Saya mempunyai simpanan kaset yang apabila disusun bertingkat (stack) akan melebihi ketinggian saya. Itu belum termasuk kaset kaset yang sudah hilang ataupun yang menjadi pinjaman abadi rakan-rakan.
Saya tidak berapa ingat dan pasti kaset pertama dan terakhir yang saya beli. Yang pertama mungkin Hukum Karma. Yang terakhir mungkin Kisah Klasik Untuk Masa Depan, sebelum bermulanya pengumpulan cd pula.
Kalau dengan cd kita boleh melangkah ke lagu seterusnya dengan hanya sekali tekan butang, dengan kaset pula memerlukan kemahiran yang lebih dari sekadar menekan butang. Butang forward perlu ditekan sambil memerhatikan ketebalan gulungan pita. Contohnya, untuk album Angus, saya nak terus dengar lagu GooGooDolls Aint That Unusual. saya perlu:
1) memutar hingga pita berketebalan 4.2mm,
2) tekan butang stop,
3) tekan butang play semula.
Satu perkara lagi, kaset ada 2 side. side A dan side B, senang. Contohnya album OST Merah:
1) habis saja lagu Senja Nan Merah di side A, tekan stop,
2) keluarkan kaset,
3) pusing kaset,
4) tekan butang play semula. Hah!... boleh terus dengar lagu Tinggalkan Satu Peluru.
Tetapi kalau ada pemain yang ada fungsi auto-reverse, jimat langkah 2 dan 3. kerana pemain boleh memainkan kaset dalam kedua-dua arah.
Pada zaman sekolah dahulu, seorang peminat (tak tahu nak pakai perkataan apa :) ) menghadiahkan saya sebuah kaset. Waktu itu saya di tingkatan dua dan dia lebih tua 3 tahun. Saya tidak pernah membawa pulang kaset itu ke rumah sewaktu bercuti. Saya juga tidak pernah mendengar isi kandungan kaset itu sehinggalah saya berada di tingkatan lima. (tuuu diaaaa!!)
Bukanlah kerana saya tidak mempunyai walkman. Tetapi kerana saya bimbang apalah isi kandungan kaset itu. Takut saya hendak mendengarnya buat pertama kali. Pada zaman itu, kita boleh 'dubbing' suara kita dan merekodnya di dalam pita magnetik kaset itu. Itulah sebabnya saya takut nak mendengar isi kandungan kaset itu, saya takut peminat itu menyampaikan isi hatinya. Disamping cepat perasan (ha ha), saya juga cepat simpati. HA HA HA.
Akhirnya saya dengar juga kaset itu pada suatu hari yang biasa-biasa. Oh.... lagu saja. Tiada rakaman suara pun. Memang betullah saya cepat perasan.
Hari ini.
Amanda yang suka mengemas a.k.a scavenging terjumpa himpunan kaset saya. Dia tidak tahu apakah benda itu, malah tidak percaya pita dalam kaset itu boleh menyanyi.
"Ye ke? Ye ke?"
"Iye..."
"Tak dengar pun Mama"
Saya menoleh dan melihat malapetaka di hadapan mata saya...
Sedihnya...
Ugly Kid Joe - America's Least Wanted. Dikeluarkan dalam tahun 1992. |