Wednesday, January 25, 2017

Perkhidmatan Pelanggan

AJI & Perkhidmatan Pelanggan

Nota kepala: aku karang email ni masa conf call dengan Filipino. Depa dok cakap tagalog sesame depa. aku start la menaip luahan perasaan ini….
Kudos kepada astro!
Jumaat. Lebih kurang 1pm.
Lokasi: rumah cik aji.
Cik aji (CA): hello astro, saya nak tambah pekej baru ke dalam pekej sedia ada saya
Astro (A): pekej apa yang puan nak tambah?
CA : saya nak tambah pekej Movie.
A: baiklah, saya akan masukkan pekej Movie kedalam subscription puan. Sekarang bil bulanan puan ialah 39 ringgit, dan selepas ini bil bulanan puan akan menjadi 80 ringgit. Adalah puan setuju?
CA: ya, saya faham dan setuju.
A: puan nak saya aktifkan cepat ke?
CA: bagus juga.
A: baiklah, saya akan masukkan permohonan puan ke dalam senarai segera. Puan letakkan decoder astro puan ke standby mode. Dalam masa kurang dari 24 jam, pekej ini akan dikemaskinikan ke decoder puan.
CA: terima kasih.
A: ada apa-apa lagi yang saya boleh bantu?
CA: tidak buat masa ini.
A: ok. Terima kasih kerana menghubungi astro.
Sabtu: 9.20 pagi.
Lokasi: restoran iqbal.
Bapa, anak remaja lelaki, anak perempuan (6-7 tahun).
Pakir kerata betulbetul depan restoran.
Duduk di meja. Buat pesanan.
3 min berlalu.
Bapa (B): hei, roti kosong bungkus satu!
B: apa ni? air pun takde?
3 min berlalu.
Bapa bangun menuju tempat bakar roti canai, ambik pinggan.
Air dihantar ke meja.
B: anak saya sudah lapar, kalau ikut masa saya muda, saya sudah sepak tau! Bla…bla…bla…
B: roti bungkus pun tak dapat lagi.
Bapa berjalan kembali ke meja.
Mamak (M): dia sudah order bungkus dulu. (sambil tunjuk pelanggan lain)
B: mana? Sapa mau bungkus? Saya order SATU saja, bukan banyak!!!. Itu pun tak boleh buat ke? Jom kita pergi kedai lain! Air ni awak minum sendiri!!
Bapa dan anak pergi ke kereta. Bapa pimpin anak masuk kereta.
Bapa sempat toleh ke belakang.
B: Hei, hei hei!. Awak tengok muka saya! tengok muka saya!!. awak ingat awak samseng? Saya lagi samseng tau!.
Bapa masuk kereta dan terus berlalu. Dia terpaksa buat u-turn sebab jalan itu jalan mati. waktu pusing balik, dia menoleh lagi ke mamak tadi.
Sabtu. 11 pagi.
Lokasi: agen celcom broadband, giant.
Agent1 (A1) : ada apa kak?
Cik aji (CA): saya tak boleh connect. Bila saya pindahkan sim card ke hp saya, takde tulis MY CELCOM pun.
A1 : akak ni kata dia tak boleh connect la.
Agent 2(A2): apa masalah kak?
CA : saya tak boleh connect. Lepas tu bila saya pindahkan sim card ke hp saya, takde tulis MY CELCOM pun.
A2: bil akak ok?
CA : saya baru je bayar habis.
A2: bila tu kak?
CA : masa negri Sembilan cuti tu.
A2: cuti? Bila ha?
CA : minggu lepas.
A2: akak pernah kena bar tak?
CA: memang pernah kena bar, tapi saya dah bayar haritu takkan tak unbar.
A2: oo… sekarang ni apa masalah akak?
CA : sim card tu tak tulis MY CELCOM pun.
A2 : jap kak. (A2 keluarkan sim card. Cuba masukkan ke dalam tepon dia).
A2 : ko tolong check bil akak ni.
Agent3 (A3) : ok (A3 kena tepon ntah pejabat mana untuk check bil sebab booth dia takleh check online, tatau pasai apa).
1min berlalu
A2: ko check bil untuk nombor ni sekali (sambil bagi nombor acc lain)
1min berlalu
Agent4(A4) : eh, nanti ko check bil customer ni eh (sambil tunjuk nombor acc lain)
Dan aku kena tunggu sampai abih proses pemeriksaan secara ‘online jarak jauh itu’ yang dijalankan secara batch.
A4 letak tepon.
A4: ni nombor akak eh?
CA : ya.
(muka A4 ni macam beriman sikit la)
A4: bil akak takde masalah. Baki sekarang 0. akak ada lebih bayar lagi, 2.70. akak Cuma tunggu je la bil untuk bulan ni sampai. ok?
CA: saya bukan nak tahu masalah bil saya. saya tak buleh connect broadband, dan bila saya masukkan sim card saya dalam tepon, takde tulis MY CELCOM.
A4 : akak ni tak boleh connect la (bercakap dengan A2).
A2 buat panggilan telepon : hello, ada customer ni, bil ok, tapi tak boleh connect. Sim card dia takde tulis my celcom…… ok…..
A2: akak, sim card akak ni rosak la. akak kena pergi Taipan, tukar simcard baru.
CA : apa buktinya sim card saya rosak?
A2 : rosak ni kak, sebab patutnya dia tulis My CELCOM.
CA : nak tukar macammana?
A2: akak pergi sana,kata nak tukar sim card. Nanti dia bagi nombor sama la.
CA : ok (tatau nak cakap tima kasih ke tidak)
Sabtu, 11.30 pagi
Lokasi: pejabat agent celcom. Taipan.
Pekerja1 (P1) tengah bercakap dalam telepon bimbit.
Pekerja2 (P2) tengah pegang telepon bimbit sambil tengok P1.
Abis P1 bercakap dalam tepon, P2 bagi tepon yang dia pegang tu kat P1.
