Thursday, May 22, 2014

Pakcik Professor

Sampainya saya di depan bangunan kelas anak saya, kawannya memanggil, "Irfan! Mak Irfan!".
Sementara menunggu anak saya bersiap untuk balik dan bersalam-salaman (hampir satu kelas!), saya menyusun kasut-kasut yang bersepahan di depan pintu.

[<*
Kepala saya agak serabut kalau tengok kasut tidak bersusun, malah bersepah-sepahan pula, macam selalu yang kita nampak dihadapan pintu tempat solat, surau atau masjid. Rak kasut agak lapang manakala depan pintu berkumpul kasut-kasut yang pemiliknya lebih rela kasut mereka dipijak-pijak daripada mengambil sekadar 5joule tenaga untuk membongkokkan badan mengambil kasut dan menyusun di atas rak.
Ha! ha!. tiba tiba hari ini saya terfikir hubungan joule dan aktiviti manusia.
Nah, rujuk di sini: http://www.roymech.co.uk/Useful_Tables/Human/Human_work_energy.html
*>]

Tidak lama selepas itu, saya terdengar kawan di dalam kelas menjerit lagi, "Amna! Atuk Amna!".
Kadang-kadang Amna akan dijemput oleh datuknya. Pada kadang-kadang yang lain pula, Amna akan dijemput oleh bapanya (atau mungkin abangnya, saya pun tidak pernah menyapa). Datuk Amna ini mudah orangnya. Mudah mesra, mudah bercakap, mudah tersenyum, mudah juga cara berpakaian dan penampilannya.

"Pakcik kerja lagi ke?" tanya saya, kerana datuk Amna kelihatan agak berusia.
"Kerja.."
"Hari ni tak kerja ke?"
"Kerja petang"
"Oh.. kerja petang, kerja di mana?"
"Saya pensyarah di USIM"
"USIM Nilai tu?"
"Ya.."
"oh... ke Nilai setiap hari?"
"Ya.. saya ni sudahpun 66 tahun ni!"
"Oh... ye ke?"
"Kalau Prof Madya ke atas, boleh sambung perkhidmatan sampai umur 70 tahun"
"Oh, Dr ke ni?"
"Alaaahh... panggil Haji sajalah"

Teringat pula saya sewaktu kali kedua menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Narita (kali pertama hanya transit saja :), tapi tetap telah menjejakkan kaki di situ), saya sedang berfikir-fikir cara bagaimana hendak ke Tokyo yang paling mudah, dan paling penting dapat menepati janji masa pertemuan dengan kawan di Tokyo nanti.

Saya nampak sekumpulan orang Malaysia beratur bersama-sama saya. Selesai mendapatkan bagasi, saya mendekati salah seorang dan bertanya kalau saya boleh bersama-sama mereka ke Tokyo. Tetapi mereka tidak menuju ke Tokyo, melainkan seorang daripada mereka.

Kami pun berkenalan. Saya tidak tahu hendak memanggilnya apa kerana usianya sudah tua, dan penampilannya yang segak. Takkanlah hendak dipanggil 'abang'. Ahh... panggil 'pakcik' sajalah. Tetapi memandangkan perbualan kami lebih banyak dalam bahasa ibunda pedalaman London, cuma I-You sajalah. Sejarah 'pakcik' itu bermula jauh dari kampung di Melaka, ke Kolej Melayu Kuala Kangsar, hingga sekarang merantau ke dari satu negara ke satu negara memberi ceramah. Bilik hotel yang bakal dia tujui itu ialah bilik hotel yang dia tinggalkan bersama barangannya, kerana terbang sebentar selama seminggu ke New York, dan singgah Malaysia selama 2 hari. Tentang isterinya seorang penulis novel, tentang anak yang mengikuti jejak langkahnya di Amerika dan seorang lagi anak berbakatnya di London. Hmm... Suatu pencapaian yang tidak dapat saya bayangkan. Saya lebih memberi perhatian kepada kopi panas yang saya minum ketika itu dalam sela masa lebih satu jam menunggu kedatangan bas pertama ke Tokyo pagi itu.

