Wednesday, August 27, 2014

A Byte Of Dinner

Nota : Hanya tajuknya berbahasa inggeris. Tapi tidaklah isinya jua berbahasa inggeris.


Malam tadi suami membawa kami sekeluarga ke restoran burger, BurgerByte. Pertama kali bagi saya, tapi bukan bagi si dia (ha haaa.... kalau membaca majalah selalu pasangan dirujuk sebagai 'si dia'.. macam orang asing saja bunyinya!). Restoran itu cantik, bersih, cekap, efisyen dan tidak mengenakan cukai perkhidmatan atau kerajaan. Dan semestinya harga tetaplah, tak boleh tawar menawar (???). Tapi bukan itu yang saya nak ceritakan.

Kami sampai lebih kurang pukul 8 setengah malam. kedai itu sudah penuh. Jalan pun penuh dengan kenderaan pelanggan yang datang makan. Seperti biasa, kenderaan diparkir di tepi tepi jalan mengikut darjah kesengetan sesuka hati. Ini kerana restoran BurgerByte itu bukanlah berada di banguan rumah kedai, sebaliknya di bangunan rumah teres yang mana restoran ini mengambil rumah hujung bangunan teres dua tingkat itu. Jadi, manalah ada kawasan khas untuk memarkir. Tapi bukan itu yang saya nak ceritakan.

Ada satu meja yang kosong dan kami memilih untuk duduk di situ. Yelah, takkanlah kami hendak menumpang di meja pelanggan lain, ataupun duduk di kaunter pembayaran pulak kan. Mana-mana tempat makan mahal akan penuh seawal malam pertama hari gaji. Hari gaji, manalah nak membeli kebab pasar malam kan? Kalau tiba pertengahan bulan, restoran tomyam berhias lampu pendaflor hijau-kuning-merah yang akan dipenuhi pula. Rata-rata pelanggan yang masih berada disitu mempunyai bacaan BMI yang agak tinggi. Senang cakap 'gemuk' lah... lebih kejam disebut 'dekat nak obes'. Tidak terkecuali saya lah...  Tapi bukan itu yang saya nak ceritakan.

Memang efisyen kerana kami tidak menunggu lama untuk mendapat apa yang kami pesan. Apa yang dihulur juga sama dengan yang didalam gambar. Dulu, saya pernah memanggil pengurus pizza hut kerana pizza yang saya dapat tidak sama dengan di dalam gambar. Saya pesan pizza, tetapi dapat lempeng makcik senah. Dia tidak memulangkan duit saya, tetapi membenarkan kami memesan piza lain tanpa bayaran tambahan. Tapi bukan itu yang saya nak ceritakan.

Burger saya dihidangkan bersama-sama lembing lidi buluh yang dihunus tepat ditengah-tengah burger itu. "bull's eye" lah. Tetapi saya kurang pasti samada lidi buluh itu untuk dimakan bersama burger itu ataupun untuk kentang goreng.
"Dia cucuk tu nak bagi daging tu tak lari, kan tebal tu, nanti bila gigit daging tu lari. Makan la keliling lidi tu dulu. ". Suami saya menyuruh saya memakan burger itu dengan lidi buluh yang masih terhunus.
Saya pandang keliling untuk memastikan pelanggan lain juga makan dengan kaedah yang sama.
Anak saya bertanya, "Kenapa Mama  nak kena ikut cara orang lain?"
"Sebab kita kena belajar dari kesilapan orang lain, jangan orang lain yang belajar dari kesilapan (kebodohan) kita"
Saya cabut juga lidi buluh itu sebelum memakan burger itu. Saya khuatir lidi itu tercucuk awning tudung Fareeda Nyata Jelita Eksklusif 3-bulan-Slip-Gaji saya nanti. Tapi bukan itu yang saya nak ceritakan.



Burger ini sedap. Berpatutan dengan harganya. Saiznya agak abnormal. Ada sayur salad (lettuce), ada sepotong tomato segar, ada dua gelang bawang rangup, dan sekeping keju yang datang bersama harga tambahan. Sos bolehlah ditambah sendiri mengikut toleransi pedas dan gula dalam sistem badan anda. Botol sos di atas meja itu bersih! tiada pun sos meleleh-leleh. :) .
Walaupun namanya "byte" yang bersamaan dengan 8 bit. Tapi saiznya adalah Terrabyte. Lemak yang terkandung pula, barangkali Zettabyte. Saya baru jumpa "zetta" ini, sebab dalam kelas fizik dulu, kami belajar sampai "peta" saja. Mu(sebut miu)-Nano-Micro-Mili-Centi-Deca-Kilo-Mega-Giga-Tera-Peta. Tapi bukan itu yang saya nak ceritakan.

depa kata tak elok letak gambaq apa kita makan, satni orang lain tersinggung. ni gambaq pinggan koson, menunjukkan betapa chek tak membazirkan rezeki. disertakan juga alamat ke restoran BurgerByte Seremban


Sebenarnya saya tidak menghabiskan seluruh burger saya di restoran itu. Saya hanya makan 60% sahaja kerana terpaksa menghabiskan spaghetti carbondioksida a.k.a carbonara anak saya. Baki burger itu saya bawa balik dan menyambung makan untuk sarapan pagi tadi. Oh! rasanya masih sedap! tomato itu pun masih elok. Biasanya tomato jadi lembik dan masam kan? Hmm... sarapan yang mengeyangkan. Tidaklah saya singgah sarapan tosai pagi ini. Tapi bukan itu yang saya nak ceritakan.

Sebenarnya saya pun lupa apa yang saya nak ceritakan.