Sjn tu jawab laju-laju. Saya undurkan sikit kerusi ke belakang dalam jarak yang agak-agak tak tercapai tapak tangan dia kalau nak bagi penyepak.

Akhirnya siaplah laporan itu. Sjn menyuruh saya mencetak gambar kemalangan di atas kertas sebagai bahan bukti.

Selebihnya, urusan bengkel di antara suami saya dan wakil bengkel. Saya duduk rumah seterika baju dan sambung Sudoku.

Tuesday, October 29, 2013

Kenapa Doktor Perlu Tulisan Yang Cantik

Saya menghidap allergy kepada suhu sejuk sejak dari kecil. Badan saya akan ditumbuhi bintik bintik seperti digigit serangga, tapi menyeluruh kulit badan. Terkadang sampai ke kelopak mata.
Semasa kecil, ubatnya ialah AIR GARAM. Orangkampung panggil penyakit Kelopak Garam. Ada juga yang memanggilnya Ludah Hantu.

Semalam saya didatangi allergy itu lagi. Setibanya di pejabat, saya pergi ke klinik di kilang ini (in-plant clinic).
Menunggu tidak berapa lama.
Sampai giliran saya berjumpa doctor.
Dalam hati berkata, ‘doktor yang sama yang saya jumpa sewaktu menghadapi masalah sama beberapa tahun dulu’.
Sekejap saja.
Doktor menulis preskripsi di atas kad laporan perubatan.
Saya keluar dari bilik dan menyerahkan kad kepada Jururawat. Jururawat baru nampaknya. Lelaki. Rasanya belum pernah ada pekerja lelaki di klinik ini.
Tak lama kemudian, jururawat menyerahkan ubatan kepada saya.
1) Krim Ruam Lampin Bayi, satu tiub. “Yang ini Akak sapukan bila perlu sahaja”
2) Ubat Gatal. “Yang ini Akak makan sebiji satu hari, kalau boleh waktu pagi”
3) Panadol.

“Panadol?”
“Ye Kak, Panadol.”
“Panadol ini untuk apa ya?”
“Akak jumpa doctor ada sakit apa?”
“Alergik gatal”
“Tiada sakit-sakit lain?”
“Tidak”
Hmm… saya fikirkan dia akan menyemak semula atau bertanya kepada doctor.
“Entahlah Kak, kat sini memang tulis Panadol. Mungkin Akak ada sakit lain” (dia menunjukkan kad rekod perubatan yang dicatat oleh doctor. Dia cakap “memang tulis Panadol”… tapi saya tak percaya)

Saya mengambil kad rekod perubatan itu dan menunjukkan rekod perjumpaan saya yang terdahulu. Simptom yang sama ditulis oleh doctor yang sama, yang juga menyenaraikan tiga jenis ubat untuk saya.
“Encik, yang ini apa ni, sepatutnya sama dengan yang ini”. Saya menunjukkan nama ubat ketiga.
Jururawat itu memanggil rakan setugasnya dan bertanyakan nama ubat itu.
“Piriton”

Doktor keluar dari bilik kerana waktu konsultasi sudah berakhir.
“Ya lah, bagi dia Piriton lah. Makan malam punya”. Doctor mengesahkan.

Itu cerita saya yang rajin bertanya. Nasib baik juga ubat yang tersalah itu hanyalah paracetamol. Kalau yang lain?
Saya lantas teringat kisah isteri rakan saya yang sedang mengandung, sewaktu ke klinik dan mengambil ubat, beberapa jam kemudian dia dihubungi pihak klinik kerana mereka tersalah memberi ubat. Pihak klinik berusaha pergi ke rumah rakan saya itu untuk member ubat yang sepatutnya.
(sepanjang saya mengandung, doctor menasihati untuk tidak mengambil sebarang ubat)

Oleh itu, saya merayu doctor sekelian, perbaikilah tulisan anda.. :)

Hari ini juga hati saya terkesan dengan kebaikan seorang kawan sekerja. Sewaktu saya memakir kereta, saya Nampak dia asyik melayan telefon pintarnya didalam kereta dengan pendingin hawa dan enjin yang terpasang.
Tidak berapa lama selepas saya sampai di meja saya, kawan itu muncul.
“Aji, you bawa kereta apa?”
“Lamborghini Gallardo warna hitam. Saya parking sebelah awak tadi”
“cermin belakang kereta you tak tutup. Takut hujan pula nanti”
Arrghhh… dan saya terpaksa menapak beratus langkah di tengah terik matahari untuk menaikkan cermin kereta saya yang terletak dihujung tempat parkir itu.

Maka, selepas keluar dari kereta di tempat parkir, tak perlulah kita tengok orang lain, periksalah kereta kita yang bakal kita tinggalkan itu.
Sebenarnya kawan saya itu telah memilih untuk memesongkan laluan ke makmalnya yang terletak di bangunan lain, demi untuk memberitahu saya perkara itu. Jazakallah.

Wednesday, October 16, 2013

Tangkap Basah

Apa itu TANGKAP BASAH?
ditangkap waktu tengah mandi?
ditangkap waktu dalam hujan?
Ditangkap selepas tergelincir dalam lopak air?
Ditangkap lepas itu menangis sampai basah?
Ditangkap lepas itu terkencing sampai basah?

Sewaktu sarapan pagi bersama ‘rakan sesarapan” di tempat kerja, kami biasanya bersembang tentang apa-apa kejadian terkini. Dalam kata lain, apa yang berlaku diantara waktu selepas sarapan hari sebelumnya hinggalah waktu pinggan makanan sarapan hari ini dilabuhkan ke meja.
Selalunya, kami bersembang tentang drama televisyen. Kerana saya jarang menonton drama televisyen, saya akan mendengar dan mengkritik cerita mulut rakan sahaja.