Sebelum berpisah apabila saya turun dulu dari bas, dia memberikan kad namanya, yang saya lihat hanya selepas saya pulang ke tanahair.
Bila saya mengemas beg, saya ternampak kad nama itu. "Prof Emeritus Dato' Dr Noramly Muslim'.
"Lorrrrr... aku panggil 'pakcik' je?"

Bila saya google di internet, PEDDNM (singkatan :) ), memang seorang yang bijaksanasini. Isterinya muallaf berbangsa Australia yang menulis novel ala-ala J.R.R Tolken (nota: saya pun belum pernah membaca novel Tolken, apa yang saya nak gambarkan ialah, isterinya menulis novel inggeris berkisar pengembaraan fantasi dari dunia yang entah sebelah mana saya pun tak tahu, dan bukannya novel cinta "Playboy Itu Suami Jiran Sepupu Aku"). Anaknya pensyarah (phD) di Amerika dan pemilihpelakon di London. Saya pun tak tahu bila agaknya mereka ini berkumpul.

Tak mengapalah. Dulu pun saya pernah berbual dengan Tun Mahathir, dia kata, "Nak panggil saya 'pakcik' pun takpa, barangkali saya lebih tua dari ayah awak", ketika saya tersasul memanggilnya.
Tun Mahathir sebenarnya berkongsi tarikh lahir dengan ayah saya!

Panggilan 'pakcik' memang relevan pada bila-bila masa.
Untuk urusan formal, saya nasihatkan, gunakan "Cik", "Encik" atau "Tuan".



Monday, May 19, 2014

Nasihat Kepada Ibu-Ibu


Saya mempunyai masa santai hari ini. Saya mengambil peluang melewati blog rakan penulisan - SeriKandi Tanah Jauhar - dan terpandang kad ibu mengandung ini....
Saya tidak pernah bertanya kepada ibu saya bagaimana keadaannya dulu dia mengandungkan saya, kerana saya tidak pernah menyangka wujudnya kad sebegini empat puluh tahun yang lampau. Yang saya pasti, waktu itu kami di Sentul, Kuala Lumpur.

Saya sebenarnya tertarik dengan NASIHAT KEPADA IBU-IBU itu.. :)
1. Pergi ke klinik pada tiap-tiap bulan bila mengandung
Sewaktu saya mengandung buat kali pertama, lebih 12 tahun yang lampau (suka 'melampau' saya pada hari ini), saya hanya pergi kerja macam biasa. Bila saya tidak datang bulan, saya dah tahu, saya pasti mengandung. Tetapi, sebab masih awal lagi, tidaklah saya pergi ke mana-mana klinik.
Pada suatu malam, masuk bulan ketiga, saya dan suami pergi ke klinik Dr Zaimah. Doktor perempuan itu memarahi saya.
"Dah tiga bulan baru nak datang! Dah makan macam-macam dah ni! Nanti bahaya untuk budak tu! Takkan la tak tahu dah mengandung! Kalau orang yang dah kahwin, tak datang bulan, mestilah mengandung! Itu penoreh getah pun tahu!!"
Uii... sungguh garang doktor itu.
"Penoreh getah datang klinik doktor ni ke?" - tanya saya kepada alat menyukat tekanan darah di atas meja itu.. tetapi hanya di dalam hati, kerana waktu itu pukul 8 malam. Saya sudah menikmati makan malam, tetapi saya tidak pasti doktor itu masih lapar atau sebaliknya.
Itulah kali pertama dan terakhir saya pergi ke klinik itu. Sekarang klinik itu sudah tiada lagi. Jangan salahkan saya kenapa klinik itu tutup. :) Anggap saja keadaan cuaca dan ombak deras tidak mengizinkannya utuk meneruskan operasi.

