Monday, June 29, 2015

Hari Ibu. Telekung Untuk Amanda

Bersempena bulan Ramadhan tahun ini,saya menjahitkan sehelai telekong untuk anak saya Amanda.
Telekong putih dari kain cotton bersulam. Memang saya kurang berkenan dengan telekong berwarna-warni. Putih masih warna terbaik dan nampak penyatuannya. 

Kain itu sebenarnya hadiah dari sebuah butik milik sahabat saja, kerana memenangi peraduan menamakan koleksi pakaiannya. Saya kira, dalam 3 tahun yang lalu.

Ini kali pertama saya menjahit telekung. Dihasilkan hanya atas pemerhatian dan cerapan saya terhadap telekung-telekung lain yang saya ada. Tidaklah sesusah mana pun sebenarnya, walaupun bahagian muka terpaksa saya tetas dua kali kerana tidak menyangka ukurlilit muka Amanda sudah menyamai muka saya.:)

Telekung yang emak saya jahit untuk saya dahulu masih ada disimpan.
Kain kapas putih poros. Ditepinya bersulam. Emak saya sulam sendiri dengan mesih jahit. 
Caranya ialah dengan melakar corak terlebih dahulu. Dulu-dulu template corak disimpan diatas kertas, kemudian diterap ke atas kain dengan bantuan kertas karbon. Kain itu di pasang ram, dan dijahit dengan mesih jahit sulam. 
Pada zaman tiada pre-set design, kemahiran tangan mengendalikan ketebalan sulamanlah yang menentukan hasil yang baik. Itulah kemahiran ibu saya!
Dulu-dulu, sewaktu saya pulang dari sekolah, saya akan melihat emak saya menjahit sulam mesin. Sebelah tangan mengawal ram supaya jarum bergerak mengikut garisan corak, manakala sebelah tangan lagi mengawal ketebalan sulaman. Macam senang saja. 

Dalam satu hari, terhasillah telekung untuk anak saya ini. 

Pada minggu yang sama, kawan saya meminta saya 'personalized' telekong anaknya. Ya, sulamkan nama di atas telekong itu. Ianya telekung dari sebuah butik terkenal. harganya rm360. Gulp!!!