Hari ini rakan menceritakan serba sedikit tentang kisah “Fira Ayuni”. Fira Ayuni adalah suami kepada Azli (nama pelakon itu), dan berkahwin kerana tertangkap basah akibat rancangan jahat Intan Ladyana.
“Macammana boleh kena tangkap basah tu?”
Sebenarnya Intan Ladyana mahu memerangkap Fira dengan orang lain, tetapi Azli yang hadir, lalu datanglah penguatkuasa agama menangkap mereka , lalu mereka TERPAKSA berkahwin.
SAYA TIDAK BERPUAS HATI DENGAN CERITA INI!!!
SAYA SANGATLAH TIDAK BERPUAS HATI DENGAN CERITA INI!!!
SAYA TERSANGATLAH TIDAK BERPUAS HATI DENGAN CERITA INI!!!
“Apa ntahkan… memalukan agama saja. Ingat suka suka hati penguatkuasa tu ke nak datang tangkap dan paksa orang kawin. Macam la senang sangat nak paksa kawin macam tu aje. Meremeh-remehkan kerja penguatkuasa agama!. Orang akan bertanya, yang berdua-dua terasing di sana-sini tu kenapa tiada tangkapan dan paksaan kahwin pun!”.
SAYA TIDAK BERPUAS HATI DENGAN CERITA INI!!!
SAYA SANGATLAH TIDAK BERPUAS HATI DENGAN CERITA INI!!!
SAYA TERSANGATLAH TIDAK BERPUAS HATI DENGAN CERITA INI!!!

Malamnya, selepas menyiapkan beberapa kerja rumah, saya berehat depan televisyen. Saya menekan 1,0,1. Itu sebagai permulaan pelayaran siaran tivi saya, Naik ke 102, 103, 104, 105. Di 105 saya terhenti sekejap. Ada cerita “Mira XXXXX” (tidak ingat sangat tajuk penuh, tapi saya pernah menonton siri pertama drama ini). Babak yang sedang ditayangkan ialah, seorang perempuan berbaju kuning, merengek kesakitan di tepi kayu besar, di dalam semak, di pingir hutan, diwaktu malam. Seorang lelaki berbaju melayu, lalu disitu dan menawarkan bantuan dan meminta izin memegang perempuan itu. Tetapi, alangkah terkejutnya lelaki itu kerana sebaik sahaja dia memegang perempuan itu, perempuan itu menoleh ke arahnya lalu tersenyum. “Kau? SSSSSS?” (dia menyebut nama perempuan itu dengan nada terkejut pitch tertinggi, kerana dia amat tidak menyukai perempuan itu, dan tersedar yang dia tertipu dek rengekan kesakitan perempuan itu). Perempuan it uterus memeluk lelaki itu. Lelaki itu menepis-nepis tangan perempuan itu, cuba menangkis pelukan.
Perempuan itu terus mencuba sedaya upaya untuk memeluk lelaki itu, tetapi anehnya lelaki itu tidak pula cuba sedaya upaya untuk lari. Beberapa minit kemudian, datang beberapa lelaki membawa lampu suluh kearah mereka. “Hoi! Buat apa tu?”
“Saya tak bersalah” kata lelaki berbaju melayu itu tadi.
“Awak ingat kami tak Nampak apa yang kamu buat”, kata pembawa lampu suluh.
“Dia nak rogol saya!” kata perempuan berbaju kuning.
Blaa blaa blaa…..
Mereka berdua dibawa ke rumah penghulu (atau sejawatan dengannya.. tak pasti).
Saya terus beralih ke siaran lain.

Hebatkan? Mudahkan? Mengarutkan?

Monday, September 30, 2013

Kanser dan Sarung Bantal (Ep 2)

Sambungan

Hari ini hari pertama bualan Oktober. Maka berakhirlah bulan September yang penuh dengan aktiviti untuk saya. Jadual penuh. Rumah saya penuh bersepah. Kepala penuh serabut. Perut penuh sebu sebab bila stress saya kuat makan. Poket sahaja yang lapang.

Hari ni, kumpulan penjahit sukarelajelitawan, khususnya dari GMJ, akan meraikan kejayaan mengumpulkan sarung bantal. Pengarah Projek, Dr Kharmila yang cantik menawan di dalam gambar (^_^), bakal mengumumkan catitan terkini dan muktamad. Walaupun nama kempen ini "1000 Pillowcase Drive", saya percaya kami dapat mengumpul lebih dari itu. Cuma, dapatkah kami mengumpul berkali ganda dari 1000 itu?

Selain dari tabiat kurang berdisiplin di jalan raya, tidak dinafikan yang rakyat Malaysia memang pemurah bila tiba bab memberi sumbangan. Kalau tidak, masakan 'anak-anak yatim' dan 'pelajar-pelajar tahfiz' boleh cari makan dengan membawa surat pengesahan dan bersama tabung derma. Syukur, walaupun projek KSK tidak memanipulasi status anak yatim saya, kami berjaya juga mendapat sumbangan ala kadar, diiring berkat semangat sukarelajelitawan yang mahu kempen ini terlaksana dengan jayanya. Bagi pihak saya, sumbangan yang saya terima dari kenalan, semuanya daripada mereka yang buta jahitan. Saya dapat mengumpulkan 43 keping sarung bantal. Pada hari-hari akhir, kawan Dr Kharmila menghubungi saya untuk menyerahkan sarung bantal. Saya sebagai koordinasi Negeri Sembilan, menerima dengan terkejutnya 74 keping sarung bantal itu.

Menjahit bersendirian atau bersama-sama. Dari dekat atau kejauhan. Banyak atau sedikit. Menyumbang dana atau tenaga. Semuanya berkerjasama.

M-E-S-Y-U-A-R-A-T.

Mesyuarat dah selesai. Sambung tulisan.

