Apple pertama saya ialah sebiji IPod, yang saya miliki pada tahun 2008. iPod itu pemberian seorang rakan dari Arizona. Namanya Micheal Cairnes. Pengarah Kualiti Global.
Dia menjanjikan iPod sekiranya saya dapat menyiapkan projeknya lebih awal dari apa yang saya rancangkan dalam jadual projek saya.
Walaupun saya hanya awal sehari, (itu pun kerana perbezaan zon waktu 15 jam antara kami), dia tetap menyampaikan hadiah itu sewaktu saya ke Arizona pada tahun yang sama.
Saya tidak begitu kerap menggunakannya kerana sukar menguruskan file-file melalui iTunes.
iTunes pula ‘banyak songeh’ kerana itu tak boleh, ini tak boleh. Masih saya ingat, waktu itu, saya tidak boleh mendaftar akaun iTunes kerana hanya Negara tertentu saja yang boleh mendaftar. iTunes tidak boleh menerima poskod Malaysia, apalagi mempunyai nama ‘Malaysia’ dalam senarai.
Seorang rakan lain, Michele Fleming, bertanyakan saya, sudah berapa banyak lagu saya isikan dalam iPod itu.
Senyum…. ‘saya tidak tahu bagaimana untuk mengisinya’.. :P
Dia lantas menghadiahkan saya kad iTunes. Kad prabayar USD30 untuk membeli lagu lagu dari ITunes, yang mana setiap lagu secara puratanya berharga USD0.99. Maka iTunes saya didaftarkan menggunakan nama saya, tetapi alamat Michele.
Tetapi, setiap lagu yang telah dibeli dan didownload ke iTunes, hanya boleh disalin sebanyak 4 kali SAHAJA! Wow! Jauh beza dengan cara di Negara kita. Sudahlah lagi disalin dari CD, salinan itu pula di jual dimerata-rata, atau pun boleh dimuat-turun sewenang-wenangnya di laman web!. Maaf, saya bukan dari kalangan yang memuat-turun lagu percuma dari internet. Saya tahu itu perbuatan menghianati karya seni orang lain.
Seharusnya cirri cirri keselamatan iTunes ini diamalkan di Negara ini. Tapi, saya pasti, akan adalah sang bijak pandai yang kerjanya memecahkan kod keselamatan ini dan pastinya tidak berasa apa-apa kerana pihak berkuasa pun tidak berasa apa-apa dengan situasi ini… (minta maaf).
Apabila kita membeli barangan Apple, akan disertakan di dalam kotak sekeping perekat logo Apple. Saya pun menampalnya pada telepon Nokis N95 milik saya.
Boss saya pernah bertanya, ‘Wah, kamu pakai telefon Apple ke?’
‘Apple mana ada telefon!!’
Dan…. Beberapa tahun selepas itu, muncullah iPhone, telefon Apple yang pertama, yang mengambil inspirasi dari Nokia N95 saya yang berperekat logo Apple :) :).
Itu cerita dulu. sekarang saya menghadiahkan diri saya sebiji lagi Apple.
Oleh kerana saya seorang pekerja pintar yang rajin dan patut dicontohi oleh pekerja yang lain, maka saya mendapat sedikit imbuhan dari pihak syarikat yang membuatkan saya mampu membeli gajet melebihi seribu ringgit. Kerana saya MAHU percaya yang Apple boleh bertahan melebihi gajet lain. Bertahan dari segi perkakasan dan perisian k, begitu juga ciri-ciri nya yang lain dari yang lain. Saya percaya akan ketahanan buatan Apple sejak saya mula mengenali Apple Macintosh pada zaman university dulu.
Saya memang tidak suka pergi ke laman-laman web dan membuat perbandingan antara sesuatu model. Kalau saya suka A, maka A lah yang saya akan pilih. Itu adalah 95% keadaan. 4% akan berlaku keadaan di mana saya tidak membeli langsung. 1% pula keadaan dimana saya berpaling ke model lain di saat akhir.
Sewaktu ke pusat tak-beli-beli-terus-belah Aeon Seremban, kami terus ke pengedar produk Apple. Bertanya serba sedikit tentang iPad Mini kepada si penjual yang saya kira agak arif tentang produk itu. Tetapi pembelian produk Apple mesti disertai dengan pembelian produk sampingan lain, seperti pelindung skrin atau kasing.
Kami berlalu masuk ke bahagian elektronik dalam pasaraya Aeon. Suami memperkenalkan Samsung Galaxy Tab 10 (Tab ke Note? Entah… tak tahulah, Samsung memiliki terlalu banyak model. Telefon bimbit saya pun saya kurang pasti apa modelnya :) ). Oh, hampir saya terpikat kerana harganya berpatutan dengan apa yang ditawarkan oleh produk itu!
Untuk membantu saya membulatkan hati saya yang sudah mula goyah, kami makan ais krim dahulu. Aiskrim itu terasa sedap sampai saya mengulang membeli. Mungkin aiskrim itu terasa biasa pada hari hari yang lain… tetapi tidak di kala itu, di kala saya nak membelanjakan duit saya untuk hanya satu benda yang lebih mahal dari insurans dan cukai jalan kereta saya :( .
Kami pun pergi ke SenQ. 2 biji iPad dan 1 biji iPad Mini di ruang pameran, tak dilepaskan langsung oleh tiga beradik yang sibuk bermain game. Huhhhh! 1 lagi iPad Mini tidak digunakan sesiapa, kerana sudah kehabisan bateri, barangkali dikerjakan oleh bapa kanak-kanak tiga beradik itu :).
Saya pun terus memesan iPad Mini.
“kak, Kalau nak beli iPad, kena beli dengan pakej”
“pakej apa?”
“akak kena sign-up Yes 4G”
“saya nak beli model WiFi, buat apa sign-up 4G?”
“itu pakej kak”
“takde kena mengena, saya sign-up 4G nak buat apa, saya tak perlu…”, saya berpaling ke suami, “bah, dia kata nak beli kena pi sign up Yes 4G pulak”
“akak…. Nanti, saya belum habis cakap. Itu pakej… ada pakej lain. Samada akak beli screen protector atau cover”
“screen protector berapa ringgit?” (nada ingin tahu, macam tanya harga goreng pisang kepada makcik tepi jalan)
“140”
“screen protector berapa ringgit?” (nada macam tidak berapa mendengar, macam dengar berita penceraian artis dalam Buletin Utama)
“140”
“screen protector berapa ringgit?” (nada inginkan kepastian, macam baru bukak bil telefon terlampau)
“140”
“berapa ringgit?” (nada seolah-olah tidak percaya, nada macam marah laki sebab jumpa sms meragukan)
“140”
“screen protector?” (ikutlah nada apa pun)
“ya”
(rasa macam nak ulang lagi dan lagi soalan yang sama dengan harapan penjual itu lalai dalam hipnotis dan terus tak payah saya beli pakej apakejadah-screen-protector-sampai-140-hengget tu)
“ok. terima kasih”
Baik pergi kedai tadi. Dan saya pun pergi kedai pertama itu semula.
Saya pun membeli secara tunai sebab kedai itu tidak menerima kad saya. Hukalo… Giant pun terima tauuu…
Sampai di rumah….. hmmmm…. Saya tak tahu guna iPad ni…. :P. Terkial kial nak on... :(