"in traveling, it is about the journey, not the destination"
Kawan saya kawin.
Macam seronok saja bila setiap tahun ada kawan yang akan melangsungkan perkahwinan.
Itu belum lagi anak-anak saudara yang masing masing tengah berangan nak naik pelamin.
Kali ini kenduri bakal berlangsung di Kelantan. Jauh kan? Itu sebab saya tak sanggup nak menggunakan kenderaan darat. Saya awal-awal lagi dah beli tiket kenderaan angin. Naik belon kitak.
Disebabkan saya beli tiket awal sangat sangat, tiadalah orang lain yang nak ikut, sebab belum boleh beri kata putus. Yang tak boleh beri kata putus itu, kerana kendurinya diadakan pada hari Jumaat yang mulia, penghulu segala hari. Dan, untuk kami-kami di belah sini, hari Jumaat yang mulia penghulu segala hari itu ialah hari berkerja. Kena mohon cuti lah jawabnya.
Tak lama kemudian, seorang kawan memberi kata putus untuk menyertai saya dan meminta saya membelikannya tiket, almaklumlah, saya ada banyak masa berfikir, dan biasanya bila saya berfikir, saya akan layari laman web tiket kapalterbang. Bila saya terlebih fikir pulak, saya akan sampai ke destinasi-destinasi tiket tak termampu itu.
Okay, saya belikan tiket kapalterbang itu. tapi harganya sudah dua kali ganda harga tiket yang saya beli terdahulu.
Ha ha. Padan muka dia.
Semasa saya beli tiket ini, saya baru ternampak yang membayar secara debit, guna maybank2u, lebih rendah caj pemprosesannya (4 ringgit lebih), berbanding membayar menggunakan Amex (16 ringgit lebih). Baru ku tahu! Selama ini bayar pakai Amex saja.
Ha ha. Padan muka aku.
Seorang lagi kawan akan sertai rombongan kenduri sebab dia akan balik ke pangkuan kerusi di rumah dia di Kelantan sana.
Akhirnya, seorang lagi kawan sertai kami. "Macam best aje pergi ramai-ramai". Takkanlah dia nak memandu seorang diri pulak kan, maka dia kena juga lah membeli tiket kapalterbang.... yang lebih mahal. Iyalah, dah tinggal tiga empat hari saja lagi. Nasib baik jugak kapalterbang belum penuh. Kalau tidak, padan muka pramugara kapalterbang itu sebab tak dapat jumpa kawan saya yang lawa itu.
Kami pujuk seorang lagi kawan. Dia pun orang Kelantan juga. "Jom la Dot... it's the journey, not the destination". Iya lah tu. Journey tu apa? Destination tu apa?
Journey tu nama satu kumpulan rock yang saya minat dulu. Tapi disebabkan zaman Journey ini bukan zaman saya, maka saya hanya tahu lagu-lagu dalam album dia saja lah. Ahli kumpulannya saya tak kenal. Zaman-zaman saya, majalah Kerranggggg!!! dipenuhi dengan sisa-sisa kumpulan glam rock dan band band alternative.
Okay, itu Journey.
Destination tu pulak apa? Tak payah fikirlah Destination tu apa, sebab kawan saya dah sebut dah, "not the destination". Jadi kita fikir pasal Journey cukup.
*(dah panjang menaip, mana cerita kawan kawin?)
Saya akan terbang bersama anak saya. Hari Khamis itu, saya ambil cuti separuh hari. Saya dah siap buat perancangan akan perjalanan saya pada Khamis itu.
1) Suami hantar pergi kerja, dan hantar Amanda ke Daycare
2) Mesyuarat - mesyuarat - mesyuarat
3) Habis kerja tengahari, Naik kereta kawan, ambil Amanda, kawan hantar ke stesen komuter Sungai Gadut
4) Naik Komuter dari stesen Sungai Gadut ke stesen Seremban
5) Naik komuter dari stesen Seremban ke stesen Nilai
6) Jalan kaki ke Stesen Bas Nilai
7) Naik bas ke KLIA2
8) Naik kapalterbang ke Kota Bharu
9) Kawan jemput di lapangan terbang untuk ke hotel
10) Naik lif ke bilik hotel
Bawak beg kecil saja. Bagi anak saya pengalaman naik kenderaan tukar-tukar. Dulu masa saya sekolah jauh, bila balik cuti penggal, kena naik bermacam-macam kenderaan.
1) Naik bas sekolah dari depan Dewan Besar ke stesen keretapi Butterworth.
2) Keretapi dah dekat nak maghrib baru sampai, jadi kena la naik shopping kompleks dulu depan stesen keretapi tu.
3) Naik keretapi sampai stesen Kuala Lumpur
4) Naik keretapi dari Stesen Kuala Lumpur ke stesen Tampin (sekarang dah tukar nama, tapi bukan tukar jadi Tampan ya)
5) Naik bas MCS dari Tampin ke Muar
6) Naik bas lagi ke depan rumah
7) Naik kelabu muka dan juga baju.. sebab zaman tu kenderaan bukan ada aircond. Keretapi yang kami naik selama lebih kurang 13 jam itu pun pakai kipas syiling.