Sudahpun diumumkan di lembaran KuSarungkanKasih.
DUA RIBU TUJUH PULUH DUA. Bersamaan dengan hari jadi saya. Hari jadi saja yang sama. Tahun jadi ada sedikit selisih. Tak kisahlah, yang penting, "1000 Pillowcase Drive" kali ini bakal menjadi penanda aras untuk kempen seterusnya.

Projek apa pula selepas ini? Sarung kerusi? Sarung ketupat?

Friday, September 27, 2013

Kanser Dan Sarung Bantal

Bulan September adalah Bulan Kesedaran Kanser.
Walaupun saya penyumbang bulanan kepada tabung MAKNA dan menerima majalah MAKNA setiap bulan, saya sendiri tidak didatangi kesedaran itu :).

Sempena dengan itu, saya dan kawan-kawan sukarelajelitawan menyumbangkan tenaga, masa, dan wang ringgit untuk mencapai misi "1000 Sarung Bantal".
Kenapa 1000? apa simboliknya 1000 dengan kanser saya sendiri tak pasti. tapi "SERIBU" tu senang disebutlah kan, kalau diletak 3816, akan panjang "TIGA RIBU LAPAN RATUS ENAMBELAS", dan mungkin sukar diingati susunannya kelak.
Kenapa Sarung Bantal? Sebab hadiah ini diberikan di hospital, untuk kanak-kanak yang duduk lama di hospital kerana menjalani rawatan kanser dan lain-lain penyakit kronik. Bermakna untuk menjadi peneman siang malam kanak-kanak ini diatas katil hospital. Sebab itulah kami memilih untuk mencari corak-corak yang ceria dan bersesuaian dengan kanak-kanak. Kalau dipilih corak awan larat, takut makin melarat.

Sewaktu saya mengandungkan anak saya yang ketiga, saya dan kawan-kawan dikejutkan dengan berita tentang seorang rakan sekolah kami yang didapati menghidap kanser tulang. Dia dan keluarga yang tinggal di Lumut menjalani rawatan kanser di Hospital USM Kubang Kerian. Kami kawan-kawan sekolah, memang mempunyai hubungan yang agak rapat walaupun di sekolah dulu tidak bertegur sapa. Kehidupan dan kenangan hidup di asrama zaman bodoh-bodoh dahulu selamanya mengikat hati kami semua.

Namanya Farid Ahmad (tiada kaitan dengan Fahrin Ahmad, walaupun sama hensem). Anaknya empat dan isterinya suri rumah. Nasib dia sangat baik, kerana zaman ini zaman media sosial. Saya percaya berpuluh kenalan mendoakannya, dari berpuluh itu, sampai kepada beratus kenalan kepada kenalannya turut mendoakan. Bila seorang kawan melancarkan tabung bantuan kewangan, senang sangat mencecah ribuan ringgit.

Saya dan rakan-rakan sempat melawat Farid sewaktu menjalani rawatan kemo di HUSM. Lagi satu kelebihan dia pada waktu itu ialah, ada rakan sekolah (sama batch) yang bertugas di situ. Seorang doktor, seorang lagi tenaga pengajar, seorang lagi sedang menjalani PhD di situ. Kami yang jauh senang mendapat berita, dia yang dekat senang mendapat nasihat peribadi dan professional dari kawan-kawan yang dalam bidangnya. Mempunyai kawan di HUSM juga memberikan kelebihan kepada kami untuk mendapat akses masuk ke hospital.

Waktu itu bulan Ramadhan. Saya dan TheCikKiah(Sulastri (yang bercuti dari pengajian PhD di Jepun), Izalina, Fitriati, Roslina, dan juga Tantapik) bertolak dari LCCT awal pagi. Sepatutnya Hadina ada sekali, tapi, bukanlah namanya Hadina kalau tidak tertinggal penerbangan. Tapi alhamdulillah, Hadina sampai juga dengan unicorn ajaibnya :P. Sampai di KB, dan Dr Fauzey datang mengambil kami ke hospital. Farid terlantar di katil kerana kakinya bengkak.
Pot Pet Pot Pet, Dr Fauzey dan Dr Rosnani menerangkan kepada kami mengenai kanser dan filem x-ray kaki Farid. Muka saya macam mendengar penuh minat walaupun sebenarnya saya tidak berapa faham perbualan orang bijak pandai. Selain Dr Fauzey dan Dr Rosnani, rakan yang menetap di Kelantan turut turun berkumpul di bilik Farid. Sally dan Pak Cha, dua rakan yang saya tidak pernah berjumpa selepas habis SPM.

Seharian kami menemami Farid. Dia sebenarnya perlu banyak berehat. Rawatan kemo memang sangat menyakitkan dan melemahkan badan. Kami datang memberi semangat, kegembiraan dan keyakinan supaya dia terus kuat. Benarkah sel kanser dapat dikawal dengan emosi diri? kerana orang yang positif biasanya sembuh dari kanser. wallahualam. Dunia perubatan berkata, sel kanser ada dalam diri setiap orang. Cara pemakanan orang itu yang mengawal pembiakan sel itu. Dunia perbomohan pula berkata, kalau ada orang dengki kita, nanti orang tu hantar santau dan melekat di jantung kita, menjadi punca kanser jantung... (saya tak quote mana-mana bomoh, saya tengok tivi aje. mahappp).

Farid sempat melalui dua kitaran aidilfitri sebelum pergi selama-lamanya. Saya sempat berjumpa Farid di rumah mertuanya di Kuala Kangsar sewaktu pulang beraya di Taiping, kira-kira sebulan sebelum dia meninggal. Waktu itu kakinya sudah tinggal sebelah. Wajah Farid sangat bercahaya. putih berseri macam kuih makmor, salah satu spesis kuih raya tetap di meja mertua saya.

Sewaktu pengebumiannya ramai kawan-kawan datang menziarahi. Saya tidak dapat hadir kerana komitmen lain. Semoga roh Farid bersama orang-orang yang soleh.

Eh, mana kisah sarung bantal?



