Thursday, September 26, 2013

Mesin Basuh Baru

Mesin basuh di rumah kami merupakan salah satu dari HANYA BEBERAPA peralatan elektrik yang telah sekian lama berkhidmat.

Saya membeli mesin basuh jenama LG itu pada tahun 2000, di Melaka. Waktu itu saya berkerja di Melaka dan masih lagi tinggal di rumah bujang bersama dua rakan sekerja.

Setelah 13 tahun berkhidmat dengan saya, dia dah mula penat agaknya. Bermula dengan salur masuk airnya tidak lagi mampu mengepam air masuk ke dalam mesin. Ini dapat kami selesaikan dengan kawalan air secara manual (manual: masukkan hos ke dalam mesin, pasangkan air, tunggu di tepi mesin basuh sambil main telefon bimbit, drettt - mesin basuh mula bergerak menandakan air sudah mencukupi, tutup air dan keluarkan hos --> oh. sangat manual. tunggu sehingga air di keluarkan (drain) untuk memulakan tugasan pengisian air secara manual lagi).

Akhirnya sampai juga waktu penamat untuk motor mesin itu. Sudah tamat dan tak boleh di bantu dengan kerja manual, melainkan kena basuh kain manual - dengan tangan lah jawabnya. Tapi, saya yang lembab dalam hal hal kerja rumah ini, tidak mempunyai masa pun untuk duduk membasuh kain. Hantar dobi sajalah penyelesaiannya. Untung juga kerana selalu dapat diskaun dari tuan punya dobi. Petua: hantar kain dengan senyuman! Jangan lupa bawa sekali anak OKU anda, kalau ada :).

Sewaktu balik dari bercuti hari raya, dalam mesin basuh ada Comel dan anak-anaknya. Comel dan pun melahirkan anak-anak untuk kali ketiga.

Itulah jasa terakhir mesin basuh kami. Selepas itu, dia bersendirian di belakang rumah, tidak dipedulikan hingga suatu hari kawan suami saya mengambilnya ke kedai untuk diperiksa.

Semalam, kami bercadang untuk beli saja yang baru. Saya mengimpikan mesin basuh muatan depan. Tidak tahu apa sebab lain, melainkan nampak stylish. hahaha. saya juga memikirkan, mesin basuh muatan depan dapat dihias dengan pokok bunga diatasnya (macamlah pernah wujud hiasan bunga di rumah saya, hmmm).

Kami ke kedai elektrik di bandar Seremban. Nanhong namanya. Lot tepi. di dinding tepi, tertulis :'nanhong. since 1951'. Anak saya bertanya, 'mama, kedai ni sebelum merdeka?'. 'ya, ada kemungkinan. Orang-orang cina berniaga dan berdagang sejak dulu lagi. Mereka sudah menjalankan impot ekspot, dan berurusan dengan orang putih, itu sebabnya mereka tinggal di bandar-bandar'

Saya melihat barisan mesin basuh, lalu kemudian bertanya, "muatan depan ada?", dan ditunjukkan model model mutan depan yang agak terhad.
"muatan depan ni, harganya tak berapa bernilai, dengan kapasiti yang sama dengan muatan atas, harganya berlebih tinggi".
"Itu sebab pembuatnya kot, Electrolux je semua..".
"Samsung pun ada Kak, ini Hitachi"
Saya tengok kapasiti dalam 5 hingga 6 kg sahaja. "Yang besar lagi ada?"
"Yang besar lagi, lagi besar mesin dia Kak"
Ya, memang betul. untuk 8kg, sudah hampir 2.5 kali ganda peti sejuk aiskrim di kedai 7-Eleven! Harganya pula, lebih 5 ribu. Perlukah dan sanggupkah anda membeli mesin basuh 7 ribu ringgit? Dengan keadaan saya hari ni, fikir 3 saat sudah cukup : TIDAK.

Selain harga, lain lain maklumat yang saya dapat ialah:
1) mesin basuh muatan depan adalah untuk mengelakkan kain bergumpal.
2) mesin basuh muatan depan mengambil masa yang lebih lama dalam operasinya.
3) mesin basuh muatan depan, jika digunakan bersama kawalan suhu air, akan memakan lebih banyak kuasa elektrik.
4) (ini pemerhatian saya saja), mesin basuh muatan depan berwarna putih (Oh.. sungguh orang putih!.. sungguh iklan sabun basuh!...). Hitachi saja ada hitam legap, satu model.

Mesin basuh apa yang saya beli akhirnya? Samsung wobble. Sebab?
1) model baru (baru la sangat. padahal tiap bulan pun ada model baru barangan elektrik
2) teknologi baru - teknologi wobble ni terkini tau, orang Korea penat-penat perah otak fikir nak buat teknologi supaya baju tidak bergumpal dan kusut masai. tak payah buh pintu depan pun!
3) harganya sangat-sangat berpatutan. 11kg untuk rm1599 (setelah rebet dengan kad ahli)
4) oh! saya jatuh cinta dengan badannya yang seakan akan metallic. Berkilat. Jadi, ketika saya sedang mengeluarkan basuhan (unloading), saya bolehlah nampak melalui refleksi kalau ada monyet datang dekat, hebatkan? :p
5) selain ada teknologi wobble, dia juga ada pilihan untuk lebihan pengeringan (extra spinner) (koman sikit dari dryer la ni. takpa, boleh cuba tengok bila mesin dah sampai malam nanti)
6) utama sekali, saya terpengaruh dengan kata-kata jurujual yang lemah lembut itu sewaktu saya membelek mesin basuh muatan depan, "dulu orang pilih pintu depan sebab kain tak kusut Kak, tapi sekarang Samsung pun dah buleh buat mesin pintu atas yang tak kusutkan kain Kak" tettttt.... Electrolux kalah teruk di situ! sebab apa? sebab saya ada tengok mesin pintu atas Electrolux yang ada tiang dalam mesinnya untuk mengelakkan kain kusut. Apa???? tiang? Jika anda tak percaya, pergilah cari mesin itu (tak payah keluar ke kedai basikal, google sahaja).

Malam ini mesin baru bakal sampai.


CikAji

No comments:

Post a Comment