2. Cepat tetapkan bidan
Jawatan Bidan sudahpun tidak dipanggil bidan lagi. Telahpun ditukar kepada Jururawat Desa. Mungkin ada Jururawat Desa yang bernama Bidan, kesan dari pandangan jauh ibu dan bapanya yang sudah menetapkan kerjaya masa depan anak, maka Kak Bidan akan tetap dipanggil 'bidan'.
'Tetapkan bidan' di sini, mungkin bermaksud, menempah masa bersalinlah agaknya. Orang sekarang panggil,'block calendar', supaya Kak Bidan tidak pergi bercuti jauh jauh. Bayangkanlah ya, tanpa telefon bimbit pada waktu itu, bagaimana hendak 'menangkap' Kak Bidan di kala kecemasan? Kalau dalam drama-drama tivi, biasanya ada seseorang yang pergi ke rumah Kak Bidan untuk memberitahu.
Zaman sekarang, kena 'tetapkan hospital' sebelum memilih doktor.
Sewaktu saya keguguran beberapa tahun lampau (nampak macam tak 'melampau' sangat tempoh 'beberapa tahun' itu.. tapi tak mengapalah.... suka saya menggunakan perkataan itu hari ini), saya berjumpa doktor dan memilih untuk duduk dirumah tatkala tanda-tanda keguguran sudah muncul.
"Nak duduk rumah boleh, nak duduk sini pun boleh. Tak ada apa-apa. Nanti bila darah dah habis keluar, datang sini kita cuci"
Saya telah memilih untuk duduk dirumah menunggu darah  habis keluar sebab saya termakan kata-kata Doktor Ishak - 'Tak ada apa-apa'.
Akibatnya, dahi saya benjol sebab pitam dan melanggar dinding pada kelajuan 30km/j sebelum jatuh ke arah belakang dan melanggar kabinet kecil. Dua kali! Nasib baik saya tidak jatuh ditimpa tangga, kerana tangga di simpan di belakang rumah. :)
Sebelum terjadi kali ketiga, dinihari itu juga kami ke hospital.

3. Ikut nasihat 'Nurse' berkenaan makanan dan pakaian supaya kanak-kanak sehat.
Pakaian pun kena ikut nasihat 'nurse' jugak ya.
Saya tidak suka makan pil. Saya amalkan memakan kurma saja. Murah. Sunnah. Makanan terbaik.
Banyakkan bertaubat dan berdoa.

4. Lepas bersalin jangan tahan diri makan-lah banyak dan minum pun banyak supaya bolih kamu menyusukan anak.
(Yang ini saya tak tahan hendak ketawa membacanya, lebih-lebih lagi baru saja menonton filem P Ramlee di tivi)
Tempoh masa 'dalam pantang' adalah tempoh dimana ibu bersalin bergantung sepenuhnya kepada adat dan kepercayaan orang terdahulu. Sebab, kalau mengikut nasihat orang-orang skeptikal, tak perlu jamu, tak perlu bengkung, tak perlu bertungku dan berurut. Yang perlu mengikut orang zaman sekarang ialah pam susu yang mahal, bantal empuk corak burung hantu, barut budak corak mikimaus. Hendak terjumpa bayi yang berbedung pun macam susah saja pada zaman sekarang ini. Orang dulu-dulu kata, anak yang tidak dibedunglah punca mereka tidak mendengar kata pabila besar nanti. Bukan saya kata ya. Kadang-kadang makcik urut pun kata begitu.
Ya, makcik urut!. Makcik urut akan mengurut badan kita sambil membuat senaman mulut mengalahkan pengacara Majalah 3. Biarkanlah saja, kerana kalau dia diam, kita diam, bosan pula sesi mengurut itu nanti.

Yang penting, banyakkan mengaji kuran, bertaubat dan berdoa untuk anak. Jaga kesihatan. Apa pun yang terjadi sudahpun tertulis untuk kita.








Thursday, May 15, 2014

Guru Pencetus Dayarekacipta Penjana Pembaharuan


Terima Kasih Cikgu.
Terima Kasih Teacher.
Terima Kasih Ustaz.
Terima Kasih Ustazah.
Terima Kasih Puan.
Terima Kasih Encik.
Terima Kasih Dr.
Terima Kasih Prof.