CikAji

Thursday, September 26, 2013

Mesin Basuh Baru

Mesin basuh di rumah kami merupakan salah satu dari HANYA BEBERAPA peralatan elektrik yang telah sekian lama berkhidmat.

Saya membeli mesin basuh jenama LG itu pada tahun 2000, di Melaka. Waktu itu saya berkerja di Melaka dan masih lagi tinggal di rumah bujang bersama dua rakan sekerja.

Setelah 13 tahun berkhidmat dengan saya, dia dah mula penat agaknya. Bermula dengan salur masuk airnya tidak lagi mampu mengepam air masuk ke dalam mesin. Ini dapat kami selesaikan dengan kawalan air secara manual (manual: masukkan hos ke dalam mesin, pasangkan air, tunggu di tepi mesin basuh sambil main telefon bimbit, drettt - mesin basuh mula bergerak menandakan air sudah mencukupi, tutup air dan keluarkan hos --> oh. sangat manual. tunggu sehingga air di keluarkan (drain) untuk memulakan tugasan pengisian air secara manual lagi).

Akhirnya sampai juga waktu penamat untuk motor mesin itu. Sudah tamat dan tak boleh di bantu dengan kerja manual, melainkan kena basuh kain manual - dengan tangan lah jawabnya. Tapi, saya yang lembab dalam hal hal kerja rumah ini, tidak mempunyai masa pun untuk duduk membasuh kain. Hantar dobi sajalah penyelesaiannya. Untung juga kerana selalu dapat diskaun dari tuan punya dobi. Petua: hantar kain dengan senyuman! Jangan lupa bawa sekali anak OKU anda, kalau ada :).

Sewaktu balik dari bercuti hari raya, dalam mesin basuh ada Comel dan anak-anaknya. Comel dan pun melahirkan anak-anak untuk kali ketiga.

Itulah jasa terakhir mesin basuh kami. Selepas itu, dia bersendirian di belakang rumah, tidak dipedulikan hingga suatu hari kawan suami saya mengambilnya ke kedai untuk diperiksa.

Semalam, kami bercadang untuk beli saja yang baru. Saya mengimpikan mesin basuh muatan depan. Tidak tahu apa sebab lain, melainkan nampak stylish. hahaha. saya juga memikirkan, mesin basuh muatan depan dapat dihias dengan pokok bunga diatasnya (macamlah pernah wujud hiasan bunga di rumah saya, hmmm).

Kami ke kedai elektrik di bandar Seremban. Nanhong namanya. Lot tepi. di dinding tepi, tertulis :'nanhong. since 1951'. Anak saya bertanya, 'mama, kedai ni sebelum merdeka?'. 'ya, ada kemungkinan. Orang-orang cina berniaga dan berdagang sejak dulu lagi. Mereka sudah menjalankan impot ekspot, dan berurusan dengan orang putih, itu sebabnya mereka tinggal di bandar-bandar'

Saya melihat barisan mesin basuh, lalu kemudian bertanya, "muatan depan ada?", dan ditunjukkan model model mutan depan yang agak terhad.
"muatan depan ni, harganya tak berapa bernilai, dengan kapasiti yang sama dengan muatan atas, harganya berlebih tinggi".
"Itu sebab pembuatnya kot, Electrolux je semua..".
"Samsung pun ada Kak, ini Hitachi"
Saya tengok kapasiti dalam 5 hingga 6 kg sahaja. "Yang besar lagi ada?"
"Yang besar lagi, lagi besar mesin dia Kak"
Ya, memang betul. untuk 8kg, sudah hampir 2.5 kali ganda peti sejuk aiskrim di kedai 7-Eleven! Harganya pula, lebih 5 ribu. Perlukah dan sanggupkah anda membeli mesin basuh 7 ribu ringgit? Dengan keadaan saya hari ni, fikir 3 saat sudah cukup : TIDAK.

Selain harga, lain lain maklumat yang saya dapat ialah:
1) mesin basuh muatan depan adalah untuk mengelakkan kain bergumpal.
2) mesin basuh muatan depan mengambil masa yang lebih lama dalam operasinya.
3) mesin basuh muatan depan, jika digunakan bersama kawalan suhu air, akan memakan lebih banyak kuasa elektrik.
4) (ini pemerhatian saya saja), mesin basuh muatan depan berwarna putih (Oh.. sungguh orang putih!.. sungguh iklan sabun basuh!...). Hitachi saja ada hitam legap, satu model.

Mesin basuh apa yang saya beli akhirnya? Samsung wobble. Sebab?
1) model baru (baru la sangat. padahal tiap bulan pun ada model baru barangan elektrik
2) teknologi baru - teknologi wobble ni terkini tau, orang Korea penat-penat perah otak fikir nak buat teknologi supaya baju tidak bergumpal dan kusut masai. tak payah buh pintu depan pun!
3) harganya sangat-sangat berpatutan. 11kg untuk rm1599 (setelah rebet dengan kad ahli)
4) oh! saya jatuh cinta dengan badannya yang seakan akan metallic. Berkilat. Jadi, ketika saya sedang mengeluarkan basuhan (unloading), saya bolehlah nampak melalui refleksi kalau ada monyet datang dekat, hebatkan? :p
5) selain ada teknologi wobble, dia juga ada pilihan untuk lebihan pengeringan (extra spinner) (koman sikit dari dryer la ni. takpa, boleh cuba tengok bila mesin dah sampai malam nanti)
6) utama sekali, saya terpengaruh dengan kata-kata jurujual yang lemah lembut itu sewaktu saya membelek mesin basuh muatan depan, "dulu orang pilih pintu depan sebab kain tak kusut Kak, tapi sekarang Samsung pun dah buleh buat mesin pintu atas yang tak kusutkan kain Kak" tettttt.... Electrolux kalah teruk di situ! sebab apa? sebab saya ada tengok mesin pintu atas Electrolux yang ada tiang dalam mesinnya untuk mengelakkan kain kusut. Apa???? tiang? Jika anda tak percaya, pergilah cari mesin itu (tak payah keluar ke kedai basikal, google sahaja).