Nak tahu apa ceritanya?
“ada customer tepon P2, tanya pasal masalah account dia. P2 nak sahkan tentang past history customer tu dengan celcom, jadi P1 kena call celcom center untuk check past history itu. Lepas P1 dapatkan maklumat melalui tepon itu tadi, dia bagitau kat P2, dan P2 akan jelaskan kat customer yang tengah on the phone dengan P2 tadi. POYO!
P1: ada apa kak?
Cik Aji (CA) : saya nak tukar sim card saya. sim card saya dah rosak.
P1: tukar simcard? Sapa yang suruh akak datang sini?
CA : agent kat giant.
P1: tak boleh la kak, kitaorang takde stok. Akak kena pergi celcom center.
CA: celcom center? Kat mana tu?
P1: kat Temiang.
CA: Temiang?... bila saya boleh dapatkan sim card itu disini saja, tanpa pergi ke celcomcenter? {temiang letaknya di utara Seremban. Tempat yang sesak. Takde parking}
P2: kami tak boleh ambikkan untuk akak, owner tu kena pergi sendiri.
CA: saya faham. Tapi tadi awak kata awak dah takde stok. Bila awak boleh restock?
P1: kami pun tak tahu bila diorang nak hantar simcard tu.
CA: kena tunggu diorang hantar ke? tak boleh mintak untuk restock ke?
P1: tak boleh. Biasanya diorang akan hantar
CA: Nak pergi situ bukannya senang. Abih kalau simcard saya tak tukar-tukar, bil saya tetap jalan.
P2: akak hold dulu la bil tu.
CA: macammana nak hold tu?
P1: akak kena pergi celcomcenter.
CA: pergi sana jugak? takde cara lain ke?
P1: akak call 1111.
CA: saya takde line celcom!
P1: kalau dari talipon lain, akak call satu tigaratus satu satu satu kosong kosong kosong
CA: brrrr…. Apa-apa je lah. (Aku terus blah.)
P1: terima kasih ye kak (jerit dari jauh masa aku dekat dengan pintu keluar, nak aje ulang adegan pakcik kat kedai mamak tadi)
Sabtu, 12.30
Lokasi: umah aji.
Aku call celcomcenter. dia pass dari jabatan postpaid ke broadband ke postpaid ke broadband. dia jelaskan pasal account aku. Dia kata akan activekan dalam sehari waktu bekerja. Dia kata account aku kena disconnect. Sebabnya dah tiga bulan takde bayaran. Ini kes agent bangang tu lagi aku rasa. Dulu aku bayar kat booth agent, dia lambat update kat celcom! Lepas tu dia expect aku cari balik salinan resit yang aku bayar kat dia tu untuk buktikan aku dah bayar. Padahal itu semua salah diorang sebab tak buat bayaran ke celcom. Agent ni macam orang tengah. Dia terima bayaran dari customer, pas tu dia akan bayar ke celcom. Aku suruh dia cari semua buku resit, tapi dia sambil lewa je cari. Memang bangsat la agent celcom tu. ditakdirkan tuhan aku jumpa salinan resit tu! dan sebenarnya dah lebih 2 minggu aku bayar. Nak aje aku buat aduan kat celcom suruh buat spot check kat agent-agent lantikan dia tu.
Nama agent itu ialah KEMAYAN VENTURE.
Sabtu, 1 ptg.
Lokasi: umah aji.
Cik Aji (CA): astro, saya nak tanya, semalam saya ada membuat panggilan ke astro tentang penambahan pekej baru. Dia berjanji untuk memberikan pertukaran segera dibawah 24 jam.
Astro (A): (setelah memeriksa no account). Saya dapati di sini, pekej tersebut telah pun dikemaskinikan ke account cik, tapi belum diaktifkan lagi. Sekarang sudah lebih 24 jam ye?
CA: saya tak pastilah waktu yang tepat saya membuat panggilan semalam. Tapi lebih kurang begitulah.
A: tak mengapa. Memandangkan cik sudah membuat panggilan kali kedua, saya akan aktifkan sekarang juga. Jika cik letakkan decoder cik dalam stanby mode, ianya akan mengambil masa kurang setengah jam untuk dikemaskini. Cik boleh teruskan menonton, tetapi proses kemaskini mungkin akan sedikit mengambil masa, mungkin dalam satu jam.
CA: baiklah. Terima kasih.
A: ada apa-apa lagi yang boleh saya bantu?
CA: tidak buat masa ini.
A:terima kasih
CA: sama sama.
Sabtu, 1.30 ptg
Lokasi: umah aji.
Cik Aji (CA): tadi saya ada buat panggilkan tentang pekej baru saya. saya dah pun dapat menonton pekej tersebut, tetapi saya dapati ada satu saluran tertinggal – HBO HD.
Astro (A): biar saya periksa ye cik. Cik buleh tunggu sebentar di talian?
CA: boleh.
…. Dong deng dong deng …
A: hello, terima kasih kerana menunggu. Memang saluran HBO HD tiada dalam pekej cik. Saya akan aktifkan sekarang.
CA: oh, saya fikir ianya datang sekali dalam pekej Movie itu.
A: ye, memang datang sekali. Maaf atas kesilapan ini. Saya akan masukkan saluran itu sekarang juga.
CA: terima kasih.

1 comment:

  1. hehehehehehe.. aduyaiii.

    tapi bab celcom tu hsbnd sy pnah kena. smpi skrg dia dah serik nak byr melalui agent lagi2 yg resit tulis tgn.

    ReplyDelete