Sewaktu mendengar dua baris puisi di radio pagi tadi, "Jika hari ini seorang seorang Perdana Menteri berkuasa. Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta...", anak saya mencelah, "Mama, Syakirin pernah dengar puisi ini". Ya, sajak hari guru....
"Sejarahnya bermula dengan seorang guru biasa". Sesungguhnya, guru biasa itulah guru yang luar biasa.

Saya tidak bersekolah tadika. Dan saya pergi ke tiga buah sekolah rendah. Jadi agak sukar untuk saya mengingati nama-nama cikgu sekolah rendah saya. Bila saya memasuki asrama sekolah menengah, cikgu yang tidak mengajar saya pun saya ingat namanya, bahkan kereta dan kasutnya.

Saya lebih suka menulis semula tema "Guru pencetus kreativiti penjana inovasi" ini sebagai "Guru pencetus dayarekacipta penjana pembaharuan". Sebab saya suka akan perkataan melayu yang panjang-panjang ejaannya :) .

Dulu saya dan seorang kawan pernah secara harian, 'membuat catatan lakaran' corak baju cikgu fizik kami sewaktu dalam kelas, kerana kami sangsi samada cikgu Lim memakai baju yang sama setiap hari. Secara tidak sengaja, cikgu Lim yang mengajar Fizik, adalah pencetus dayarekacipta saya disebabkan oleh kerana pemerhatian saya terhadap corak pakaiannya menjadikan saya seorang yang observan.

Dalam kelas biologi yang biasanya lewat waktu kelas, saya mendapat cara meringankan berat mata (hilangkan ngantuklah!), dengan cara memanaskan pembaris plastik melalui salur keluar angin ohp (overhead projector) (saya duduk di meja depan, jadi ohp itu diletakkan di meja kami), dan melekapkan pembaris itu pada kelopak mata. Wow! hilang mengantuk untuk 10 minit.

Banyak lagi kisah dayarekacipta dan pembaharuan. Tunggu hari guru tahun depan pula lah. :)

Terima Kasih saya ucapkan kepada guru-guru luarbiasa yang telah dan sedang mendidik anak-anak saya. Saya bangga bila mendengar doa anak saya "Ya Allah, berilah aku ilham untuk menjawab soalan ini dengan cemerlang supaya aku tidak mengecewakan ibu bapa dan guru-guru ku".

Selamat Hari Guru.

p/s: penghargaan kepada guru saya : http://lovely-spectrum.blogspot.com/2013/06/i-dont-hate-roses-anymore.html



Monday, May 5, 2014

Ke Australia. Biasanya saya 'cool'

Sewaktu hendak boarding.
Beratur untuk pemeriksaan sinar-x ke atas bag dan imbasan logam ke atas badan.
Elok selesai diimbas badan dan melangkah keluar dari pengimbas, saya disapa pegawai imigresen bersebelahan pengimbas.
"Nama awak Selena Gomez a.k.a Cik Aji Terell a.k.a Hajiah ?"
Terdiam. Macammana dia boleh tahu akan nama saya? Dia belum pun membuka paspot saya.
"Ya!", Jawab mesti yakin :) , walaupun rasa macam nak buat lawak tak cerdik.
"Awak tidak dibenarkan melepasi garisan ini. Sila tunggu saya di belakang sana"
"Err...Kenapa?".

Saya terfikir juga kalau-kalau saya baru saja melintasi alat pengimbas retina yang mampu memaparkan maklumat diri saya berserta vital statistic dan sejarah perjalanan mahupun pemakanan dan pengambilan lemak tepu, dan bersambung pula dengan pangkalan data Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI)...

----------------------------------------------------------------------------------
Anda pernah ditahan? Saya pernah sebelum ini.
(Dan sememangnya saya mengalami banyak kisah di lapangan terbang :). )

Sewaktu di sebuah lapangan terbang. Waktu itu saya bersama kawan-kawan. Kami hendak pulang ke tanahair. Saya sedang duduk menikmati air kopi di dalam botol kaca. Seorang kawan saya datang dan menghulurkan carikan kertas 2inchi x 3 inchi, tertulis kod nombor 16 angka tulisan tangan.
"Nombor kad panggilan. Masih ada baki. Boleh awak gunakan untuk membuat panggilan ke rumah. Kalau tidak dihabiskan, membazir pula".
Saya menerimanya melalui tangan kiri saya.

