Bulan September adalah Bulan Kesedaran Kanser.
Walaupun saya penyumbang bulanan kepada tabung MAKNA dan menerima majalah MAKNA setiap bulan, saya sendiri tidak didatangi kesedaran itu :).
Sempena dengan itu, saya dan kawan-kawan sukarelajelitawan menyumbangkan tenaga, masa, dan wang ringgit untuk mencapai misi "1000 Sarung Bantal".
Kenapa 1000? apa simboliknya 1000 dengan kanser saya sendiri tak pasti. tapi "SERIBU" tu senang disebutlah kan, kalau diletak 3816, akan panjang "TIGA RIBU LAPAN RATUS ENAMBELAS", dan mungkin sukar diingati susunannya kelak.
Kenapa Sarung Bantal? Sebab hadiah ini diberikan di hospital, untuk kanak-kanak yang duduk lama di hospital kerana menjalani rawatan kanser dan lain-lain penyakit kronik. Bermakna untuk menjadi peneman siang malam kanak-kanak ini diatas katil hospital. Sebab itulah kami memilih untuk mencari corak-corak yang ceria dan bersesuaian dengan kanak-kanak. Kalau dipilih corak awan larat, takut makin melarat.
Sewaktu saya mengandungkan anak saya yang ketiga, saya dan kawan-kawan dikejutkan dengan berita tentang seorang rakan sekolah kami yang didapati menghidap kanser tulang. Dia dan keluarga yang tinggal di Lumut menjalani rawatan kanser di Hospital USM Kubang Kerian. Kami kawan-kawan sekolah, memang mempunyai hubungan yang agak rapat walaupun di sekolah dulu tidak bertegur sapa. Kehidupan dan kenangan hidup di asrama zaman bodoh-bodoh dahulu selamanya mengikat hati kami semua.
Namanya Farid Ahmad (tiada kaitan dengan Fahrin Ahmad, walaupun sama hensem). Anaknya empat dan isterinya suri rumah. Nasib dia sangat baik, kerana zaman ini zaman media sosial. Saya percaya berpuluh kenalan mendoakannya, dari berpuluh itu, sampai kepada beratus kenalan kepada kenalannya turut mendoakan. Bila seorang kawan melancarkan tabung bantuan kewangan, senang sangat mencecah ribuan ringgit.
Saya dan rakan-rakan sempat melawat Farid sewaktu menjalani rawatan kemo di HUSM. Lagi satu kelebihan dia pada waktu itu ialah, ada rakan sekolah (sama batch) yang bertugas di situ. Seorang doktor, seorang lagi tenaga pengajar, seorang lagi sedang menjalani PhD di situ. Kami yang jauh senang mendapat berita, dia yang dekat senang mendapat nasihat peribadi dan professional dari kawan-kawan yang dalam bidangnya. Mempunyai kawan di HUSM juga memberikan kelebihan kepada kami untuk mendapat akses masuk ke hospital.
Waktu itu bulan Ramadhan. Saya dan TheCikKiah(Sulastri (yang bercuti dari pengajian PhD di Jepun), Izalina, Fitriati, Roslina, dan juga Tantapik) bertolak dari LCCT awal pagi. Sepatutnya Hadina ada sekali, tapi, bukanlah namanya Hadina kalau tidak tertinggal penerbangan. Tapi alhamdulillah, Hadina sampai juga dengan unicorn ajaibnya :P. Sampai di KB, dan Dr Fauzey datang mengambil kami ke hospital. Farid terlantar di katil kerana kakinya bengkak.
Pot Pet Pot Pet, Dr Fauzey dan Dr Rosnani menerangkan kepada kami mengenai kanser dan filem x-ray kaki Farid. Muka saya macam mendengar penuh minat walaupun sebenarnya saya tidak berapa faham perbualan orang bijak pandai. Selain Dr Fauzey dan Dr Rosnani, rakan yang menetap di Kelantan turut turun berkumpul di bilik Farid. Sally dan Pak Cha, dua rakan yang saya tidak pernah berjumpa selepas habis SPM.
Seharian kami menemami Farid. Dia sebenarnya perlu banyak berehat. Rawatan kemo memang sangat menyakitkan dan melemahkan badan. Kami datang memberi semangat, kegembiraan dan keyakinan supaya dia terus kuat. Benarkah sel kanser dapat dikawal dengan emosi diri? kerana orang yang positif biasanya sembuh dari kanser. wallahualam. Dunia perubatan berkata, sel kanser ada dalam diri setiap orang. Cara pemakanan orang itu yang mengawal pembiakan sel itu. Dunia perbomohan pula berkata, kalau ada orang dengki kita, nanti orang tu hantar santau dan melekat di jantung kita, menjadi punca kanser jantung... (saya tak quote mana-mana bomoh, saya tengok tivi aje. mahappp).
Farid sempat melalui dua kitaran aidilfitri sebelum pergi selama-lamanya. Saya sempat berjumpa Farid di rumah mertuanya di Kuala Kangsar sewaktu pulang beraya di Taiping, kira-kira sebulan sebelum dia meninggal. Waktu itu kakinya sudah tinggal sebelah. Wajah Farid sangat bercahaya. putih berseri macam kuih makmor, salah satu spesis kuih raya tetap di meja mertua saya.
Sewaktu pengebumiannya ramai kawan-kawan datang menziarahi. Saya tidak dapat hadir kerana komitmen lain. Semoga roh Farid bersama orang-orang yang soleh.
Eh, mana kisah sarung bantal?
CikAji
Sob .. sob ..
ReplyDeleteTerharu sungguh ... nama ku tercatat di dlm blog Pn Hajiah Surihani ..
:-)