Malam ini mesin baru bakal sampai.


CikAji

Monday, September 23, 2013

Pagi Yang Panjang

cuti separuh hari
Hari Jumaat lepas, saya mendapat satu panggilan telefon dari bank tempat saya membuat pinjaman kenderaan. Kata pemanggil, akibat bayaran ansuran tertunggak 2 bulan dan bunga sudah mencecah ratusan. (sentiasa dua bulan kerana ada satu bulan yang saya bayar tak cukup kerana mesin atm menolak not saya, jadi dianggap tertunggak sebulan. sebulan lagi ialah kerana due pada 21 haribulan sedangkan gaji masuk 26 haribulan).
Saya pun mengambil cuti separuh hari untuk menyelesaikan bunga itu kerana bayaran bunga hanya boleh diselesaikan melalui kaunter, bukan atm.
Soalan: sakitkah hati anda kerana sudah ratusan ringgit baru diberitahu tentang hal itu?


masuk ofis sekejap.
Selepas menghantar anak-anak ke sekolah, saya singgah ofis kerana tidak mahu meninggalkan laptop di dalam kereta sewaktu membuat urusan di bandar. Sewaktu meninggalkan ofis, saya ternampak Ming Jade di dalam kereta (baru sampai ofis la tu.. tardiness... :) )mentertawakan saya kerana fikirnya saya tertinggal laptop dirumah. Itu kejadian minggu lepas. Tak mungkin pisang berbuah dua kali, TAPI memang selalu saya terpaksa berpatah balik ke rumah kerana tertinggal laptop pada hari isnin.
Soalan: tiada buat masa ini.


pergi ke Lembaga Tabung Haji.
Sewaktu saya sampai di perkarangan bangunan Lembaga Tabung Haji, premis masih belum di buka, tetapi ada dua orang bakal pelanggan sedang menunggu di depan pintu. Saya pun turut bersama mereka. Ada beberapa minit lagi sebelum pukul 8.30 dan kelihatan pekerja di dalam premis sedang menyapu lantai. Tepat jam 8.30 pintu dibuka kuncinya. Tiba tiba beberapa pelanggan masuk ikut suka hati mereka dan keluarga mereka dan berebut rebut mendapatkan nombor giliran.
Soalan: kenapa tak tahu beratur atau belajar mendahulukan yang terdahulu?


pergi ke Affin Bank
destinasi seterusnya, Affin Bank di tigasuku penghujung bandar. Jangan mimpi untuk mendapatkan tempat parkir kereta melainkan nasib anda sudah tertulis akan mendapat tempat parkir pada hari itu. Saya meletakkan kereta di belakang bangunan walaupun mata rabun saya nampak ada dua garisan kuning menandakan tidak boleh jual goreng pisang di situ, selain tidak boleh letak kenderaan sukahati saya dan keluarga saya. Keluar saja dari kenderaan, saya didatangi seorang jejaka yang meminta bantuan wang dari saya untuk mengisi minyak keretanya, kerana kadnya tidak dapat digunakan (sambil menunjukkan kad Petronas Mesranya yang saya nampak macam pecah). Dia menawarkan jam tangan (yang sudahpun dilucutkan dari pergelangan tangannya) kepada saya sebagai balasan. "Ini saja yang saya ada kak, akak ambillah". Tapi saya hanya diam membatu. Tidak bergerak. Saya nampak ada orang jogging seberang jalan, saya terus melintas. Lepas itu saya kena lintas jalan semula sebab bank itu di sebelah jalan yang saya letak kereta tadi. :) . Jejaka itu masuk semula ke dalam kereta Wira biru mudanya. Saya mengeluarkan kamera untuk mengambil gambar, tapi dia sempat berlalu pergi sebab kamera Nikon saya 'startup' lambat sangat. Leceh. Saya nampak kereta jejaka itu berhenti lagi 100 meter di hadapan sambil seorang wanita bercakap dengannya.
Soalan: kalau anda lelaki, dalam kesusahan, adakah anda mencari pertolongan dari seorang perempuan, dan di belakang bangunan pula tu? Apa yang anda fikir perempuan itu akan fikirkan?


sarapan di kedai mamak.
Tiba-tiba saya rasa pening kepala dan pandangan saya berpusing-pusing. Saya mula fikirkan sesuatu yang tidak baik tentang jejaka tadi. Bank pun belum buka, saya panjangkan langkah ke hujung blok bangunan untuk bersaparan di kedai mamak. Syukur saya sampai dengan selamat, dan sempat buat pesanan tosai. Saya capai telefon dan menceritakan kisah jejaka itu kepada kawan-kawan saya.
Soalan: berapakah harga sekeping tosai?


baca whatapps kawan
Sudah hampir seminggu saya tidak menjeguk WhatApps, bayak juga ceritanya rupanya, termasukkan masalah seorang rakan sebaya yang menghadapi masalah lutut sakit. Seorang rakan doktor menasihatkan untuk mendapatkan glocomine apekebendetahlah. Lama juga saya mentelaah sampai tak sedar tosai dah habis dalam kepeningan kepala saya. Tahukah anda, pelincir di bawah patella kita itu luntur fungsinya seiring dengan penambahan usia?
Soalan: kenapa kepala lutut dipanggil "kepala"?


mencari kedai jahit
Saya nak cari kedai jahit untuk menyiapkan pesanan pelanggan saya. Nak cari tali untuk beg 'drawstring'. Ya, di Senawang tiada kedai sebegitu, setahu saya. Memang saya berhajat nak membuka sebuah.
Saya tidak dapat mengingati barisan yang mana satu adanya kedai itu, yang saya ingat kedai itu memanjang ke belakang, dan ada pekerja bisu. Setelah berlapis lapis blok bangunan saya lintasi, saya jumpa!. Saya jumpa kedai itu. Saya jumpa apa yang saya cari. Saya juga jumpa pekerja bisu itu. Dia sedang memarahi rakan sekerjanya walaupun rakan itu tidak memahami apa sedang dimarahkan. Bisu....
Soalan: Apakah bahasa isyarat untuk reben?