Tapi, perencanaan saya tak jadi kenyataan. Suami saya ambil cuti dan menghantar saya ke KLIA2. Banyak sangat baki cuti. Kata dia la. Namun begitu, disebalik helmet Magneto dia, saya dapat baca fikiran dia yang sebenarnya dia tak percaya saya akan sampai KLIA2 dengan selamat dan sejahtera.
*(mana cerita kawan kawin ni weyy?)
Saya memang sampai awal, tapi Gate tak buka lagi. Berjalan-jalan lah saya dan anak saya untuk membunuh masa. Bukan ada apa sangat di lapangan terbang. Sana sini tempat makan. Memang suruh bunuh masa lah tu. Bila gate dibuka, saya terus mencari gate itu. Jauh juga gate domestik itu dari pintu masuk KLIA2. Berpusing jugak la berjalan.
Bila gate dah buka, kami pun mula beratur. ALAMAK!!! Saya ternampak penumpang yang beratur di depan saya mengeluarkan pasport atau kad pengenalan masing-masing. Saya dah teringat akan myKid Amanda sewaktu mandi tadi. Tapi terlupa juga. Masalah biasa kepada otak yang banyak perkara berlegar-legar di dalamnya.
Sampai lah giliran saya. OK. Saya lepas. Terus saja saya tarik tangan Amanda sebab nampak macam pegawai itu tak bertanya pun walaupun saya tunjukkan dua boarding pass kepadanya.
"Eh.. yang sorang lagi punya mana?"
"Tak bawak la Encik"
"Tak bawak tak boleh masuk!"
"Tapi saya betul betul terlupa Encik"
"LUPA? LUPA LAGI LA TAK BOLEH NAIK, SILA KETEPI"
Pegawai itu terus buat tak tahu kepada saya dan memeriksa penumpang seterusnya.
"Apa saya nak kena buat ni Encik?". Macam biasa, takkan nak nangis pulak kan.
"myKid dia ada atau tidak?"
"Ada, tapi saya terlupa membawanya"
"Ha, pergi buat laporan polis tenta..."
"Balai Polis di mana?" Dia belum habis cakap saya dah tanya. Dapat idea dah nak buat apa. :)
"Tingkat 2"
"Amanda, jom kita pergi balai"
Amanda terus diam dan marahkan saya sebab dia tak dapat berlepas. Ha Ha. Tadi bising sangat.
Cari punya cari, tanya punya tanya, jumpa Balai Polis di tingkat yang sama sebenarnya.
Sambil berjalan dalam pencarian itu, sempat juga saya menalipon suami, mana tahu dia sempat tukar kostum superhero, ambil myKid di rumah dan hantarkan ke KLIA, walaupun dalam hati saya percaya, saya akan dapat menyelesaikan masalah yang saya cipta sendiri ini.
'robbi yassir wa la tuassir. Aku lupa bawak mykid amanda'
Begitulah mesej yang saya hantar kepada kawan-kawan saya. Masing-masing ketawakan saya. Tengoklah. Betapa yakinnya mereka dengan kebolehan saya menyelesaikan kerumitan ini. Hanya ketawa saja yang mereka mampu bekalkan untuk saya. 'Hajiah dan kebengongan, berpisah tiada'.
(Asal kat airport, ada je benda berlaku kat aku. Memang dah takdir aku tak jadi pramugari, kalau tidak, hari hari ada benda bengong berlaku. Tapi kalau aku jadi pramugari, muat ke aku pakai skirt dia tu?)
"Encik!, Sarjan!, Tuan!, Inspektor sahab!...... Saya nak ke KB, tapi tertinggal myKid anak saya".
Nama pegawai itu besar kemungkinan Yusoff, sebab tag namanya tertulis begitu. Wah, nama bapa saya. Tuhan dah beri petunjuk dah yang masalah ini akan selesai dengan mudah.
"Duduk dulu. Duduk dulu"
Selebihnya apa yang berlaku dalam Balai Polis itu, tak boleh saya ceritakan di sini. Itu rahsia antara saya dengan Yusoff.. :)
Wassap tertentu saja akan di layan. Ha ha.
Saya kembali ke gate tadi, menonjolkan diri ke pegawai yang sama.
Pegawai itu menegur Amanda dengan manja sekali. Hamboiii. Tadi bukan main garang.
Saya tunjukkan myKad saya, dan seterusnya laporan polis.
"Eh, apa ni?"
"Laporan polis untuk myKid anak saya"
"Owh... puan ni yang tadi tu ya. Ha... polis tak marah kan... ok puan, sila masuk"
huh... macam tak logik dia tak ingati saya dan anak saya. Saya pakai tudung Nora Danish kot!!!
Tiba-tiba dia manja dengan anak saya, dan ramah tamah dengan saya. Tak kisahlah. Saya anggap dia dah menjalankan tugasnya dengan cemerlang petang itu.
Penat pulak nak cerita pasal kawan kawin.
Bersambung......
No comments:
Post a Comment