Bila habis sebotol kopi itu, saya mendekati tong sampah. Elok saya mendekati tong sampah itu, saya lepaskan kertas kecil dari tangan kiri saya ke dalam tong sampah, dan terus menuju ke telefon awam.
"Eh, aku patutnya buang botol kosong ni! bukan kertas itu!"
Saya pergi semula ke tong sampah tadi, yang setinggi bahu saya dan diameternya pula melebihi hasta saya. Saya nampak kertas itu dan cuba mencapainya. Tetapi, semakin saya korek, semakin ke dalam pula! Saya pun cuba juga sedaya upaya hendak mencapainya juga.

"Cik, apa cik buat ni?" tanya pegawai berpakaian seragam.
Saya disoal siasat lebih kurang sepuluh minit. Walaupun saya bertudung dan dari Malaysia (negara Islam pada jenama), saya tidak merasakan saya mangsa beza-layan. Semua itu hanya prosedur biasa pasca-911 yang mereka lakukan apabila ternampak perbuatan mencurigakan, apalagi sedang menyelongkar tong sampah (nota: ada kes dimana pengganas meninggalkan bom di dalam tong sampah).

Akhirnya saya dilepaskan sebab jawapan saya tidak langsung menggambarkan kebahayaan saya. Atau mungkin soalan mereka yang tidak kena! :)

Kawan saya bertanya, "Kenapa?"
"Kena tangkap sewaktu mengorek tong sampah, aduh... tak 'standard' betul.. haha"
"Kenapa awak korek tong sampah?"
"Saya terbuang kertas yang awak beri tadi"
"La.... saya ada kad asal. Saya cuma salinkan nombor untuk awak dalam kertas lain sebab saya hendak menyimpan kad asal untuk tujuan tuntutan perbelanjaan"
"Kenapa awak tak cakap???"
"Kenapa awak tak tanya?"

.... memalukan saja .....

-----------------------------------------------------------------------

Berbalik kepada kisah saya ditahan selepas mesin pengimbas.

Dalam banyak keadaan, saya boleh kekalkan gaya biasa saya. Tapi kali ini saya betul betul tidak dapat menduga apa-apa kemungkinan selepasnya! Berdebar-debar dan risau memikirkan anak saya yang sudahpun terkehadapan sana. Apa yang saya sudah buat? memandu melebihi hajalu - tidak; tidak membayar tol-tidak; tidak melintas jalan di tempat sepatutnya - hmm tidak; tidak membayar tambang bas mencukupi - tidak, malah terlebih ada lah; menunjukkan isyarat lucah kepada pegawai polis - ish.. belum pernah!! cubaan menggoda penyelamat pantai - errrr..... niat saja ada, tapi hampa kerana kebanyakannya  boleh dipanggil 'uncle'.

Bila saya tanya "Kenapa?", tiba tiba pegawai itu tersenyum, "Sebab budak itu yang menyuruh saya berbuat begitu", sambil menunjuk ke arah anak saya yang sedang tersengih sambil membuat isyarat 'good' di luar kawasan pengimbas penumpang.

Sebentar tadi saya mengalami darah gemuruh sebab risau mungkin ditahan dari kembali ke Malaysia, sekarang saya mengalami darah tinggi dan rasa nak cekik leher anak saya itu.

Untuk menutup malu dan mengekalkan gaya saya, sempat saya bertanya, "Saya masuk TV ke? Ini rancangan Kamera Kandid ke? Mana kameranya?" sambil sebelah tangan membetulkan tudung dan sebelah lagi membuat lambang aman. Peace Yaww!!


*kenyataan bela-diri anak saya:"dia tanya syakirin, syakirin dengan siapa, syakirin jawab, 'dgn ibu saya', lepas itu dia tanya, 'yang mana ibu kamu, siapa namanya?',  syakirin cuma jawab soalan dia. itu saja".