buang sampah.
Dalam perjalanan di celah bangunan, seorang wanita tionghua didepan saya ternampak sebungkus kfc di tepi tayar kereta pacuan 4 roda.Wanita itu mengomel kerana bungkusan BESAR itu dibuang di tengah jalan. "Adakah orang ini tidak nampak tong sampah?" kata wanita itu dalam terjemahan bahasa kebangsaan. Memang penat melihat masyarakat yang tidak kisah membuang sampah merata-rata. Paling penat, di bawah papantanda "Denda rm500 kerana membuang sampah" pun ada sampah. Rasa macam nak denda orang yang pacak papantanda itu kerana nampaknya dia sendiri MEMACAK SAMPAH MERATA-RATA.
Soalan: Percayakah anda, orang tidak tahu apa itu kotor kalau mereka tidak pernah tahu apa itu bersih.

si mabuk
Dalam perjalanan pergi, saya melalui sebuah kedai menjual bahan kecantikan wajah. Di hadapannya, ada beberapa lelaki india sedang mengalihkan rakan mereka yang tidur di laluan jalankaki itu. Mabuk barangkali. Tuan kedai itu mahu membuka kedai dan rasa terganggu kerana lelaki itu tidur di pintu masuk kedainya!
Dalam perjalanan balik, saya masih nampak lelaki yang tidur tadi, tetapi beralih sedikit tempatnya, iaitu di tangga. Seluarnya londeh di bawah punggung. Mungkin rakan-rakannta tadi malas membetulkannya semula.
Beberapa langkah dari kedai itu, ada sebuah farmasi. Di depan farmasi itu, ada bunting iklan Vitaril, 'ubat' untuk lutut yang mengandungi glocomine apekebendetahlah. ha ha ha. Tidaklah mata saya menangkap perkataan glocomine apekebendetahlah itu kalau bukan disebabkan membaca nasihat rakan doktor kami di WhatApps beberapa jam sebelum itu!
Soalan: apakah nama sebenar "glocomine apekebendetahlah"?


kena saman
Sampai juga di kereta semula. Saya belek atas kereta, bawah kereta, dan dalam kereta. mana tahu ada kesan mencurigakan. Tiada apa-apa nampaknya. Masuk. Buka kunci stereng. Hidupkan enjin. Beri isyarat keluar ke kiri. opppsss... apa itu? surat saman majlis bandaran kerana parking 'lama sangat' di tempat yang tidak boleh parking.
Soalan: Saya memang bersalah, kan?

jumpa pelawat
masuk kerja. Didatangi kawan yang datang awal untuk konferens. Dia dari Gresham, Oregon, USA. Pertama kami kami bersua muka. Sebelum ini hanya bersua kata-kata dia email dan telefon. Bersembang pendek. Dia menyerahkan sumbangan kepada kempen sarung bantal kami!
Soalan: Tahukah anda, orang amerika lebih suka menggunakan bahasa yang baik baik walaupun untuk menyatakan perkara yang tidak baik? hmmm mungkin tidak sama dengan filem di tv. Tapi, cubalah alaminya sendiri.


Penatnya....
Jauh berjalan banyak pengalaman, dan sakit lutut juga.


CikAji.

Sunday, August 18, 2013

Rumah Terbuka YB Khairy Jamaludin Abu Bakar

Saya mendapat SMS dari entah siapa, Pusat Informasi Parlimen Rembau barangkali, menjemput ke "Rumah Terbuka Aidilfitri YB Khairy Jamaludin" pada 17 August 2013 di Balai Raya Kambung Gadong, Kota.

17 Ogos jatuh pada hari Sabtu. Saya menerima SMS kira kira 5 hari sebelum itu. Namun masih berkira-kira untuk pergi. Sememangnya kami suami isteri cukup malas untuk pergi ke tempat-tempat yang ramai orang. Saya suka pergi tempat yang banyak kain. Suami suka pergi tempat yang banyak... errr...air agaknya.

Tetapi, sejak akhir-akhir ini, saya merasakan yang suami saya mula sukakan YB Khairy. Mungkin dia perasan yang dia hensem macam YG Khairy yang perasan hensem macam Remy Ishak yang perasan hensem macam suami saya. Ha ha ha. Okay, suami saya memang hensem. Saya perasan suami saya hensem.

Pulang dari kerja hari Jumaat, barulah saya memberitahu suami saya tentang SMS itu. Saya terus mendapat respon pantas dari suami saya (yang sebenarnya sudah saya jangkakan), "Boleh. Nak pergi pukul berapa? Kita pergi awal la". Rasa menyesal ajak pun ada, sebab tak pasal-pasal saya pun kerja pergi rumah terbuka tu. :p

Ini kisah rakyat Malaysia dari pengamatan saya di rumah terbuka itu:

1) Memakir kenderaan mengikut suka hati dan hanya memikirkan kepentingan diri sendiri. Padahal abang RELA ada je ditugsakan untuk kawal trafik dan membantu menunjukkan tempat tertentu untuk memakir, malangnya obesiti membuatkan kemalasan melampau untuk berjalan, sudahnya main pakir dimana yang difikirkan senang (senang untuk dia).

2) Bila dah meletak kenderaan pun pentingkan diri sendiri, nak keluar balik pun pentingkan diri sendiri, dan mengganggu lalulintas. Di laluan itu kenderaan nak lalu, orang nak berjalan, di jalan itu dia nak letak kereta, di jalan itu dia nak keluar dari kereta, di jalan itu dia nak masuk balik kereta, di jalan itu dia nak keluarkan kereta untuk beredar. Lalulintas pun tergangggu.

3) Bila lalulintas terganggu, majoriti rakyat mesia yang darah tinggi pun mula la honk honk honk honk. Orang yang tengah jalan kaki pun naik nyampah dengan bunyi bising. Raya-raya paling koman pun ada la bunyi mercun ke.

4) Nak ambik makanan pun tak reti beratur elok elok. Main potong line je asal ada kesempatan. Menjadi satu budaya di Malaysia untuk tidak menghormati orang yang sampai dahulu.

5) Pinggan tak cukup, jadi bila jumpa pinggan baru bukak dari dalam bungkusan plastic, terus amik 5-6 keping simpan untuk diri sendiri. Entah guna ntah tidak. Tamak betul. Alasan: nanti nak ke kaunter makanan lain, tak payah cari pinggan lagi. Lebih baik kau bawak pinggan dari rumah. Saya sedang memegang sepinggan cakoi di tangan kiri, dan sekeping pinggan kosong di tangan kanan untuk lemang. Sekumpulan makcik-pakcik sedang tercari-cari pinggan, lalu saya menyerahkan pinggan kosong saya kepadanya. Beberapa minit kemudian, makcik itu kembali dan menyerahkan sebotol air mineral kepada saya yang masih beratur di kaunter lemang. Sentiasa ingat tu! tidak rugi membantu orang lain.

6) Untuk nasi ayam, ayam goreng tidak berapa cukup (tengah goreng lagi), maka si adik kaunter tu meletakkan satu inchi kubik ayam goreng untuk sepinggan nasi. ????. Rakyat Malaysia yang tidak mengamalkan sarapan pagi pun membalas dengan muka cebik, sambil dalam hati *laa... ini je ke?.

7) Perkara biasa kalau open house yang sediakan seribu jenis makanan – meja tak cukup sebab orang yang dapat kerusi akan simpan kerusi dia sebab nak ulang alik ambik makanan sampai merasa semua jenis makanan. wth. Adakah mereka fikir yang kalau YB siapkan meja satu padang bola pun tidak akan cukup menampung bilangan SETIAP pengunjung, kalau semua pengunjung mengambil (occupy) sebiji kerusi seorang sepanjang hari? Waduh waduh. tolonglah bangun selepas makan, lepaskan kerusi itu kepada orang lain yang sedang membawa pinggan. Pergilah beratur mengambil makanan lain, kerana habis anda beratur, mungkin ada lagi kerusi kosong yang dilepaskan oleh orang lain. Mudah bukan?

8) Bila lalu kat kerusi kosong, ada beg tangan. Atau pun orang sebelah cakap ‘ada orang’. Saya kepenatan beratur panjang sambil mendukung Amanda (barisan saya menjadi lebih panjang kerana pasangan bercinta didepan saya bagai berada di dunia lain, sambil beratur, mereka makan kueytiow goreng dan berborak berdua, terkadang tidak bergerak ke depan, menyebabkan lohong kosong barisan diisi oleh orang yang tiba-tiba sampai entah dari mana). Saya menghampiri satu kerusi kosong. Seorang wanita seusia saya meletakakkan tangannya atas kerusi itu, sebagai tanda saya tak boleh duduk situ. B-A-N-G-A-N-G. Saya buat tak faham dan terus duduk. Dia sedikit menarik kerusi itu sambil berkata, "kerusi anak saya". "ya, saya tumpang duduk sekejap, nanti anak awak balik saya bangun semula". T-E-R-D-I-A-M.

9) Tak reti nak jaga kebersihan meja. Lepas makan tinggal pinggan dan sisa makanan. Memang lah ada budak sekolah yang diupah untuk lap meja, tapi pinggan awak makan, awak buang la sendiri. Plastic sampah ada di tiang tiang kemah tu.

10) Ada kaunter yang kehabisan makanan, pengunjung siap pergi ke dapur (tempat masak/goreng/bakar) untuk mintak makanan. Isshhh….

11) Ambik makanan banyak banyak, makan tak abis, tinggal, ambil makanan lain. Ambillah seberapa banyak makanan yang kamu mahu, tapi cubalah habiskan apa yang kamu ambil. Kesian tuan rumah, rezeki dibuang begitu saja.

12) Sewaktu nak balik beratur untuk salam dengan YB. Tapi saya tidak terdengar pun ucapan terima kasih. KJ yg ucap terima kasih ada lah.

Nota: dalam banyak-banyak makanan, cakoi paling sedap. hmmm.... mungkin juga sebab dah lama tak makan cakoi.




Aji

Tuesday, May 14, 2013

Balasan budi bukan semestinya dari orang yang kita tolong

tabung haji.

Pernahkah anda rasa bagai selalu dipermudahkan dalam urusan harian? Pernahkan anda berpendapat "eh, ye ke, masa aku pergi situ, tak kena macam tu pun!" atau "nasib kau tak baik kot, perempuan tu tengah datang bulan".



Ada kata-kata nasihat, "Jika kita memudahkan urusan orang lain, Allah akan memudahkan urusan kita". Saya juga pernah terbaca di facebook Puan Ainon Mohd dari PTS, yang Nabi Muhammad s.a.w tidak mengucapkan "Terima Kasih", sebaliknya "JazakAllah". (Walaubagaimanapun, saya tetap mengucapkan kata-kata "Terima Kasih" dalam keadaan yang membolehkan.- degil la ko ni. Bukan degil sebenarnya. Situasi yang sama bila kita terbersin. Omputih atau nak jadi omputih akan menyebut "Excuse me". Orang muslim kena sebut "Alhamdulillah". Saya sebut kedua-duanya. Alhamdulillah, syukur sebab umur dipanjangkan lagi setelah bafas disekat seketika. Excuse Me, atau, mohon maaf, kerana secara semulajadi menyebarkan rembesan rongga hidung, disamping menarik pendengaran umum).



Suatu hari, saya ke Lembaga Tabung Haji. Saya bersama suami dan anak-anak. Sewaktu di prkarangan bangunan, seorang wanita tua menuruni tangga, lantas botol airnya terjatuh, bergolek agak jauh tempat kejadian. Saya mengutip botol air itu dan memulangkan kepada wanita tua itu.
Sampai di Lembaga Tabung Haji, saya dapati pelanggan agak ramai. Hari itu saya dan suami bercuti, jadi tiada apa yang kami kejarkan pun. Saya mengambil nombor giliran, dan jarak dengan nombor sekarang ialah 45 orang. (???? ini musim haji atau musim orang pergi Lembaga Tabung Haji?). Walaupun ramai pelanggan, ada kerusi kosong kerana ramai yang berdiri di luar premis, ambik angin agaknya. Tiba-tiba, seorang wanita di depan saya menyerahkan nombor gilirannya kepada saya. "Ambillah nombor ni, kami terambil dua nombor tadi". Suami wanita itu sedang dilayan dikaunter. Dan nombor saya dipanggil kemudiannya.



Anak saya bertanya, "mama kenal orang tu ke?"

"manalah mama kenal dia"

"abis, kenapa dia bagi nombor tu kat mama?"

"entahlah, sebab kita tolong orang kat luar tadi tu agaknya. Kalau kita tolong orang, Allah akan tolong kita pulak"



Terfikir juga saya, sepanjang penantian wanita itu di kerusi, akhirnya dia menghulurkan slip nombor (yang dia terlebih ambil itu) kepada saya. JazakAllahulkhairun.

Sebenarnya kami selalu terfikirkan yang laluan kami selalu dipermudahkan kalau kami membawa anak kami Tantapik. Memang anak yang kurang, sentiasa disayangi tuhan.









Aji

Tuesday, May 7, 2013

Ucapan Terima Kasih itu mudah

Pagi ini saya mendukung Tantapik ke sekolah kerana dia tidak mahu menyarung kasutnya.
Sampai di ofis saya tersedar yang ID saya sudah tercicir.
Terima Kasih, atas dasar percaya, pengawal keselamatan membenarkan saya masuk terlebih dahulu tanpa perlu pusing ke pintu masuk utama, kira kira 300 langkah dari situ.

Di pejabat pegawai keselataman untuk memohon ID baru.
"Adik tunggu 3 hari lah sebelum memohon ID baru, mana tahu ada orang pulangkan. Kerana bayaran 10 ringgit akan dikenakan untuk penggantian ID".
Buat sementara, saya memakai ID Temporary. Pekerja keselamatan itu juga memberi nasihat dan tatacara menggunakan ID Temporary itu. 
"Baik, Terima Kasih Puan"
(saya agak dia pekerja baru, kalau pekerja lama, sudah biasa nampak muka saya di kaunter ID kerana sering tertinggal ID di rumah).

Tengahari. Keluar menjemput Tantapik balik sekolah, pengawal keselamatan sekolah menghulurkan ID saya yang tercicir.
"Terima Kasih banyak!".
Saya sampai di kelas Tantapik, "Cikgu Suryati, Terima Kasih kerana menolong menghantar anak saya balik dari KAFA ke Daycare Centre semalam".
Semalam Cikgu Suriyati menghulurkan bantuan kepada saya untuk menghantar Syakirin balik ke Daycare Centre kerana Cikgu Liza, pengurus Daycare ada hal lain.

Saya mengambil Tantapik dan kami makan tengahari di kedai seberang jalan.
Hampir setiap hari kami makan di situ. Pemilik restoran pun dah tahu apa yang kami selalu makan. Hari ini, belum sempat pesan, pekerjanya sudah pun cedokkan nasi, baru nak capai pinggan, pekerjanya sudah ambilkan ayam goreng. Pekerja lain sudah bancuhkan air minuman.
Hari ini saya rasa macam nak makan lain sikit. Saya cedok peria goreng. Saya tunjuk kepada pemilik restoran itu,
"Takpa, makan saja"
Pemilik restoran itu sudah tahu apa yang saya makan, saya hanya hulur duit, dan dia pulangkan baki. Dia tidak tanya saya makan apa, saya tidak tanya berapa jumlah sebelum saya buat bayaran.
Selesai urusan, "Terima Kasih Kak".
Pekedai itu memang tidak pernah tidak mengucapkan terima kasih kepada saya.

Keluar dari kedai, saya bertembung dengan peniaga apam balik. Semalam saya memesan sekeping apam balik, tetapi lupa mengambil pesanan saya itu!
"Encik, saya minta maaf semalam, saya terlupa nak ambil"
"Baik, baik. Tak mengapa"
Bukan atas rasa bersalah, saya berhenti di warung apam balik dan memesan sekeping apam balik berharga 2 ringgit.
Sedang peniaga itu menyiapkan bungkusan, pemilik restoran tempat kami makan tadi tiba tiba muncul di sebelah saya, menghulurkan dua keping not seringgit.
"Kenapa ni?"
"Terlebih bayar tadi"
"Terima Kasih"
"Sama sama"
Dengan dua ringgit itu, saya memesan sekeping lagi apam balik.
"Bungkus asing ye Dik"

Saya pergi ke lintasan zebra untuk melintas jalan utntuk kembali ke kereta. Ada sebuah van berhenti di lintasan zebra itu.
"Encik, boleh berhenti di depan sedikit? Di sini lintasan untuk murid-murid"
"oh, ya ka? Maaf, Maaf. Ok ok. saya pergi depan. Terima Kasih ya. Minta Maaf"

Tantapik menghulurkan apam balik yang lagi satu itu kepada pengawal keselamatan yang memulangkan ID saya tadi.
"Cakap Terima Kasih kepada mak awak"
"Ya"

Semua orang senyum walaupun hari ini panas terik.